Pondok Lestari Bahasa merupakan hasil idea Dr Abdul Ghani (tengah) yang bertujuan menyemai kecintaan pelajar terhadap Bahasa Melayu.
Pondok Lestari Bahasa merupakan hasil idea Dr Abdul Ghani (tengah) yang bertujuan menyemai kecintaan pelajar terhadap Bahasa Melayu.

Pondok Lestari Bahasa di SMK Pokok Sena semarakkan kecintaan terhadap Bahasa Melayu

27 Jan 2026 11:53am

Bahasa Melayu merupakan teras kepada pembentukan identiti nasional serta medium komunikasi utama yang menyatukan masyarakat majmuk di Malaysia.

Peranannya bukan sekadar sebagai bahasa ilmu dan pentadbiran, malah menjadi wahana penting dalam membentuk jati diri, nilai kebangsaan dan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Dalam menyokong agenda kebangsaan untuk memperkukuh penggunaan Bahasa Melayu, Guru Cemerlang Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pokok Sena, Kedah, Dr Abdul Ghani Jalil tampil dengan satu inisiatif inovatif yang dikenali sebagai Pondok Lestari Bahasa.

Menurut beliau, inisiatif ini diwujudkan sebagai ruang pembelajaran alternatif yang kreatif dan inklusif, bertujuan menyemai kecintaan terhadap Bahasa Melayu serta menggalakkan penggunaannya secara aktif dan berterusan dalam kalangan pelajar.

Katanya, Pondok Lestari Bahasa merupakan satu struktur ringkas yang dibina di kawasan sekolah, berkonsepkan pendidikan luar kelas berteraskan kelestarian dan pemuliharaan alam.

"Ia diwujudkan sebagai medium alternatif kepada bilik darjah, dengan tujuan untuk menyemarakkan semula minat pelajar terhadap pembelajaran Bahasa Melayu secara santai, interaktif dan kreatif.

No Image Caption

"Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Sekolahku SEJAHTERA, yang menekankan keseimbangan antara akademik, nilai dan kesejahteraan," katanya kepada Sinar Bestari.

Artikel Berkaitan:

Menurut Dr Abdul Ghani, pelbagai aktiviti berimpak tinggi telah dan akan dijalankan di Pondok Lestari Bahasa itu, antaranya termasuk Program NILAM, Sudut Peribahasa Mingguan, Sesi Deklamasi Sajak dan Puisi, Pertandingan Penulisan Karya Kreatif dan Kuiz Interaktif Bahasa Melayu

Ujarnya lagi, ruang pondok turut dihias dengan hasil karya pelajar seperti penghasilan karangan, pantun, poster bahasa, kolaj peribahasa dan artikel pendek yang menjadikan kawasan ini bukan sahaja sebagai pusat ilmu, malah ruang yang membanggakan warga sekolah.

Secara keseluruhannya, Pondok Lestari Bahasa membuktikan bahawa pendekatan pembelajaran yang kreatif, relevan dan berorientasikan murid mampu meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu serta membentuk murid yang berilmu, berbudi dan berjati diri.

Inisiatif ini wajar diperluaskan ke sekolah lain sebagai model inovasi pendidikan yang menyokong matlamat Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013–2025.

 

 

Ringkasan AI

  • Bahasa Melayu merupakan teras pembentukan identiti nasional dan penyatuan masyarakat di Malaysia
  • Dr Abdul Ghani Jalil memperkenalkan inisiatif Pondok Lestari Bahasa sebagai ruang pembelajaran alternatif yang kreatif dan inklusif
  • Pondok Lestari Bahasa adalah struktur ringkas di kawasan sekolah dengan konsep pendidikan luar kelas berteraskan kelestarian
  • Aktiviti di Pondok Lestari Bahasa termasuk Program NILAM, Sesi Deklamasi Sajak dan Pertandingan Penulisan Kreatif
  • Inisiatif ini meningkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan membentuk murid yang berilmu, berbudi, berjati diri
Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp