makam1
makam1

Dol Said pahlawan Naning yang cukup berani

Norliza Wasilan
29 Aug 2022 01:30pm
A
A
A

Kebangkitannya untuk membela

Datuk Abdul Said atau lebih dikenali sebagai Dol Said adalah Penghulu Naning yang cukup berani. Beliau dikatakan mampu mengalahkan dua kapal angkatan tentera penjajah siap dengan kelengkapan meriam.

Meskipun ketika itu senjata digunakan British jauh lebih moden, namun Dol Said dan pengikutnya tidak pernah gentar, malah sanggup bertempur demi memperjuangkan penduduk Naning yang ditindas.

Beliau dan pengikutnya mula mengatur strategi sebaik mengetahui Gabenor Robert Ibbetson yang ketika itu memerintah India telah mengarahkan sepasukan askar Sepoi (askar upahan dari India) terdiri daripada 150 orang menaiki dua kapal lengkap dengan meriam belayar ke Melaka.

Arahan Ibbetson itu adalah bagi memenuhi permintaan Gabenor Negeri Selat Melaka, Robert Fullerton yang meminta bantuan untuk menyekat penentangan Dol Said terhadap British di Naning.

Tindakan Ibbetson itu cukup menggembirakan Fullerton dan sebaik pasukan bantuan tiba, beliau terus menyerang Naning sehingga berlaku pertempuran cukup hebat.

Bagaimanapun, semangat juang yang ada pada Dol Said dan setiap penduduk Naning telah berjaya mengalahkan askar British sehingga Fullerton terpaksa menanggung malu dan pada masa sama ramai askar yang diupah British itu mati dibunuh.

Fullerton yang berang dengan kekalahan itu segera mendapatkan idea dengan mengupah penduduk daerah lain sebagai petunjuk jalan kerana mereka lebih arif dengan selok-belok Naning.

Bagi memudahkan pasukan tenteranya melakukan serangan ataupun melarikan diri, Fullerton telah membina jalan raya.

Beliau membuat helah dengan mewujudkan sebuah tempat penyimpanan senjata di penghujung jalan tersebut bagi memudahkan British menembak Dol Said serta pengikut yang mengejar mereka jika pasukan askar penjajah tewas dalam pertempuran.

Serangan Naning

Pada Mac 1832, British yang melakukan serangan mengejut ke atas Naning pada waktu malam telah berjaya menawan daerah itu sehingga memaksa Dol Said serta pengikutnya menyerah diri.

Dol Said kemudiannya diberi pengampunan dan pencen berserta sebuah rumah di Melaka bagi menyekat penentangannya terhadap British pada masa akan datang.

Rentetan daripada peristiwa itu, Naning dijadikan sebahagian daripada tanah jajahan British dengan jawatan Penghulu dihapuskan dan digantikan dengan Penguasa atau Superintendan.

Dol Said kemudiannya meninggal dunia kerana sakit tua pada Ogos 1849 dan dikebumikan di Melaka.

Menyingkap sejarah awal penentangan Dol Said dan penduduk Naning, ia sebenarnya bermula dengan tindakan British yang mengenakan cukai sebanyak satu persepuluh daripada jumlah hasil pendapatan kepada penjajah.

Naning adalah sebuah daerah yang terletak di utara Melaka dengan kebanyakan daripada mereka adalah orang Minangkabau yang berasal dari Sumatera, Indonesia.

Dol Said tidak berpuas hati apabila British bertindak mencampuri hal ehwal pentadbiran Naning yang mereka anggap sebagai sebuah daerah bebas daripada kawalan British.

Bagaimanapun, penjajah menganggap Naning adalah sebahagian daripada Melaka, negeri yang ditakluki.

Kemarahan penduduk pula semakin tidak dapat dibendung apabila ada antara mereka yang dipenjarakan kerana enggan membayar cukai.

Akibat daripada pelaksanaan cukai itu, penduduk Naning mengadu kepada Dol Said untuk menyelesaikannya.

Beliau kemudiannya bertindak menulis surat kepada British supaya menghapuskan peraturan cukai berkenaan, namun tidak diendahkan.

Beliau mula mengatur strategi dengan mengumpulkan pengikutnya menyerang beberapa kawasan dan membakar harta benda milik British.

Tidak cukup dengan itu, Dol Said turut mengarahkan pengikutnya supaya mengoyakkan semua kertas peraturan yang ditampal sekitar kampung.

Bimbang dengan penentangan penduduk Naning yang diketuai Dol Said, Fullerton ketika itu menghantar surat kepada pemerintah Inggeris di India untuk mendapatkan nasihat menyelesaikan masalah berkenaan.

Walaupun penentangan dilakukan oleh penduduk tempatan, British tetap berdegil melaksanakan peraturan cukai sehingga memaksa Dol Said melancarkan serangan di beberapa lokasi simpanan hasil penjajah

Artikel berkaitan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok