WhatsApp Image 2021-07-13 at 13.26.05
WhatsApp Image 2021-07-13 at 13.26.05

Dr Diyana cipta aplikasi Hear Me, bantu pelajar berkeperluan khas

Nor Azma  Muhamat Laila
13 Jul 2021 11:19pm
A
A
A

Lebih setahun negara berhadapan dengan situasi pandemik Covid-19 dan sejak itulah ia mewujudkan persekitaran pembelajaran norma baharu dengan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada pelajar termasuklah mereka yang berkeperluan khas.

Di Malaysia kini terdapat seramai 92,755 pelajar berkeperluan khas dengan hampir 4,000 pelajar di bawah kategori berkaitan masalah pendengaran.

Masalah pendengaran merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada kesukaran belajar di sekolah hingga boleh menyebabkan pelajar ini ketinggalan.

Prihatin dengan masalah tersebut, penyelidik dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), Dr Diyana Kamarudin tampil dengan satu aplikasi yang dinamakan Hear Me iaitu alat bantu mengajar buat guru dan pelajar yang mengalami masalah pendengaran untuk mempelajari Bahasa Melayu Kod Tangan (BMKT).

Menurut pensyarah Fakulti Pengurusan Industri (FPI) itu, aplikasi Hear Me dilengkapi ciri-ciri kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) serta pelbagai ciri lain yang terkandung dalam aplikasi alat mudah alih ini.

“Ciri AI pada aplikasi Hear Me ini dapat digunakan melalui proses pengecaman sesuatu objek menerusi gambar yang diambil dan kemudian ia akan memproses kepada kod isyarat tangan yang betul.

“Ia juga turut dilengkapi dengan pelbagai aktiviti interaktif yang dapat membantu dalam proses pembelajaran dengan aktiviti jawapan pendek atau mengisi tempat kosong dan padankan dengan jawapan yang betul.

“Selain itu, Hear Me juga menyediakan cerpen dan lagu berserta pautan bagi sesetengah kandungan kepada para pengguna,” kata beliau.

Dr Diyana Kamarudin hasilkan inovasi aplikasi Hear Me untuk membantu guru dan pelajar yang mengalami masalah pendengaran mempelajari Bahasa Melayu Kod Tangan (BMKT).

Tambah Dr Diyana, ia cukup menarik dan sangat mudah digunakan bagi setiap pengguna kerana diprogramkan mengikut kategori.

“Kategori yang telah diprogramkan adalah Huruf, Warna, Aktiviti, Cerpen dan Lagu, Nombor dan Kategori Kata Bahasa Melayu Kod Tangan (buah-buahan dan sayur-sayuran, perihal diri, keluarga, haiwan, hari, rumah saya, makanan dan minuman, pakaian, sekolah dan kerjaya) serta fungsi AI.

“Aplikasi yang mula dibangunkan pada tahun 2019 ini berjaya disiapkan pada awal tahun 2021.

“Penyelidikan ini tidak terhenti di sini, malah Hear Me akan terus melakukan proses penambahbaikan daripada pelbagai aspek seiring dengan perkembangan teknologi yang semakin maju,” ujar beliau.

Selain itu juga, beliau berkata, Hear Me merupakan satu aplikasi mudah alih yang direalisasikan berdasarkan sesi sumbang saran (brainstorming), proses penyediaan papan cerita (story board), proses pengumpulan pendapat dan data dengan kerjasama penuh daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Penyelidikan ini turut mendapat kerjasama dari Shenyang Ligong University China dan City University Malaysia.

Sepanjang tempoh penghasilan Hear Me ini, Dr Diyana turut mengadakan perbincangan dan lawatan ke sekolah serta turut berinteraksi bersama warga pendidik bagi membincangkan mengenai masalah yang dihadapi oleh guru dan pelajar yang berkeperluan khas.

“Saya bersyukur kerana ia bukanlah usaha saya secara bersendirian. Ibu saya juga merupakan salah seorang yang terlibat secara aktif dalam bidang Pendidikan Khas.

“Beliau yang banyak memberikan inspirasi kepada saya untuk terus membantu masyarakat yang berkeperluan khas,” kongsinya lagi.

Berdasarkan pemerhatian Dr Diyana, sebilangan besar pelajar yang mempunyai masalah pendengaran akan mengikuti proses menyalin kamus bagi meningkatkan proses pembelajaran perbendaharaan atau kosa kota.

Selain itu, hasil pertemuan dan komunikasi bersama komuniti dan persatuan orang pekak mendapati bahasa pertama mereka adalah bahasa isyarat, sama ada Bahasa Melayu Kod Tangan (BMKT) atau Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Walau bagaimanapun, tambahnya, bahasa Melayu dan bahasa Inggeris merupakan bahasa tambahan yang mereka patut pelajari.

“Dengan kaedah menyalin kamus bagi menguasai bahasa tambahan bukanlah proses mudah untuk membantu dalam penguasaan bahasa dan ia disahkan juga oleh guru-guru apabila mereka menyatakan bahawa kadangkala pelajar sukar mengingati kosa kata yang disalin daripada kamus.

“Justeru itu, berdasarkan masalah penguasaan bahasa terbabit, saya mula memikirkan terdapat keperluan untuk membantu pelajar, guru dan pihak yang berkepentingan dalam pendidikan khas untuk memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran (PdP),” katanya.

Penyelidik yang berasal dari Kuala Lumpur itu turut berkongsi perancangan masa akan datang iaitu aplikasi Hear Me akan ditambah dengan fungsi menukar gambar satu dan dua dimensi kepada tiga dimensi (3D).

"Saya juga bercadang menghasilkan ilustrasi dalam bentuk kartun untuk meningkatkan keterlibatan kanak-kanak untuk menggunakan aplikasi mudah alih ini dan menambah lebih banyak permainan serta ciri-ciri baharu di samping mampu meningkatkan ciri AI.

"Aplikasi Hear Me yang boleh dimuat turun melalui Google Playstore untuk membantu guru dan pelajar berkeperluan khas di seluruh Malaysia ini telah memperoleh hak harta intelek dan masih dalam proses pengumpulan data untuk pemerkasaan projek.

Terbaharu, aplikasi Hear Me bukan sahaja berjaya meraih pingat emas malah telah memenangi anugerah khas bagi kategori National STEM Association Award dan Euro Business-Haller Award dalam pertandingan Malaysia Technology Expo (MTE) Edisi Khas Covid-19 2021.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok