Guna teknologi dan gajet, dapat pelbagaikan kaedah PdP dan atasi masalah beg berat
Kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang ada pada hari ini sepatutnya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh semua pihak bagi mempelbagaikan kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) sekali gus mungkin boleh digunapakai untuk mengatasi masalah beg berat dalam kalangan murid-murid.
Ini kerana penggunaannya mempunyai ruang lingkup yang sangat luas merangkumi pelbagai aspek seperti pengurusan dan pemprosesan maklumat, menyimpan, memindah serta mencari informasi tanpa sempadan masa dan tempat.
Sehubungan itu, adalah wajar jika proses PdP pada hari ini beralih secara perlahan-lahan kepada penggunaan teknologi di dalam kelas harian, sekali gus mengurangkan kebergantungan murid kepada buku teks.
Meskipun penggunaan teknologi tidak akan menyelesaikan semua cabaran yang dihadapi sistem pendidikan kita, namun ia mampu menyediakan alat yang diperlukan guru, pelajar dan ibu bapa untuk terus maju dan membantu pembentukan masa hadapan pembelajaran yang lebih baik.
Kali ini, Sinar Bestari kongsikan beberapa teknologi dan aplikasi yang boleh dimanfaatkan untuk memudahkan proses PdP secara bersemuka di sekolah sekali gus membantu mengurangkan masalah beg berat yang dihadapi oleh murid-murid.
Buku teks digital
Kementerian Pendidikan (KPM) telah menyediakan buku teks digital kepada murid sekolah dari Tahun Satu hingga ke Tingkatan Lima bagi memudahkan murid mengakses buku di mana-mana sahaja dengan peranti mudah alih, komputer riba atau komputer peribadi.
Buku ini telah didigitalkan dalam format PDF yang boleh dimuat turun dari platform Google Drive secara terus menggunakan akaun Google moe-dl.edu.my murid yang disediakan KPM.
Sebarang maklumat lanjut dan pautan mengenai buku teks digital boleh didapati di laman sesawang www.moe.gov.my
Penggunaan gajet seperti telefon pintar, iPad, skrin LCD, internet dan komputer
Kesemua peralatan ini dapat mengurangkan penggunaan buku teks kerana maklumat boleh dicari menerusi internet dan dipaparkan di dalam kelas menggunakan gajet berkenaan.
Ia bukan saja berjaya mengetengahkan kaedah baharu dalam PdP tetapi juga menjadikan proses belajar lebih menyeronokkan dan santai tetapi harus diingatkan bahawa internet yang baik diperlukan supaya pendekatan baharu ini dapat berjalan lancar.
Google Classroom
Google Classroom diperkenalkan oleh KPM bagi menggantikan Frog VLE dan mula digunakan secara meluas sepanjang tempoh pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pada tahun 2020 dan 2021.
Perkhidmatan ini membolehkan guru membuat pelbagai perkongsian termasuklah sesi latihan, nota dan berkomunikasi dengan murid masing-masing.
Penggunaan aplikasi pembelajaran dalam talian
Terdapat pelbagai aplikasi dalam talian yang boleh dimuat turun pada hari ini untuk mempelbagaikan kaedah PdP seperti Kahoot, Quizziz, Padlet, Quizlet dan ClassDojo.
Semua aplikasi ini menyediakan pembelajaran interaktif berasaskan permainan dan teknologi kepada murid-murid bagi menjadikan PdP lebih berkesan dan menarik.
Pendedahan teknologi Realiti Maya (VR) dan Realiti Tambahan (AR)
Teknologi ini memberi peluang kepada murid untuk merasai pengalaman pembelajaran sesuatu topik atau subjek, seolah-olah berada di lokasi sebenar kejadian.
Ia sudah semakin meluas digunakan di institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara sejajar dengan perkembangan teknologi bagi memberi suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan kepada pelajar.
Sudah tiba masanya sekolah di Malaysia untuk turut sama menggunakan pendekatan ini dalam PdP masing-masing, sekali gus mengurangkan penggunaan buku teks atau latihan dalam kalangan murid.