ISEF 2022
ISEF 2022

Dua pelajar SMJK Katholik Petaling Jaya berjaya harumkan nama negara di persada dunia, rangkul 4 anugerah di ISEF 2022

Adlan Farhan Azwan
22 May 2022 03:09pm
A
A
A

Dua pelajar dari SMJK Katholik Petaling Jaya, Yong Saan Cern dan Yeoh Sheng Ze berjaya merangkul empat anugerah pada Regeneron International Science and Engineering Fair (ISEF) 2022 yang telah diadakan di Atlanta, Georgia, Amerika Syarikat baru-baru ini.

Kedua-dua pelajar tersebut merupakan sebahagian daripada pasukan Kementerian Pendidikan (KPM) yang dianggotai oleh 14 orang murid sekolah menengah serta dua orang pegawai sebagai pengiring dan seorang guru pembimbing.

Baca juga

Maxis eKelas anugerah pelajar ‘penjelajah angkasa’ paling inovatif dalam pertandingan STEM terulung

Tidak menyangka mampu peroleh markah tertinggi, dua pelajar UUM harumkan nama negara di peringkat dunia

Antara anugerah yang telah dimenangi oleh Saan Cern dan Sheng Ze adalah:

- Tempat pertama Grand Award in Robotics and Intelligent Machines

- European Union Contest for Young Scientists

- Tempat keempat Association for Computing Machinery Special Award

- University of Arizona Special Award

Menurut KPM, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian (BSKK), KPM melalui Pertandingan Inovasi Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Peringkat Kebangsaan 2022 membiayai penyertaan enam buah projek inovasi untuk dipertandingkan dalam Regeneron International Science and Engineering Fair (ISEF) 2022 anjuran Society for Science, Amerika Syarikat.

“Pertandingan inovasi sains antarabangsa terbesar dunia ini mengumpulkan sebanyak hampir 1,396 projek dan 1,750 peserta dari 63 buah negara pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini

Penyertaan pasukan Malaysia dalam Regeneron ISEF 2022 merupakan penyertaan pertama secara bersemuka pasca pandemik Covid-19. Pasukan KPM pada kali ini telah melakar peningkatan pencapaian sekaligus mengharumkan nama negara di persada dunia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

KPM juga menyahut cabaran Perdana Menteri Malaysia dalam menerajui Hala Tuju Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk meningkatkan minat murid dalam bidang STEM.

“Pencapaian pasukan negara merupakan inspirasi kepada murid dan guru seluruh negara untuk terus menceburkan diri dalam bidang STEM serta membudayakan pembelajaran secara inkuiri serta mengukuhkan pendidikan STEM di sekolah demi melahirkan murid yang kreatif, inovatif dan berdaya saing,” jelasnya.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok