Lebih 9 tahun dalam bidang perguruan, Cikgu Rahim cipta pelbagai kejayaan. Warga sekolah bangga!
Lebih 9 tahun dalam bidang perguruan, Cikgu Rahim cipta pelbagai kejayaan. Warga sekolah bangga!

Cipta banyak kejayaan sepanjang 9 tahun bergelar guru, Cikgu Rahim buat warga sekolah bangga!

Roshlawaty Md Raieh
25 Aug 2022 02:23pm
A
A
A

Mengajar di beberapa buah sekolah mungkin sudah menjadi kebiasaan bagi seorang guru.

Namun tidak bagi Cikgu Abd Rahim Yahya ini. Baginya, pengalaman mengajar di beberapa buah sekolah cukup mencabar kredibilitinya sebagai seorang guru.

Ujarnya, sudah hampir sembilan tahun dia menjadi pendidik. Bermula dengan mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Tuba, Kedah; SK Kuala Pelugau, Sarawak sehinggalah sekarang mendidik murid di SK Danau Kota (2), Kuala Lumpur.

Berkongsi dengan Sinar Bestari, Cikgu Rahim berkata, ketika mengajar di SK Kuala Pelugau selama tujuh tahun, banyak pengalaman menarik yang dilalui bersama warga sekolah.

Bagaimanapun dia memohon untuk berpindah ke Semenanjung dan namanya terpilih untuk mengajar salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur.

“Dulu saya mengajar di Sarawak, tapi sekarang bertugas di sekolah Kuala Lumpur pula. Dua lokasi cukup berbeza yang tentunya memberi cabaran kepada saya untuk menyesuaikan pendekatan pengajaran kepada murid-murid.

“Memang pada mulanya sangat bimbang, tapi lama kelamaan dan hasil tunjuk ajar dari guru-guru ‘senior’, akhirnya saya dapat sesuaikan diri dengan sekolah tersebut,” katanya yang baharu sahaja berkhidmat di SK Danau Kota (2) pada Januari 2020.

Biarpun baru dua tahun mengajar di sekolah tersebut namun Cikgu Rahim telah melakar banyak kejayaan bersama rakan guru dan murid-murid di situ.

Antara kejayaannya memperoleh satu pingat perak dan tiga gangsa dalam International Digital Innovation & Invention Challenge; Naib Johan Pertandingan Inovasi Alam Sekitar Peringkat Negeri; Johan Anugerah Hijau Peringkat Negeri; Johan Poster Digital STEM Peringkat Negeri dan banyak lagi.

Malah, pada tahun lepas, guru hebat ini turut dinobatkan sebagai Naib Johan Pertandingan Deklamasi Sajak Hari Guru Peringkat Kebangsaan anjuran Kementerian Pendidikan (KPM).

Ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pula, cikgu ini mula aktif membangunkan YouTube Channel, Abd Rahim Yahya di mana beliau banyak menghasilkan video pembelajaran Matematik sekolah rendah.

Sambutan yang diperoleh sangat memberansangkan sehingga saluran YouTubenya mencapai hampir 3,400 pengikut dan melebihi 4,000 jam tontotan.

Membangunkan mini studio untuk sebarang rakaman pertandingan pasca pandemik.

Kemudian, Cikgu Rahim membantu pihak sekolah membangunkan saluran TV Pusat Sumber Sekolah (TV PSS) dan saluran YouTube khas serta mewujudkan mini studio dalam memudahkan segala rakaman pertandingan secara maya dijalankan dengan sempurna.

Wartawan Sinar Bestari sempat bertanyakan apakah rahsia disebalik semua kejayaannya dalam tempoh yang singkat.

Kata beliau, tiada sebarang tip yang dia amalkan melainkan sentiasa fokus dan konsisten dalam melakukan sesuatu.

Kenangan manis sekolah di Sarawak

Graduan Sarjana Pendidikan Matematik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini berkata, ada kenangan manis yang sukar dilupakan ketika mengajar di Sarawak satu ketika dahulu.

Antaranya, beberapa anak muridnya berjaya melanjutkan pelajaran ke sekolah berprestij iaitu Maktab Rendah Sains Mara Mukah, Sekolah Menengah Sains Kuching dan Sekolah Sukan Malaysia Sabah.

Mungkin bagi sesetengah guru, kejayaan ini biasa-biasa sahaja, namun tidak bagi guru ini kerana ia adalah pencapaian luar biasa.

Cikgu Rahim (dua, kanan) bersama Guru Perpustakaan & Media serta ahli jawatan kuasa Pusat Sumber Sekolah.

“SK Kuala Pelugau merupakan sebuah sekolah pedalaman. Jadi, apabila ada murid-muridnya berjaya ke sekolah hebat, sudah tentu kejayaan ini sangat membanggakan ramai,” ujarnya mengakhiri bicara.

INFO

Nama: Cikgu Abd Rahim Yahya

Asal: Kedah

Sejarah Pendidikan

1) SK Paya Mengkuang, Kedah

2) SMK Agama Sik, Kedah

3) SBP Integrasi Kubang Pasu, Kedah

4) Kolej Matrikulasi Perak

5) Ijazah Sarjana Muda IPG Kampus Pulau Pinang

6) Sarjana Pendidikan Matematik, UKM

Sejarah Perkhidmatan

1) SK Pulau Tuba, Kedah

2) SK Kuala Pelugau, Sarawak

3) SK Danau Kota (2), Kuala Lumpur

Beliau aktif dalam dunia sastera hingga terpilih menjadi Pengkarya Guru 2015 dan berjaya menghasilkan novel kanak-kanak bertajuk ‘Surat Berlumpur ke Kuala Lumpur’.

Dalam masa sama, Cikgu Abd Rahim turut menghasilkan antologi puisi bersama penulis lain. Antara antologi yang dihasilkan adalah Antologi Puisi Merangkai Damai (Indonesia), Antologi Serumpun Pantun (Singapura), Antologi Puisi Dasawarsa (PEKASA), Antologi Merpati Pulang (Pengkarya Guru) dan sebagainya.

Artikel berkaitan 

3 kaedah memujuk murid yang boleh cikgu cuba, diakui sangat mudah dilakukan!

Baru 30-an, sumbangan Cikgu Tarmizi dalam bola sepak SK Bukit Mutiara membanggakan!

Sanggup korbankan cuti seminggu, hasil ubah suai Cikgu Shahrizal setaraf pereka dalaman profesional


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok