Frederic adalah cef berbakat
Frederic adalah cef berbakat

Bekas cef, pensyarah Perancis kongsi 20 tahun pengalaman kulinari bersama mahasiswa Malaysia

Rasyidah Zulkifi
13 May 2022 05:06pm
A
A
A

Bekas pensyarah kulinari di Taylor's University, Frederic Raymond Paul Cerchi mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam industri masakan.

Frederic pernah bekerja sebagai tukang masak di beberapa negara seperti Perancis, Sepanyol, England, Scotland, Swaziland dan termasuk Malaysia.

Baca juga

Kemahiran dan kreativiti elemen penting, Ili Sulaiman sifatkan ia diperlukan dalam bidang kulinari

Seni kulinari bukan sekadar masakan, lebih banyak IPT tawar program seni kulinari

“Saya memulakan latihan pertama pada 1995 di restoran ‘Petit Relais’ di Rocamadour, Perancis.

“Lima tahun kemudian, saya menjalani latihan di pelbagai hotel lima bintang dan restoran sekitar Perancis seperti Michel Bras, Laguiole sebelum berpindah ke England untuk bekerja dengan Michel Roux selama setahun.

“Di England, saya bekerja sebagai tukang masak dan cef pastri di restoran Waterside Inn, London bawah bimbingan Michel dan Alain Roux,” katanya ketika ditemu bual Sinar Bestari, semalam.

Menceritakan pengalamannya dengan lebih lanjut, beliau kemudian berpindah ke Scotland pada 1996 untuk berkhidmat sebagai ‘chef de rang’.

‘Chef de rang’ adalah pelayan restoran yang bertanggungjawab mengendalikan pelanggan, mengesyorkan item menu dijual, menerima dan memenuhi pesanan pelanggan.

Menurutnya, skop kerja tersebut membantu Frederic untuk meningkatkan penguasaan dalam bahasa Inggeris menjadi lebih baik.

Frederic adalah cef berbakat

“Kemudian pada 2003, saya menyertai Taylor’s College, Malaysia untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam pengurusan katering.

“Selepas menamatkan ijazah pada 2004, saya kembali ke Perancis dan bekerja sebagai Penolong Pengurus di ‘La table de Jacquie’ di Conques sebelum ditawarkan pekerjaan lain di restoran Scotland.

“Saya berpindah lagi ke Baleares, Sepanyol untuk bekerja sebagai tukang roti dan cef pastri,” ujarnya.

Frederic berkata sepanjang tujuh bulan di Baleares, beliau berjaya menguasai bahasa Sepanyol.

Pada 2006, beliau kembali ke Malaysia bagi menyambung pengajian sarjana di Taylor's University.

Frederic juga bekerja sebagai pensyarah kerana berpengalaman dan mempunyai kemahiran yang luas untuk dikongsikan kepada mahasiswa.

Mengimbau kembali zaman kegemilangannya, beliau memberitahu pernah diberi tanggungjawab oleh kerajaan Swaziland bagi melatih kakitangan dapur dan perkhidmatan di istana dalam tempoh enam bulan.

“Saya juga berjaya mendapat pingat emas semasa pertandingan kulinari FHA di Singapura.

“Sejak itu, saya bertanggungjawab dalam program Masakan, Pastri & Bakeri di Taylor's University," katanya.

Kini, Frederic adalah Pengarah Taylor’s Culinary Institute, Taylor's University setelah melepaskan jawatan pensyarah.

Beliau berjaya menghantar lebih 356 pelajar kulinari universiti berkenaan menjalani latihan industri di luar negara.

“Beberapa alumni kami telah membuka perniagaan makanan mereka sendiri atau bekerja di restoran terkenal seperti Kevin Wong dan Thirushaan Gunasakara yang masing-masing merupakan cef terkemuka di Meta Restaurant dan Spago Dining Room by Wolfgang Puck di Singapura.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

“Pengalaman bekerja secara langsung dengan cef terkemuka akan memastikan mereka menjadi graduan yang berkaliber tinggi dan bersedia untuk industri dalam melayani pelbagai pengkritik makanan serta pelanggan.

“Saya teruja bagi menyaksikan kejayaan dan pertumbuhan pelajar Advanced Diploma in Patisserie and Gastronomic Cuisine (ADC) kami yang selanjutnya sebaik sahaja mereka berada di luar negara,” katanya.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok