upm3
upm3

Covid-19 tidak halang pelajar UPM usaha tanaman terung, jana pendapatan sampingan

Nor Azma  Muhamat Laila
28 Jun 2021 05:47pm
A
A
A

SERDANG - Pelajar Kolej 14, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengambil peluang pertanian di saat negara menghadapi pandemik Covid-19 dengan mengusahakan tanaman terung panjang atau nama saintifiknya ‘Solanum melongena Linn’, di kawasan kolej kediaman.

Berbekalkan pengalaman sebagai universiti berteraskan pertanian, Majlis Perwakilan Kolej 14 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM mengambil inisiatif menjalankan aktiviti pertanian bagi menjana pendapatan sampingan.

Pada masa yang sama, penglibatan pelajar dalam program itu secara langsung mencipta peluang kepada mereka yang bukan daripada aliran pertanian untuk merasai pengalaman bertani, sekali gus dapat sedikit sebanyak mengubah persepsi pelajar terhadap kerjaya pertanian.

Hasil terung yang ditanam di Kolej 14.

Pengetua Kolej 14, UPM, Dr Daljit Singh, berkata konsep pertanian itu mengekalkan penggunaan tanah dan baja yang bersesuaian untuk tumbesaran buah terung panjang.

Menurut beliau, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan aktiviti pertanian secara konvensional agak terbatas dan pelajar Kolej 14 UPM menggunakan inisiatif penanaman yang tidak memerlukan pemantauan tinggi dengan memilih kawasan strategik di halaman Kolej 14 yang dapat memberi tanaman sumber cahaya, air dan kelembapan yang secukupnya.

"Banyak kawasan tanah terbiar di kawasan kolej kediaman itu boleh dimanfaatkan dan perlu digunakan sepenuhnya oleh pelajar kerana projek pertanian menjanjikan pendapatan lumayan.

“Berbekalkan modal kurang daripada RM10,000, kita dapat menyediakan semua peralatan yang diperlukan seperti sistem paip, tangki baja dan pondok simpanan," ujar beliau.

Pokok terung yang ditanam di Kolej 14 secara kaedah fertigasi.

Projek perintis itu membabitkan sebanyak 300 pokok yang mula diusahakan awal tahun ini dan kini mula mengeluarkan hasil memuaskan apabila 10 hingga 15 kilogram (kg) buah dapat dikeluarkan setiap minggu dan dijual kepada pemborong.

Hasil jualan pertama ini dapat menambahkan kewangan Tabung Usahawan Pelajar dan akan digunakan untuk pelaksanaan pelbagai aktiviti bermanfaat kepada pelajar.

Sementara itu, Presiden MPK14 yang juga pelajar Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian, Muhamad Danial Hafiz, berkata dia antara pelajar yang meluangkan masa kira-kira satu dan dua jam sehari di kebun untuk melakukan pelbagai kerja.

Pelajar melihat tanaman terung yang dibuat di Kolej 14 UPM.

“Saya dan beberapa rakan di Kolej 14 telah mengikuti kursus jangka pendek sebelum ini dan ia membantu untuk menambah ilmu pengetahuan berkaitan tanaman terung menerusi sistem fertigasi.

"Saya bagaikan tidak percaya dengan hasil diraih, seterusnya mampu menjual terung panjang pada harga RM7 sekilogram bagi gred A dan RM3 bagi gred B," katanya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok