book-library-with-open-textbook_1150-5924
book-library-with-open-textbook_1150-5924

Cikgu Nurun Aisyah kongsi 20 tip jadi pelajar cemerlang hingga peroleh keputusan mengejutkan dalam peperiksaan

Roshlawaty Md Raieh
28 Jun 2021 03:22pm
A
A
A

Mempunyai kepakaran dan kemahiran dalam subjek Sejarah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Cikgu Nur Aisyah Samsuddin mahu semua pelajar memperolehi keputusan cemerlang dalam peperiksaan tersebut.

Lebih dikenali sebagai Ticer Nurun Aisyah, beliau berkata, mata pelajaran Sejarah memerlukan teknik menghafal yang menarik bagi membolehkan pelajar skor A+.

“Bila ada teknik yang betul dan yang sesuai, saya yakin, bukan subjek Sejarah sahaja yang pelajar boleh skor...tetapi subjek-subjek lain juga, anda akan dapat keputusan cemerlang,” katanya yang merupakan pengasas pusat tuisyen Nurun Academy.

Menurut Ticer Nurun Aisyah, pembelajaran pada masa kini sememangnya sangat mencabar.

“Justeru, saya kongsikan 20 tip menjadi pelajar cemerlang supaya semua anak-anak didik terutamanya calon yang akan menduduki peperiksaan mendapat keputusan yang luar biasa nanti,” katanya menerusi perkongsian Whatsapp kepada Sinar Bestari.

Mari ikuti tip penting daripada beliau.

TIP 1 - Membuat persediaan awal

Pelajar perlu membuat persediaan awal apabila akan menghadapi peperiksaan tidak kira sama ada ujian bulanan, peperiksaan penggal atau peperiksaan lain seperti SPM dan STPM. Anda perlu elakkan belajar di saat akhir kerana ia akan memberi tekanan kepada anda. Bukan itu sahaja, anda juga sukar untuk memahami tentang sesuatu mata pelajaran.

TIP 2 - Menjadi pelajar yang berdisiplin

Pelajar perlu mendisiplinkan diri terlebih dahulu. Sebagai contohnya disiplinkan diri anda untuk datang awal ke sekolah pada waktu yang telah ditetapkan dengan berpakaian bersih dan kemas (sekiranya pandemik Covid-19 sudah berakhir). Apabila sikap disiplin telah tersemai dalam jiwa pelajar, maka mudahlah bagi pelajar untuk mendisiplinkan diri dalam pembelajaran.

TIP 3 - Jangan malu untuk bertanya

Jika anda tidak hadir ke sekolah (sekiranya pandemik Covid-19 sudah berakhir), dapatkan bantuan guru atau rakan-rakan untuk mendapatkan nota-nota yang telah anda ketinggalan. Jika anda tidak faham, terus bertaya kepada guru atau rakan. Bukan itu sahaja, anda juga tidak digalakkan menangguhkan tugasan kerana ia akan menjadi beban didalam kepala anda.

TIP 4 - Bertukar pendapat

Anda perlu sering memberi pandangan dan pendapat dalam proses pembelajaran. Ini kerana dengan cara memberikan pandangan, bukan anda sahaja akan faham malah rakan-rakan anda akan semakin memahami pelajaran tersebut. Amalan ini juga dapat melatih dan mengasah daya ketajaman pemikiran pelajar.

TIP 5 - Belajar berkumpulan

Belajar secara berkumpulan secara online boleh digunakan untuk pelajar yang sukar untuk belajar secara bersendirian. Hal ini kerana, anda sering berbincang dengan rakan-rakan tentang pelajaran yang telah dipelajari. Oleh itu, ia akan memudahkan anda untuk memahami tentang sesuatu mata pelajaran.

TIP 6 - Menyiapkan tugasan

Menjadi tanggungjawab pelajar untuk menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh guru dalam tempoh yang ditetapkan. Oleh itu, lebih baik jika anda menyiapkan tugasan yang diberikan lebih awal. Hal ini kerana, anda boleh bertanya kepada guru jika anda tidak faham tentang sesuatu mata pelajaran.

TIP 7 - Berfikiran positif

Minda kita adalah kuasa yang boleh digunakan untuk mencapai apa yang anda inginkan di dalam kehidupan. Ia bergantung bagaimana cara anda berfikir seperti jika anda fikir perkara yang positif, maka perkara positif akan datang kepada anda dan sudah pasti tindakan anda juga akan positif. Sebaliknya, jika anda fikir tentang kesusahan dan nasib anda yang teruk, maka minda anda akan cari menjalan untuk membuktikan bahawa benarkah anda bernasib malang.

TIP 8 - Membeli buku rujukan

Membeli buku-buku rujukan yang sesuai. Secara tidak langsung ini dapat memantapkan persediaan pelajar. Anda boleh meminta bantuan guru untuk mendapatkan senarai buku-buku rujukan pilihan untuk subjek-subjek tertentu. Namun lebih elok jika anda bertanya kepada guru buku yang bagaimana sesuai dijadikan rujukan kerana mereka lebih arif tentang buku rujukan.

TIP 9 - Menyertai kelas tambahan

Mengikuti kelas-kelas tuisyen untuk menambahkan lagi pengalaman, pengetahuan dan juga kecekapan pelajar dalam mata pelajaran. Namun jika tidak berkemampuan, anda boleh menyertai kelas tambahan yang diadakan di sekolah. Selain itu, anda boleh membuat latihan sendiri dan periksa jawapan tersebut dengan guru di sekolah.

TIP 10 - Tanamkan cita-cita

Gambarkan cita-cita anda. Fikirkan setiap pagi "aku mampu buat yang terbaik". Tidak seorang pun mampu mencapai cita-cita dalam sekelip mata. Kita perlu berusaha dan mengambil masa yang lama. Catatkan cita-cita anda dimana tempat yang mudah dilihat kerana ia akan selalu mengingatkan kita supaya terus berusaha. Jangan sesekali mempunyai sikap berpuas hati pada diri dan tahap pencapaian. Kita patut bercita-cita tinggi dan berada dipencapaian yang tinggi. Berusahalah untuk mencapainya.

TIP 11 - Menjaga kesihatan

Pelajar perlu menjaga pemakanan dan menjaga kesihatan tubuh badan dengan cara menghindari sebarang bentuk penyakit. Jaga keseimbangan makanan. Jangan makan terlalu banyak ‘junk-food’. Untuk otak yang lebih pintar, pelajar digalakkan makan kismis kurma dan makanan-makanan sunnah yang lain. Bahkan kaum bukan Islam juga ada yang mengamalkan makan kurma kerana tahu akan khasiat buah tersebut.

TIP 12 - Menunaikan kewajipan

Bagi pelajar Islam, tunaikan sembahyang lima waktu seperti mana yang telah disyariatkan oleh agama. Bagi pelajar bukan Islam yang lain, lakukan amalan ibadat agama masing-masing. Menjadi tanggungjawab pelajar untuk berusaha bersungguh-sungguh kerana setiap usaha itu akan dihitung pahalanya. Banggakan ibu bapa dengan kejayaan kita setelah mereka telah banyak berkorban untuk kita.

TIP 13 - Menguji tahap kefahaman anda

Pelajar perlu menguji tahap kefahaman diri sendiri dengan mengadakan ujian dan peperiksaan kendiri (sendiri) seperti dibuat dalam peperiksaan sebenar. Hal ini dapat dijadikan sebagai pengukuhan pembelajaran. Pelajar juga perlu mengambil kira masa yang diambil untuk menjawab satu-satu soalan agar boleh menganggar waktu dalam peperiksaan yang sebenar nanti.

TIP 14 - Tawakal selepas berusaha

Bagi pelajar Muslim, anda boleh bertawakkal (berserah diri) kepada Allah dan tidak putus asa jika gagal. Apabila menghadapi kegagalan, berusahalah lagi dengan menjadikan kegagalan itu sebagai iktibar dan panduan untuk lebih berjaya. Namun jika bertawakal tanpa usaha pun tiada guna kerana Allah akan memberi rezeki kepada orang lebih usahanya.

TIP 15 - Menghormati guru

Pelajar perlu menghormati guru sama ada berada di dalam sekolah atau di luar. Ilmu yang diperoleh akan menjadi berkat kerana tanpa guru kita tidak dapat pergi jauh tanpa pendidikan. Oleh itu, kenanglah jasa mereka walaupun mereka tidak lagi mengajar anda. Hal ini kerana, guru berperanan untuk mendidik anda menjadi insan berguna yang dapat menyumbang kepada pembangunan diri dan juga negara.

TIP 16 - Merubah sikap dan tabiat buruk

Merubah sikap tidak memerlukan wang, ia cuma memerlukan daya usaha yang kuat dan memakan masa yang agak lama. Sesetengah individu bercita-cita untuk merubah tabiat buruk orang lain, kenapa tidak dicuba untuk merubah diri sendiri ? Untuk berjaya, perbuatan dan tingkahlaku itu mencerminkan keinginan seseorang. Memperbaiki kelemahan diri merupakan usaha untuk merubah menjadi yang lebih baik.

TIP 17 - Elakkan sifat hasad dengki

Hasad dengki merupakan penyakit hati yang tidak dapat diubati. Cemburu dan dengki yang melampau akan menyebabkan pelajar menyimpan hasad dengki kepada rakan sekuliah mereka. Seharusnya pelajar mengamalkan persaingan yang sihat dengan rakan sekuliah mereka, sebagai contoh berkerjasama dengan rakan yang lebih arif dalam subjek tersebut dan bersama-sama menjadi pelajar yang cemerlang.

TIP 18 - Sentiasa berdoa

Setiap agama mengajar umatnya untuk berdoa kepada tuhan. Dengan usaha dan tawakal yang dilakukan, pelajar haruslah berdoa dengan yakin untuk mendapat keredaan dari Tuhan. Kita sebagai manusia perlulah menjaga hubungan dengan Allah, insha-Allah, Allah akan memudahkan urusan ketika peperiksaan. Bukan itu sahaja, solat dan mengaji juga merupakan terapi diri.

TIP 19 - Menjaga masa

Tidak membazir masa begitu sahaja. Pelajar cemerlang mempunyai jadual harian dan jadual belajar. Jadual harian merupakan jadual yang digunakan bagi merancang aktiviti seperti sekolah, tuisyen, ulang kaji, riadah, rehat, tidur, berkawan dan sebagainya. Manakala jadual belajar pula ialah jadual yang digunakan bagi merancang pembelajaran anda.

TIP 20 - Sanggup berkorban

Remaja mana tidak sukakan hiburan dan keseronokan. Tetapi bagi pelajar cemerlang, mereka mengekang perasaan berhibur dan berseronok yang akan menjejaskan pelajaran. Mereka sanggup berkorban masa, tenaga dan wang ringgit. Mereka belajar lebih lama berbanding pelajar lain, lebih gigih, bersungguhsungguh, sanggup membelanjakan wang yang banyak bagi tuisyen dan membeli buku-buku tambahan serta tidak terlibat dengan cinta monyet yang melalaikan.

Semoga tip ini dapat memberi manfaat kepada pelajar dan dapat meningkatkan kecemerlangan anda dalam pelajaran.

Artikel berkaitan 

Cipta model roket bahan api pepejal ketika usia 9 tahun, Khawo kini ‘Rocketeer Termuda Malaysia’

Rahsia 4 kali terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang

Alumni MRSM jadi Pegawai Wanita TLDM pertama miliki kepakaran dalam bidang peluru dan letupan, mengagumkan!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok