WhatsApp Image 2021-10-25 at 9.51.55 PM
WhatsApp Image 2021-10-25 at 9.51.55 PM

Cikgu Mohd Shahrudin nekad gali ilmu robotik tanpa jemu, impi bawa murid-murid ke peringkat antarabangsa

Roshlawaty Md Raieh
02 Nov 2021 05:50pm
A
A
A

“Untuk serius dalam bidang robotik, seorang guru dan murid perlu memiliki pengetahuan luas, sentiasa mengikuti perkembangan mengenai teknologi dan berkemahiran dalam bidang tersebut.” Demikian reaksi Cikgu Mohd Shahrudin Abdullah, 39, dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kijal, Kemaman, Terengganu, kepada GPSBestari, baru-baru ini apabila diajukan persoalan mengenai penglibatan murid dan guru di dalam bidang robotik yang semakin mendapat tempat hari ini.

Beliau yang sudah beberapa tahun mengajar di sekolah itu berkata, bidang robotik berpotensi besar untuk berkembang pada masa akan datang.

“Sudah tiba masanya untuk ibu bapa mengambil langkah bijak dengan menggalakkan anak-anak terlibat dalam bidang ini. Lagi pun, tidak ada batas umur.

“Robotik bukan hanya berkaitan tentang elektronik dan elektrik tetapi ia lebih luas daripada itu dan saya yakin, pembelajaran bidang ini dapat mencetuskan minat golongan muda untuk mendalaminya,” katanya.

Baca juga Signalton 1M dan PeNyaMAN tarik perhatian juri hingga diangkat sebagai johan, hebat inovasi SMAPUTRA!

Baca juga Amalan pemakanan semasa menghadapi peperiksaan, guru dan pelajar diminta lebih peka

Cikgu Mohd Shahrudin yang kini mengajar subjek Pendidikan Islam; Pendidikan Jasmani dan Kesihatan; Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) serta Teknologi Maklumat dan Komunikasi, memberitahu, dia mula terbabit dalam bidang robotik ketika bertugas di SK Kijal, lima tahun  lalu.

“Minat itu datang secara tiba-tiba. Mungkin kerana sering melihat rakan-rakan berjaya menghasilkan robot berdasarkan kreativiti masing-masing.

“Sejak itu, saya mula mengikuti kursus anjuran Sasbadi, JAZRO Robotic, Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Mizan dan banyak lagi. Saya juga belajar secara dalam talian melalui bengkel yang dianjurkan. Tidak kurang juga, sering membuat carian dan pembacaan di internet,” ujar anak ketujuh daripada sembilan beradik ini lagi.

Pahang Online Robotics Competition 2020 turut disertai guru dan murid.

Memandangkan bidang tersebut masih baru, guru kelahiran Kelantan ini menjelaskan, banyak cabaran yang perlu dilalui hingga ada kala membuatkan dirinya harus kuat dari segi mental dan fizikal.

“Mereka yang menguasai ilmu robotik, pastinya mempunyai kemahiran berfikir peringkat tinggi dan untuk menjadi seperti ini, saya perlu berusaha keras belajar dan mendapat maklumat berkaitannya.

“Alhamdullilah, sekarang ini saya sudah ada kemahiran dalam robotik dan kini berkongsi ilmu pula dengan anak-anak didik di SK Kijal,” sambungnya.

Kelab Robotik SK Kijal

SK Kijal merupakan kategori sekolah luar bandar. Ini bermakna, murid-muridnya berhadapan pelbagai cabaran berbanding murid kategori sekolah bandar.

Selain realiti capaian internet yang terhad, murid-murid sekolah luar bandar juga perlu berdepan kekangan kewangan dan kemudahan asas.

Bagi Cikgu Mohd Shahrudin yang dilantik sebagai guru pembimbing Kelab Robotik SK Kijal sejak tahun 2019, tiada yang lebih menggembirakan apabila berjaya membawa enam pasukan dari kelab tersebut menyertai Pahang Online Robotics Competition 2020.

“Inilah pencapaian yang paling bermakna buat saya. Walaupun mereka hanya menyertai pertandingan dan tidak membawa pulang anugerah, namun ia sudah cukup membanggakan.

Antara robot yang dihasilkan murid SK Kijal.

“Jujur saya katakan, murid-murid ini tiada pengalaman dalam robotik. Bagi mereka, bidang ini adalah perkara baharu dan pastinya sangat teruja apabila ada aktiviti dilakukan di sekolah (sebelum Covid-19).

“Masing-masing menunjukkan minat, cuma ibu bapa tidak mampu membeli set robot atau permainan lego kerana tiada wang.

“Saya akui bermain lego dan memiliki set robot mampu merangsang minat murid, tapi disebabkan kekangan kewangan, ia membataskan segala-galanya,” jelas guru ini lanjut.

Walaupun keluarga murid tidak dapat menyediakan kemudahan seperti yang dikehendaki, Cikgu Mohd Shahrudin sedaya upaya menceriakan mereka dengan membawa menyertai apa sahaja aktiviti anjuran pihak luar.

“Saya bawa mereka sertai kelas robotik oleh JAZRO Robotic Academy yang diadakan di sekolah ini. Saya juga sering berkongsi pelbagai maklumat berkaitan bidang ini.

“Nampak kesungguhan anak-anak murid untuk menimba ilmu baharu ini dan sebagai guru, saya nekad untuk merealisasikan impian dan cita-cita mereka yang mahu menjadi jurutera robotik,” ujarnya lagi.

Perancangan akan datang

Ditanya mengenai perancangan, Cikgu Mohd Shahrudin berhasrat akan terus meningkatkan kemahiran diri dalam robotik dan terus mencungkil bakat dan potensi murid-muridnya dalam bidang tersebut.

“Saya hendak melihat pasukan robotik SK Kijal dapat mewakili negara dalam pertandingan di peringkat antarabangsa satu hari nanti.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

“Walaupun ia akan memakan masa, namun saya yakin mereka mampu buktikan dan layak ke peringkat tertinggi.

“Insya-ALLAH, akan lahir murid-murid SK Kijal yang mempunyai kemahiran penyelesaian masalah, pemikiran kritis dan kreativiti dalam mereka cipta solusi robotik kelak,” ujarnya.

BIODATA DIRI

Nama: Mohd Shahrudin Abdullah

Umur: 39

Asal: Kelantan

Adik beradik: Anak ketujuh sembilan adik beradik

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Ilmu Wahyu dan Warisan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok