
Pelajar SMK Merbau raih penghormatan Istana Negara! 'Theodora cemerlang akademik & kokurikulum, kebanggaan Sarawak'
Kisah kecemerlangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merbau, Miri, Sarawak, Theodora Pei Ern Huei bukan lagi asing dalam liputan Sinar Bestari apabila pencapaiannya pernah disiarkan pada Oktober 2025.
Dalam perkongsian terdahulu itu, Theodora mencipta nama apabila berjaya menempatkan diri dalam lima teratas kategori HIPPO 4 pada HIPPO English Olympiad Antarabangsa 2025 yang berlangsung di Assisi, Itali.
Lebih membanggakan, beliau memperoleh markah setara dengan finalis tempat kelima, sekali gus membuktikan bahawa pelajar Malaysia, khususnya dari sekolah luar bandar, mampu bersaing hebat dengan wakil negara lain di pentas global.
Namun, kejayaan Theodora tidak terhenti di situ.
Terbaharu, pelajar cemerlang ini telah dititahkan menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong sebagai pengiktirafan terhadap kecemerlangannya di peringkat antarabangsa.

Jemputan penuh istiadat itu bukan sahaja menjadi detik paling bermakna dalam perjalanan akademik Theodora, malah turut mencipta sejarah tersendiri buat SMK Merbau.
Bukan Theodora sahaja yang menerima jemputan istimewa tersebut, sebaliknya beberapa pelajar terpilih dari seluruh negara turut hadir bagi menerima penghormatan tertinggi daripada Istana Negara.
Menurut perkongsian di Facebook rasmi SMK Merbau, jemputan itu disifatkan sebagai satu detik yang amat membanggakan dan sukar dilupakan oleh seluruh warga sekolah.
"Kami berbangga dengan kejayaan Theodora. Beliau bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah turut menyerlah dalam bidang kokurikulum sehingga berjaya mengharumkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.
"Antara pencapaiannya termasuklah penerima Anugerah Tokoh Pelajar, Anugerah Bintang Kokurikulum dan Anugerah Bintang Akademik sempena Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2025.

"Tahniah Theodora. Teruslah melangkah dengan yakin. Kepada anak-anak Merbau yang lain, percayalah setiap impian itu mampu menjadi nyata jika kalian tidak pernah berhenti berusaha," kongsi pihak sekolah.
Sementara itu, tinjauan di ruangan komen Facebook pula mendapati rata-rata warga maya merakamkan ucapan tahniah dan bangga atas kejayaan luar biasa Theodora.
Aki Agum Channel: "Tahniah SMK Merbau kerana melahirkan insan cendikiawan dan bijak pandai. Merbau boleh!"
Mujan Ubung: "Tahniah dan terima kasih sebab mengharumkan nama Sarawak juga. Kejayaan yang luar biasa. Semoga kejayaan ini adalah permulaan kepada kejayaan dan sumbangan yang lebih besar di masa hadapan, berbakti pada bumi Sarawak dan negara."
Ahmad Khasfol: "Tahniah kepada warga pendidik. Anda berjaya membuktikan ilmu dapat diberi walau di mana saja. Pelajar ini hasil didikan anda, tahniah kepada semua warga pendidik."
Ringkasan AI
- Theodora Pei Ern Huei, pelajar SMK Merbau, Miri, Sarawak berjaya dalam HIPPO English Olympiad Antarabangsa 2025
- Beliau mendapat pengiktirafan setelah menempatkan diri dalam lima teratas kategori HIPPO 4
- Prestasinya membuktikan pelajar Malaysia dari sekolah luar bandar mampu bersaing di pentas global
- Theodora telah dijemput menghadap Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
- Pelajar ini memperoleh pelbagai anugerah akademik dan kokurikulum, mencerminkan kecemerlangan serba boleh
