portal-skil3
portal-skil3

Gabungan kemahiran dalam seunit robot mampu melahirkan individu berfikiran aras tinggi

Mariatul Qatiah Zakaria
02 Nov 2021 10:25am
A
A
A

Untuk membina seunit robot yang merangkumi pelbagai aspek termasuk boleh bergerak  bukanlah satu tugasan mudah.

Selain menagih komitmen dan tumpuan tinggi, ia turut memerlukan kemahiran diri yang merangkumi gabungan bidang kejuruteraan robotik, elektronik, mekanikal, perisian kawalan dan navigasi.

Menurut Cikgu Mazlan Muhamad Yusof, 40, pada asasnya, robot adalah peranti mekanikal yang boleh diprogramkan mengikuti arahan dan ia mempunyai unit pemprosesan serta sensor untuk melihat persekitaran juga motor untuk bergerak.

Sehubungan itu tambahnya, kemahiran untuk menghasilkan konsep, reka bentuk, pembuatan dan operasi robot turut diperlukan dalam usaha melengkapkan pembuatan robot tersebut.

“Apabila kita bercakap mengenai teknologi robotik, sudah pasti ia melibatkan pelbagai kemahiran di samping aspek pemikiran yang kreatif, kritis, inovatif dan juga komputasional.

“Untuk itu, adalah digalakkan mereka yang berminat dalam bidang ini agar mempelajari dan mendalami asasnya dahulu kemudian perlahan-lahan ke peringkat yang seterusnya.

“Bagaimanapun, bagi mereka yang betul-betul meminati dunia robotik ini, asas sudah pasti berjaya dikuasai dalam tempoh masa yang singkat ,” ujarnya ketika dihubungi baru-baru ini.

Kejayaan di peringkat antarabangsa

Cikgu Mazlan yang baru berkecimpung di dalam bidang teknologi robotik pada tahun 2018 berjaya mencipta kejayaan di peringkat antarabangsa apabila terpilih untuk memenangi Anugerah Mentor pada World Championship MakeX Robotics Competition 2019 di Guangzhou, China.

Bercerita lebih lanjut mengenai anugerah yang diterimanya dua tahun lalu itu, Cikgu Mazlan memberitahu, kejayaan itu di luar jangkaan memandangkan penyertaannya hanyalah untuk mendapat pendedahan di peringkat antarabangsa.

Tambahnya lagi, walaupun dia tidak mendapat pembelajaran khusus dalam bidang robotik, dia bertuah kerana mempunyai rakan sepasukan, Mok Ren Hao yang merupakan seorang pelajar PhD dalam bidang kejuruteraan di Universiti Malaysia Pahang (UMP).

“Semasa menyertai pertandingan tersebut pada 2019, saya seorang peserta yang ‘fresh’, tanpa kerjasama ahli kumpulan yang lain, kejayaan tidak akan dapat dikecapi.

“Dengan anugerah tersebut disusuli minat yang mendalam dalam bidang teknologi dan perkomputeran serta disokong sepenuhnya daripada mereka yang berada di sekeliling, ia membuatkan saya lebih bersemangat untuk meneroka bidang yang masih dianggap baru di negara ini,” tuturnya lanjut.

Pencapaian yang diperoleh Cikgu Mazlan di Guangzhou, China, telah menjadikan dia lebih bersemangat untuk serius dalam bidang robotik.

Kemahiran dalam robotik

Berbicara semula mengenai kemahiran yang diperlukan sekiranya hendak berkecimpung di dalam teknologi robotik, ulas Cikgu Mazlan, ia memerlukan kemahiran yang pelbagai dalam satu masa kerana sistem robotik melibatkan pelbagai disiplin.

Ini kerana setiap komponen adalah berbeza, bermula daripada kajian kemudian lakaran awal iaitu lukisan sehinggalah pengaturcaraan, untuk mengawal setiap pergerakan robot.

“Dalam pembuatan robot ini, sekiranya ia hanya sekadar pembinaan asas, bagi mereka yang bermula daripada kosong, ia akan mengambil masa sehari.

“Berbeza dengan mereka yang sudah mempunyai asas, minimum dua jam sahaja diperlukan dan bagi robot yang rumit pembuatannya akan memerlukan masa yang lebih lama kerana ia bergantung kepada saiz dan juga reka bentuk yang ingin dihasilkan.

“Yang penting, bagi seunit robot ia perlulah mempunyai otak iaitu pengaturcaraan dan juga papan litar untuk simpan memori,” katanya lagi.

Robot sendiri

Sejak memenangi anugerah pada 2019, Cikgu Mazlan dan pasukannya telah berjaya menghasilkan lebih 200 unit robot.

Bukan sekadar dibuat untuk kegunaan sendiri, Cikgu Mazlan juga tidak menang tangan memenuhi permintaan ramai.

“Sejak melibatkan diri lebih serius dalam bidang ini, saya bukan sahaja menghasilkan robot untuk pertandingan tetapi turut menerima tempahan orang ramai yang ingin membeli bagi koleksi sendiri dan juga institusi pengajian tinggi (IPT) untuk projek kendalian mereka.

“Saya melihat halangan utama untuk menyertai bidang ini adalah kos robot yang tinggi dan disebabkan itulah kami cuba menghasilkan robot yang mampu milik di mana tujuannya bukan untuk komersial tetapi meyokong keperluan pendidikan,” sambungnya.

Bagi Cikgu Mazlan, tiada apa yang mustahil dan dia telah membuktikan hanya dengan minat dan kemahiran, kejayaan mampu dikecapi selagi ada usaha dan kesungguhan untuk terus maju.

Cikgu Mazlan turut berkongsi ilmu mengenai robotik dengan anaknya, Muhammad Imran.

KEJAYAAN CIKGU MAZLAN DAN PASUKAN ROBOTIK SK SERI TERENTANG

27 Februari 2018 : Pertandingan Robotic Lego Education Tug Of War Peringkat Antarabangsa sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan (SHWP) (Naib Johan)

9 September 2018 : IIUM Robotic Competition (IRC) (Tempat ketiga)

2018 : National Robotics Competition (NRC) Peringkat Negeri Pahang (Naib Johan)

2018 : Pertandingan Robotik Lego Ligo (Johan)

29 September 2018: Pertandingan Robotik Robo360 #MYDIGITALMAKER Fair (Johan)

Oktober 2019: National Robotics Competition (NRC) Peringkat Negeri Pahang (Gangsa)

2 Ogos 2019: Mini Makex Peringkat Negeri Pahang (Naib Johan)

27 Julai 2019 : Sumobot Karnival Stream Peringkat Negeri Pahang (Perak)

13 Oktober 2019 : Malaysia National Makex Robotics Competition (Champion)

19 Oktober 2019 : Korea Robot League (Gold Award)

28 November 2019 : Makex Robotics Competition World Championship (Engineering Award dan Outstanding Mentor Award)

2019 : Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC)

2020: Penerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP). Cuti belajar dengan biasiswa Kementerian Pendidikan Malaysia

September – Disember 2021: RBTX Challenge Petrosains (masih berlangsung dan kini tersenarai dalam 30 pasukan yang layak untuk peringkat seterusnya)

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok