b1
b1

Datuk Bahaman, tidak gentar melawan penjajah di Pahang

Norliza Wasilan
29 Aug 2022 11:37am
A
A
A

Semangat dan baktinya wajar dijadikan teladan

Datuk Bahaman atau nama sebenarnya, Abdul Rahman Tuanku Imam Nuh ialah salah seorang pejuang Melayu ketika zaman pendudukan British di Pahang.

Beliau banyak melakukan gerakan penentangan terhadap British selepas tidak berpuas hati dengan campur tangan penjajah yang membolot hasil cukai negeri sehingga menyusahkan rakyat.

Menyingkap kehidupan awalnya sebelum kedatangan British, Datuk Bahaman sebenarnya mempunyai hubungan cukup baik dengan Sultan Ahmad yang ketika itu menjadi pemerintah.

Hubungan mereka ini sudah bermula ketika baginda belum menaiki takhta.

Mengimbas kembali sejarah mereka, Sultan Ahmad cukup berterima kasih kepada Datuk Bahaman kerana membantu baginda menewaskan kekandanya, Bendahara Wan Mutahir dalam perang saudara yang berlaku pada tahun 1857 hingga 1863.

Bagi membalas jasa, baginda melantik Datuk Bahaman sebagai Orang Kaya Semantan dan diberi hak untuk memerintah serta dikurniakan pangkat sebagai Orang Besar Berlapan.

Ketokohannya sebagai pemimpin cukup dikagumi kerana kebolehan mentadbir Semantan dengan baik dan penduduk cukup menghormatinya sehingga ada antara mereka membayar cukai lebih daripada ditetapkan.

Senario ini cukup disenangi ramai, malah mereka tidak pernah merungut dan berkira mengenai cukai yang dilaksanakan oleh Datuk Bahaman ketika itu.

Bagaimanapun, keharmonian itu berubah apabila Pahang diletakkan di bawah Residen British, JP Rodger pada tahun 1888.

Gambar dipercayai penentangan Datuk Bahaman bersama pengikutnya.

Sikap penjajah yang tidak menghormati Sultan Ahmad dan pembesar Melayu dalam pentadbiran negeri terutama membabitkan pungutan cukai serta hal ehwal dan adat istiadat orang Melayu menimbulkan kemarahan sehingga mencetuskan penentangan.

Kemarahan semakin memuncak apabila JP Rodger mengenakan peraturan baharu, antaranya beberapa jajahan diletakkan di bawah kuasa pegawai Inggeris yang dikenali sebagai Pemungut dan Majistret.

Pembesar negeri pula dilarang sama sekali memungut cukai, sebaliknya hanya dibayar pencen sebagai ganti rugi.

Selain itu, rakyat juga merasa tertindas apabila dipaksa membayar cukai tanah dan perlu mendapatkan lesen untuk mencari hasil hutan.

Sikap tamak penjajah itu menambahkan lagi kebencian rakyat terhadap British.

Tidak cukup dengan apa yang telah dilakukan, JP Rodger turut melarang pembesar menggunakan pengikut mereka tanpa bayaran atau upah yang selama ini menjadi amalan adat orang Melayu ketika sistem feudalism.

Tok Guru Peramu ini dipercayai adalah Datuk Bahaman. Beliau diziarahi oleh saudara mara ketika sakit.

Menentang British

Rentetan daripada itu, Datuk Bahaman dengan sokongan Sultan Ahmad dan pengikutnya bangun menentang British pada tahun 1891.

Bagaimanapun, pertempuran awal bersama rakannya iaitu Tok Gajah dan pengikutnya menemui kegagalan sehingga memaksa mereka berlindung di Kelantan dan Terengganu.

Meskipun British memujuk Datuk Bahaman dan rakannya menyerah diri, namun ia tidak diendahkan langsung.

Berikutan itu, British menghantar 105 askar untuk memburu Datuk Bahaman dan pada masa sama menawarkan hadiah kepada orang ramai yang boleh menangkapnya.

Meskipun berdepan pelbagai ancaman, namun Datuk Bahaman dan pengikutnya tidak berputus asa dan terus melancarkan serangan terhadap British di beberapa lokasi.

British kemudiannya menggiatkan lagi gerakan untuk menangkap Datuk Bahaman dengan menghantar lebih ramai askar dan tindakan penjajah itu menyebabkan mereka berundur ke sempadan Kelantan.

Datuk Bahaman serta pengikutnya yang mendapat sokongan daripada pemimpin di Terengganu tetap gigih melancarkan serangan namun tidak berjaya.

Penghujung 1895, beliau dan pengikutnya mengambil keputusan menetap di Siam.

Nama Datuk Bahaman sehingga kini terus kekal dalam lipatan sejarah sebagai seorang pejuang yang berani menentang penjajah Inggeris.

Meskipun senjata yang digunakan tidak boleh menandingi British ketika itu, namun demi maruah dan semangat untuk berbakti kepada negeri kelahiran wajar dijadikan teladan.

Sumber rujukan bahan: Buku Pahlawan Melayu

Artikel berkaitan

Mat Kilau, pahlawan muda yang cukup berani

Selain Mat Kilau, 5 lagi Pahlawan Tanah Melayu yang perlu generasi muda kenali

Fenomena filem Mat Kilau bangkitkan semangat murid SK Tangkungon kembali aktif bersilat


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok