Untitled design (1)
Untitled design (1)

Eleena, arkitek terbaik Malaysia

Roshlawaty Md Raieh
21 Feb 2022 09:49am
A
A
A

Sesi temu bual bersama ikon arkitek terkenal, Dr Eleena Jamil, 50-an, berjalan lancar walaupun ini kali pertama penulis menghubungi beliau.

Ramah, tenang dan bijak menjawab segala soalan yang dikemukakan jelas membuktikan Eleena seorang arkitek yang sangat hebat dalam kelompoknya yang tersendiri.

Berkongsi kisah mengenai pembabitannya dalam bidang seni bina, Eleena berkata, ia bermula ketika usianya masih muda.

“Ketika berusia 19 tahun, saya telah didedahkan dengan dunia arkitek. Ayah, Jamil S Othman Ghani merupakan individu pertama yang membawa saya mengenali bidang ini.

“Walaupun arkitek bukanlah cita-cita yang pertama, namun setelah mengenali skop dan tugasnya, akhirnya saya ‘jatuh cinta’ dengan kerjaya ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Bestari.

Eleena merupakan antara arkitek terkenal negara dan menjadi pencetus kepada revolusi penggunaan buluh sebagai salah satu bahan yang bersifat lestari di Malaysia.

Eleena

Mengikuti pengajian di Welsh School for Architecture, Cardiff University, United Kingdom dan kemudiannya menyelesaikan ijazah MPhil yang memfokuskan pada perumahan bandar, wanita hebat ini meneruskan pengajiannya di peringkat ijazah PhD dengan tesis bertajuk ‘Rethinking Modernism: The Sugden House and the Mother’s House’ bersama Profesor Dean Hawkes.

Pada 2005, Eleena membuka sebuah syarikat dikenali sebagai Eleena Jamil Architect (EJA) dan telah berkembang serta memenangi pelbagai anugerah antarabangsa hingga dipamerkan di banyak negara.

Antara projek hebat yang dihasilkan EJA adalah projek Sekolah Millenium iaitu sebuah prototaip sekolah buluh di Filipina yang dipaparkan dalam pameran ‘Design for the Other 90%: Cities’ (2011) di Cooper Hewitt Museum, New York dan disenarai pendek di Festival Senibina Dunia 2010 di Barcelona.

Kemudian, Bamboo Playhouse yang bukan saja menekankan elemen alam sekitar apabila menggunakan buluh sebagai bahan binaan, bahkan turut menyuntik identiti Malaysia menerusi konsep rekaannya.

Baca juga 

“Jauh lagi ke Kudat bang? Lagi 70 kilometer?” – Cikgu Khairul Azman ke Sabah demi tabur bakti!

“Cikgu tak kaya tapi cikgu akan usahakan cari dana untuk penuhi keinginan anak murid. Mohon doakan ya”

Jatuh bangun sebagai arkitek

Sebagai seorang arkitek, bohonglah jika tidak pernah berhadapan dengan situasi rumit dalam kerjaya.

Begitu jualah yang dialami Eleena. Sepanjang bergelar arkitek, beliau sudah lali dengan cabaran dan dugaan.

“Saya juga seperti anda. Tidak semua yang kita inginkan berjalan dengan baik. Jika bercakap tentang projek, ada tempoh tertentu, ‘kering’ (tiada projek). Projek dibatalkan saat akhir, pelanggan tidak puas hati dengan idea, bayaran lambat dan macam-macam lagi.

“Tapi, saya anggap ini semua asam garam dalam sesebuah kerjaya. Yang penting di sini, kena kuatkan semangat, bersabar dan jangan mudah putus asa,” ujar anak pasangan Jamil dan Belinda Abdullah ini lagi.

Dalam pada itu, anak sulung daripada tiga adik-beradik ini berkata, setiap projek dihasilkan secara berpasukan yang terdiri daripada lima orang arkitek.

“Masing-masing tampil memberikan pelbagai idea. Mereka sangat fokus dan komited ketika bekerja. Saya sangat berpuas hati,” jelasnya.

Sokongan kuat keluarga

Selain mendapat sokongan dan dorongan daripada kedua ibu bapanya, Eleena juga sentiasa menerima kata-kata semangat daripada suami dan anak-anak.

“Suami, Aziz Marzuki Ahmad Marican sangat memahami kerjaya saya. Walaupun sibuk sentiasa, dia akan setia berada di belakang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Begitu juga dengan tiga orang anak yang sering berikan saya kegembiraan dan keceriaan dalam kehidupan. Tanpa mereka, mana mungkin saya boleh berjaya seperti sekarang,” jelasnya yang turut mengagumi dua tokoh arkitek iaitu Tadao Ando (Jepun) dan Peter Zumthor (Switzerland).

Dalam pada itu, Eleena beritahu yang dirinya ada kala turut ketandusan idea untuk berkarya.

“Kita manusia biasa. Ada kala akan menghadapi saat ‘buntu’ seperti tiada idea atau ilham. Bila tiba saat seperti ini, memang tidak boleh buat apa.

“Tapi, saya ada cara tersendiri. Kadang-kadang, bila tengah masak, ilham boleh datang. Tengah beraktiviti dengan anak-anak pun, idea akan muncul. Jadi, saya akan segera ambil nota dan catat. Ia mungkin berguna untuk projek akan datang,” tuturnya yang akan terus berada dalam dunia arkitek selagi khidmat dan kudratnya diperlukan.

Pelajar University of Kansas yang datang melawat projek Bamboo Playhouse.

Akhir sekali, Eleena menasihatkan kepada semua pelajar yang ingin menceburi kerjaya arkitek agar memastikan diri mempunyai minat yang mendalam.

“Tidak lupa juga, kena ada semangat berkobar-kobar dan jangan mudah mengalah. Barulah anda boleh berjaya dan menjadi arkitek yang disegani kelak,” katanya lagi.

INFO

Empat perkara yang perlu pembaca tahu mengenai bidang arkitek

1) Seorang arkitek mesti mempunyai minat dalam persekitaran. Apabila orang lain melihat tanah, anda sebagai arkitek, harus melihat rancangan, idea dan reka bentuk.

2) Imaginasi, kreativiti dan semangat. Memiliki tiga sifat ini sangat penting dalam arkitek. Seni bina adalah seni.

3) Seorang arkitek harus teratur, kreatif, dan bijak.

4) Arkitek mesti menjadi perancang setiap masa, setiap hari, di mana sahaja, setiap pergerakan, untuk mencapai hasrat besar.

Lima fakta yang perlu diketahui sebelum memohon kursus seni bina di institusi pengajian tinggi

1) Mahir free-hand sketching

2) Tidur dua hingga tiga jam sehari

3) Studioku syurgaku

4) Wang, percetakan dan model

5) Miliki komputer peribadi atau komputer riba berprestasi tinggi

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok