photo1626833945 (6)
photo1626833945 (6)

Guru Cemerlang Kimia kongsi rahsia sebelum bergelar doktor, tak sangka ini yang wajib pelajar kuasai!

Roshlawaty Md Raieh
26 Jul 2021 04:24pm
A
A
A

Menjadi seorang doktor memerlukan pengorbanan dan kecekalan yang tinggi dalam memikul tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara.

Namun tahukah anda bahawa belajar bidang perubatan bukanlah mudah seperti ‘mengunyah kuaci’. Banyak perkara yang perlu pelajar kuasai sebelum bergelar seorang doktor.

Minggu ini, GPSBestari berpeluang menemu bual Guru Cemerlang Kimia Sekolah Menengah Kebangsaan Jitra, Kedah, Hairul Nizam Omar, 37, berkenaan subjek yang berkait rapat bidang perubatan dan perlu dikuasai pelajar.

Beliau berkata, untuk menjadi seorang pakar perubatan, penguasaan dan pencapaian yang cemerlang bagi ketiga-tiga subjek Sains Tulen iaitu Kimia, Biologi dan Fizik sangat penting.

“Penguasaan gred minimum tidak boleh dijadikan sandaran untuk menceburi bidang perubatan. Pencapaian semua A+ sangat penting memandangkan persaingan dalam jurusan ini sangat kompetitif.

“Kalau dilihat daripada aspek pencapaian minimum syarat kemasukan bidang perubatan, pelajar perlu mencapai sekurang-kurangnya gred B bagi subjek Sains Tulen. Mereka juga perlu mencapai keputusan A+ dengan cemerlang dalam semua subjek Sains Tulen khususnya Kimia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Penglibatan Cikgu Hairul Nizam sebagai tenaga pengajar di Saluran TV Pendidikan (DidikTV), Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Kalau dilihat daripada pemberat dan juga korelasi subjek, Biologi dan Kimia dilihat lebih dominan untuk pelajar menguasai penuh kerana subjek-subjek ini mempunyai asas pengetahuan yang lebih dalam bidang perubatan,” katanya.

Bagi pelajar yang ingin menceburi bidang perubatan, ada beberapa standard pembelajaran yang perlu dikuasai dan Cikgu Hairul Nizam memfokuskan subjek Kimia.

“Pelajar perlu menguasai standard pembelajaran skop pengiraan seperti stoikiometri, larutan piawai, pencairan, kepekatan dan kemolaran. Ini kerana dalam dunia perubatan, pelajar akan belajar secara klinikal tentang pengiraan pembuatan, komposisi dan penyediaan ubat-ubatan.

“Dalam subjek Kimia SPM, cabang standard ini lebih dikenali sebagai kimia perubatan atau kimia farmaseutikal yang menjurus kepada kajian tentang jenis ubat, contoh ubat, kegunaan dan kesan pengambilan ubat-ubatan.

“Malah, ubat-ubatan lebih dominan diajar dalam subjek Kimia berbanding Biologi dan Fizik peringkat SPM,” ujar penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2012 dan 2020 ini.

Fokus tentang ubat-ubatan

Dalam subjek Biologi, kongsi guru kelahiran Melaka ini, pelajar akan menguasai anatomi, fisiologi, nutrisi, respirasi dan sebagainya.

Bagi subjek Fizik, pelajar akan belajar berkaitan gelombang, elektronik, fizik nuklear dan lain-lain kerana ilmu ini juga berguna dalam pembangunan teknologi perubatan.

“Bagi subjek Kimia Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM), para pelajar akan mempelajari dan memahami tentang ubat-ubatan dan kosmetik di bawah Bidang Pembelajaran Kimia Konsumer dan Industri.

“Antara yang dipelajari adalah pelbagai jenis ubat moden antaranya Analgesik, Antimikrob, Ubat Psikotik, Antialergi dan Kortikosteroid,” ujarnya.

Sambung Guru Cemerlang ini lagi, pelbagai maklumat yang perlu pelajar faham dan hafal jika mereka mahu menjadi seorang doktor.

“Saya kongsikan ilmu tentang contoh ubat-ubatan yang perlu pelajar ingat.

“Misalnya, Aspirin, Parasetamol dan Kodeina yang merupakan contoh ubat-ubatan dikelaskan di bawah Analgesic. Aspirin bersifat asid, tidak sesuai bagi seseorang yang gastrik. Ia juga tidak sesuai untuk kanak-kanak kerana akan menyebabkan ulser perut manakala parasetamol yang diambil secara berlebihan dos akan menyebabkan kerosakan hati.

“Pelajar juga perlu faham tentang ubat Antibiotik, Antiseptik dan Disinfektan yang tergolong dalam Antimikrob,” kata guru personaliti DidikTV KPM ini.

Bagi jenis Ubat Psikotik pula, beliau berkata, contohnya ialah Haloperidol, Klorpromazin dan Klozapin.

Contoh jenis ubat Antialergi ialah Antihistamin manakala jenis Kortikosteroid contohnya ialah Betamethasone, Valerate atau Prednisolone.

Rahsia skor Kimia

Memang nampak sukar untuk skor subjek Kimia apabila mengetahui pelbagai perkara yang perlu pelajar kuasai sepanjang pembelajaran.

Menurut Cikgu Hairul Nizam, ada rahsia yang ingin beliau kongsikan untuk pelajar berjaya dalam subjek Kimia dan seterusnya memberi laluan mudah untuk pelajar menjadi doktor yang berjaya.

“Tip utama belajar subjek Kimia adalah minat. Minat membantu pelajar terdorong secara intrinsik untuk mendalami ilmu Kimia seterusnya skor Kimia dalam SPM.

“Dari sudut kurikulum, pelajar perlu menguasai konsep-konsep asas dalam kimia seperti pengiraan stoikiometri, asid, bes dan garam, kadar tindak balas, tindak balas redoks, kimia konsumer dan industri serta lain-lain lagi.

Ini kerana dalam menyediakan asas pengetahuan, bidang-bidang pembelajaran ini mempunyai korelasi antara pembelajaran konstekstual dan juga bidang perubatan.

“Untuk menceburi bidang perubatan, aktiviti hands on juga sangat penting kerana penguasaan pengendalian alat radas dengan baik akan menjadikan pelajar belajar kemahiran proses Sains dan kemahiran manipulatif yang seharusnya ada pada seorang doktor perubatan,” katanya.

Akhir sekali, Cikgu Hairul Nizam menyarankan kepada pelajar yang meminati bidang perubatan, tetapi gagal menguasai subjek Sains tulen dengan baik.

“Pertama, tetapkan matlamat, visi dan impian dalam hidup. Kecenderungan menetapkan impian untuk bergelar pakar perubatan secara tidak langsung mendorong semangat yang jitu untuk murid berusaha dengan lebih gigih menguasai subjek sains tulen terutamanya Kimia.

“Kedua, ubah persepsi ‘tunggu dahulu’. Sekiranya murid mempunyai miskonsepsi sesuatu standard pembelajaran, murid boleh dapat dapatkan bantuan guru atau rakan sebaya. Kesan tangguh miskonsepsi terhadap sesuatu konsep akan menyebabkan murid menjadi malas dan melihat subjek Kimia sebagai subjek yang susah atau killer.

“Ketiga, sentiasa berdoa kepada Tuhan agar memudahkan jalan dalam menceburi bidang perubatan. Dengan berdoa menjadikan pelajar berada dalam mod semangat dan bermotivasi. Semoga berjaya menjadi seorang insan yang bergelar doktor,” akhiri penerima Anugerah Guru Inovatif Kubang Pasu 2018, 2019 dan 2020.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok