
Pelajar SMK Kampung Raja pelopori kelestarian alam di Cameron Highlands
Semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda terus disemai apabila 40 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kampung Raja menyertai program penanaman 1,500 anak pokok di Hutan Simpan Batu Gangan, Kuala Terla di sini.
Program anjuran Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands (Reach) itu bukan sekadar aktiviti kokurikulum, sebaliknya menjadi platform pendidikan luar bilik darjah yang memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai kepentingan pemuliharaan hutan dan keseimbangan ekosistem tanah tinggi.
Pelajar terbabit berganding bahu bersama 120 sukarelawan daripada Concentrix dalam usaha menanam anak pokok yang diselaraskan dengan kerjasama Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands bagi memastikan proses penanaman dilakukan secara sistematik dan berimpak jangka panjang.

Presiden Reach, A Dilip Martin berkata, pembabitan pelajar sekolah amat penting kerana kesedaran terhadap kelestarian alam perlu dipupuk sejak usia remaja.
Menurutnya, langkah itu sekali gus membantu mereka memahami peranan kawasan tanah tinggi di Cameron Highlands sebagai kawasan tadahan air utama negeri Pahang, penstabil cerun bagi mengurangkan risiko tanah runtuh juga habitat biodiversiti unik dan sensitif.
"Bagi para pelajar, pengalaman menanam pokok di hutan simpan memberi gambaran jelas bahawa kelestarian alam bukan sekadar teori di dalam buku teks, sebaliknya satu tanggungjawab bersama yang perlu digalas demi masa depan," katanya kepada Sinar Bestari.
Beliau berkata, Reach yang telah lebih 20 tahun melaksanakan aktiviti pemuliharaan di Cameron Highlands mahu program seperti ini dapat dijadikan agenda berkala di sekolah-sekolah sebagai sebahagian daripada pendidikan kelestarian yang lebih menyeluruh.
Program tersebut turut mendapat sokongan Yayasan Sime Darby, Pejabat Perhutanan Daerah Raub dan Pejabat Pendidikan Daerah Cameron Highlands.
Ringkasan AI
- Semangat cintakan alam sekitar disemai dalam kalangan generasi muda dengan penyertaan 40 pelajar SMK Kampung Raja dalam program penanaman 1,500 anak pokok di Hutan Simpan Batu Gangan
- Program ini anjuran Persatuan Kesedaran Alam Sekitar Cameron Highlands dan menjadi platform pendidikan luar bilik darjah tentang pemuliharaan hutan
- Pelajar dan 120 sukarelawan daripada Concentrix berganding bahu menanam anak pokok dengan kerjasama Pejabat Perhutanan Daerah Cameron Highlands
- Presiden Reach menyatakan pembabitan pelajar sekolah dalam pemuliharaan alam adalah penting dan membantu mereka memahami peranan kawasan tadahan air dan habitat biodiversiti
- Program penanaman pokok ini didukung oleh Yayasan Sime Darby dan Pejabat Perhutanan serta Pendidikan Daerah Cameron Highlands, bertujuan menjadikannya agenda berkala dalam pendidikan kelestarian
