Guru dan murid hebat berinovasi
Berinovasi dalam usia muda bukan sesuatu yang mudah. Apatah lagi jika baru berumur 11 tahun dan masih mentah untuk memahami makna inovasi itu sendiri, namun tidak bagi Maryam Muzamir.
Murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan, Pahang itu telah membuktikan dia mampu mengharumkan nama negara menerusi inovasi makanan haiwan daripada kulit udang dan siput sedut (YAM 2.0). Meraih tiga pingat emas pada pertandingan The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada baru-baru ini, Maryam mengakui terkejut kerana menjadi pemenang termuda.
“Saya sangat gembira. Kejayaan ini menaikkan semangat saya untuk terus menghasilkan inovasi terbaharu. Terima kasih kepada keluarga yang banyak memberi sokongan,” ujarnya.
Kejayaan Maryam telah meyakinkan penulis bahawa murid yang memiliki bakat dan kebolehan tersendiri mampu mencipta kejayaan asalkan dia sentiasa berusaha serta diberi sokongan berterusan.
Selain Maryam, dua penuntut Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mohd Fahad Saleem dan Nur Liyana Syasya Mohd Zamuri, masing-masing berusia 24 tahun turut mencipta sejarah dinobatkan sebagai pemenang ‘3M Inspire Challenge’ pada peringkat Asia Tenggara menerusi inovasi Smart Bandage. Memang hebat anak-anak Malaysia.
Baca juga Pemantauan dan libat urus di negeri Sarawak, ini catatan peribadi Dr Mohd Radzi
Berbalik kepada kisah Maryam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi turut melahirkan rasa bangga dengan pencapaian murid berkenaan dan akan menawarkan bantuan untuk mempatenkan hasil inovasinya itu melalui Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Alexander berkata, usaha mempatenkan hasil inovasi seperti itu bukan sahaja memberi pengiktirafan hak milik kreativiti kepada pencipta, malah melindungi ciptaan atau inovasi seseorang daripada diciplak.
Tambahnya, ia juga memberi peluang kepada pencipta meneroka potensi lebih luas seperti mengkomersialkan hasil ciptaan ke peringkat lebih tinggi.
Sementara itu, bapa Maryam, Profesor Madya Dr Muzamir Hasan berkata, idea menghasilkan YAM 2.0 tercetus kerana mereka sering mengunjungi sebuah restoran makanan laut.
“Maryam mencari kaedah untuk kitar semula kulit udang atau cangkerang siput yang dibuang untuk dijadikan bahan makanan haiwan. Maka, terhasillah YAM 2.0,” kata beliau.
Dalam perkembangan lain, penulis ingin berkongsikan inovasi seorang guru yang dikenali sebagai Cikgu Wan Muadzam Wan Abidin.
Beliau yang mencipta inovasi dinamakan ‘Caballus Rafvi’ (Running aids for Visual Impairment) berfungsi sebagai alat sokongan bagi membantu murid berkeperluan khas masalah penglihatan dari segi navigasi, mobiliti dan stabiliti ketika menyertai sukan olahraga terutama dalam acara larian.
Walaupun tidak memenangi sebarang anugerah, usaha Wan Muadzam yang merupakan guru Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di SK Klang mendapat pujian luar biasa daripada rakyat Malaysia.
Ikuti juga kami di:
Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/
Twitter: https://twitter.com/GPSBestari
Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/
Jelas Wan Muadzam, alat bantu itu dicipta dengan mengambil konsep kuda melalui gabungan rekaan troli dan kereta sorong bayi. Ia begitu mudah digunakan bagi setiap kategori, bersaiz besar dan boleh memuatkan dua orang murid pada satu-satu masa.
Bukan sahaja untuk golongan OKU penglihatan tetapi juga berfungsi kepada murid yang mempunyai masalah fizikal seperti kaki tidak sama rata atau kudung.
Alat itu membantu mereka berlari dengan bantuan pengiring yang mengawalnya di belakang, sekali gus menyokong tahap kestabilan dan selamat daripada dilanggar sesiapa.
Walau apa pun jenis inovasi yang dihasilkan guru dan murid, penulis yakin semuanya memberi manfaat. Beruntung Malaysia kerana mempunyai ramai guru dan murid yang berbakat serta berpotensi besar dalam bidang inovasi.
Nama-nama besar seperti Cikgu Samuel Isiah dari SK Runchang, Rompin, Pahang; Cikgu Norasma Mohamed Salleh dan Cikgu Salbiah Mohamed Salleh, masing-masing Guru Cemerlang Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Kelantan dan ramai lagi telah berjaya dengan ciptaan inovasi yang hebat sehingga mengharumkan nama negara.
Teruslah berinovasi. Terus mencuba dan mencuba hingga menjadi!