icimac4
icimac4

ICIMAC 2021: Peranan komunikasi dan media dalam era pandemik

webadmin
15 Jul 2021 02:14pm
A
A
A

NILAI - Seiring dengan perkembangan teknologi, media sosial antara medium yang popular dan mudah dicapai setiap masyarakat seluruh negara untuk menyampai maklumat, berinteraksi dan sebagainya.

Namun, disebalik kelebihannya, terdapat kelemahan penyalahgunaan media sosial ini.

Sebagai contoh perkataan viral atau tular sangat sinonim dengan masyarakat masa kini khususnya dalam media sosial. Ia sering kali disalah gunakan dengan menyebarkan maklumat tanpa mengesahkan kesahihan maklumat tersebut.

Untuk itu, baru-baru ini, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan proaktif telah menganjurkan Persidangan Antarabangsa, Islam, Media dan Komunikasi (ICIMAC) Kali Ke-3.

Diadakan secara dalam talian melalui aplikasi Zoom dan juga disiarkan secara langsung di Youtube USIM TV, persidangan tersebut telah dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Ridza Wahiddin dalam ucapannya berkata, masyarakat dilihat sangat optimis dengan kehebatan yang dijanjikan oleh teknologi, namun tidak menafikan teknologi juga mudah disalah gunakan dan mencetuskan kerunsingan lain.

Menurut beliau lagi, etika memainkan peranan penting dan perlu diterapkan dalam diri seluruh rakyat Malaysia. Not Sure, do not Share!

“Bertepatan dengan moto USIM iaitu berilmu, berdisiplin dan bertakwa, USIM sentiasa berusaha untuk terus menjadi relevan dalam masyarakat sebagai peneraju kemajuan intelektual yang berpaksikan takwa.

“Berbidang bitarakan integrasi ilmu Naqli dan Aqli, USIM telah menyemai budaya prosumerisme dalam kalangan warganya agar Misi USIM 2022 tercapai iaitu mentransformasi USIM sebagai Universiti Sains Islam Glokal berimpak tinggi.

“Dalam menjayakan agenda prosumerisme ini, semua pihak baik kakitangan akademik, kakitangan pentadbiran mahupun mahasiswa dan mahasiswinya, dianjurkan untuk menjadi penyumbang kepada masyarakat yang proaktif dalam lapangan intelektual, sosial, ekonomi dan pelbagai ruang lingkup kehidupan,” katanya.

Bertemakan “Komunikasi, Media dan Kesannya Ketika Krisis”, persidangan tersebut dilihat bertepatan dengan suasana pandemik yang melanda negara sekarang.

Tema ini dilihat relevan untuk diperbincangkan secara ilmiah di peringkat negara dan juga antarabangsa.

Pada masa yang sama peranan komunikasi dan media juga diperlukan untuk berkomunikasi sesama kita, masyarakat setempat dan global.

Dalam pada itu, objektif penganjuran persidangan ini adalah untuk memberi ruang dan platform terbuka kepada ahli akademik, para penyelidik, pelajar pasca-siswazah, pengamal media dan agensi-agensi kerajaan serta NGO yang berminat dalam bidang penyelidikan Islam, media dan komunikasi.

Sepanjang persidangan berlangsung, peserta turut berpeluang membincangkan, seterusnya mencari jalan penyelesaian kepada permasalahan yang dihadapi oleh umat Islam di Timur dan Barat.

Persidangan yang berlangsung selama dua hari itu turut mendapat kerjasama dari Universitas Muhammadiyah Jakarta (UMJ) dan Universitas Muhammadiyah Yogjakarta (UMY).

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok