Gadis korbankan waktu dengan keluarga, berkhidmat sebagai sukarelawan PPV
KUALA LUMPUR - Jika ramai rakan seuniversiti memilih untuk bersama keluarga di rumah sepanjang cuti semester, apatah lagi ketika penularan pandemik Covid-19 semakin parah, Sara Wajiha Azman memutuskan untuk memanfaatkan masa luang tersebut dengan menyumbang kepada negara.
Gadis berusia 21 tahun itu memilih menjadi sukarelawan MyVac bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, dan dia beruntung kerana terpilih bertugas di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Galaxy Mall di Ampang yang terletak berhampiran kediaman keluarganya.
Menyifatkan pengalaman itu sebagai ‘satu dalam sejuta’, penuntut tahun dua di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia, tersebut berkata dia juga bertuah kerana terpilih mengetuai pasukan MyVac di PPV berkenaan.
“Banyak cabaran yang dilalui, khususnya dalam memastikan kita mempunyai sukarelawan mencukupi untuk bertugas setiap hari.
“Seperti kita sedia maklum, bukan semua boleh datang setiap hari kerana masing-masing ada komitmen lain. Justeru, apabila keadaan itu berlaku, saya perlu bijak menyusun tenaga kerja sedia ada seperti mengurangkan orang di stesen tertentu dan meletakkan mereka bertugas di stesen yang memerlukan,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.
Cabaran menguruskan warga asing
Menurutnya, cabaran lain ialah berurusan dengan warga asing yang kebanyakannya tidak fasih berbahasa Melayu atau Inggeris sekalipun ada pasukan penterjemah untuk membantu mereka mengisi borang persetujuan vaksinasi dan maklumat diri.
“Jadi, tugas saya sebagai ketua ialah perlu segera fikirkan cara untuk mengatasi masalah sedia ada, sebagai contoh menghentikan sementara sistem nombor giliran dan menggunakan kaedah yang berbeza untuk melancarkan semula proses vaksinasi.
“Selain itu, kita ahli sukarelawan juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 secara langsung kerana ada ahli masyarakat yang masih tidak faham bahawa jika mereka merupakan kontak rapat, kes suspek, positif Covid-19, mereka tidak boleh datang ke PPV untuk mengambil vaksin. Malah, ada banyak kes menipu surat sokongan doktor dan mengatakan dia negatif jangkitan, walhal surat itu adalah surat palsu,” keluhnya.
PPV Ampang yang beroperasi sejak 26 Julai lepas, bertujuan mempercepat pemvaksinan penduduk di sekitar Lembah Klang dengan kapasiti harian kira-kira 1,800 dos dan terbuka kepada orang ramai, warga tua serta rakyat asing yang terpilih secara janji temu melalui MySejahtera.
Tenaga belia perlu digembleng
Sara Wajiha yang aktif dalam aktiviti kesukarelawanan di universitinya juga menyangkal dakwaan bahawa belia negara ini lemah dan gagal membantu kerajaan dalam mengharungi pandemik Covid-19.
“… sebenarnya ramai yang tidak dapat duduk diam memikirkan bagaimana hendak memberi sumbangan tenaga dan masa mereka. Saya difahamkan ada kira-kira 60,000 orang yang masih menunggu giliran dan peluang untuk menjadi sukarelawan MyVac, dan ini merupakan jumlah yang besar,” katanya.
Mengenai masa yang dihabiskan di PPV itu, wanita muda berkenaan berkata, hampir setiap hari dia akan berada di situ hingga malam kerana ada masanya mereka tidak mempunyai petugas yang mencukupi.
Dia juga bersyukur kerana mendapat restu ibu bapa untuk bertugas di PPV.
Menurutnya, dia memanfaatkan sepenuhnya peluang menjadi sukarelawan MyVac untuk menimba ilmu dan pengalaman daripada generasi lebih tua.
“Di universiti, kebiasaannya saya bekerja dengan mereka yang hampir sebaya, namun apabila ditugaskan sebagai ketua sukarelawan di sini, saya berpeluang bekerjasama dengan mereka yang datang daripada pelbagai lapisan umur dan pengalaman kerja. Apabila tiba waktu rehat, saya sering duduk berbual dengan mereka dan mencedok banyak nasihat dan teguran daripada mereka,” katanya.
Belia dan kerajaan
Sementara itu, Ketua Projek Belia Mahir, Mohammad Rizan Hassan berkata, anak muda di negara ini harus sedar bahawa pada masa ini seluruh ahli masyarakat memerlukan tenaga mereka.
“Hidup tanpa berkhidmat kepada masyarakat tidak ubah sebagaimana pencuri besar dalam negara. Kehidupan biarlah sentiasa bekerja dan berdamping dengan masyarakat dan negara.
“Selain itu, para belia juga hendaklah menjadi lidah penyambung suara kerajaan kepada rakyat. Semoga jentera pembangunan kerajaan dapat disalurkan kepada seluruh rakyat di negara ini secara holistik,” katanya.
Pada masa sama, Tokoh Belia Negara 2011 itu turut menggesa belia meningkatkan pengetahuan dalam teknologi maklumat kerana pembangunan bandar berteknologi yang dirancang oleh kerajaan adalah untuk ‘menyelamatkan’ golongan tersebut dalam mengharungi era yang mencabar, khususnya pasca-Covid-19.
Katanya kegagalan meningkatkan pengetahuan secara berterusan dalam bidang teknologi maklumat termasuk cara memanfaatkannya akan menyebabkan mereka bukan sahaja ketinggalan dalam bidang itu tetapi juga terdedah kepada ‘serangan’ ke atas cara hidup, agama dan amalan budaya.
“Memang benar ancaman teknologi akan sentiasa berlaku dan menimbulkan perkara-perkara tidak diingini. Tetapi, jika golongan belia sendiri tidak tahu tentang teknologi dan pengurusan multimedia, mereka mungkin tidak dapat mengawal gejala buruk yang akan berlaku kepada masyarakat,” katanya. - BERNAMA