padinportal3
padinportal3

Jiwa skateboard Pa’din Musa, kekal hebat di usia 45 tahun

Mariatul Qatiah Zakaria
29 Sep 2021 06:35pm
A
A
A

Pada usia 45 tahun, ikon papan selaju (skateboard), Ahmad Fadzil Musa atau lebih dikenali Pa’din Musa membuktikan beliau masih hebat dan boleh mencabar kemampuan dirinya.

Mula menceburi sukan tersebut ketika berusia 14 tahun, hingga ke hari ini Pa’din masih lagi aktif.

Wakil negara

Pernah mewakili negara dan merupakan rakyat Malaysia pertama melakar sejarah memenangi dua pingat emas pada Kejohanan Sukan Lasak Asian X Games 2000 di Phuket dan 2004 (Kuala Lumpur), Pa’din membuktikan tiada apa yang mustahil sekiranya ia disusuli dengan semangat dan  usaha.

Sehingga kini tiada seorang pun atlet atau pemain skateboard negara memenangi emas dalam kejohanan tersebut.

Bukan itu saja, Pa’din juga merupakan satu-satunya peserta negara yang bersaing di Summer X Games di Los Angeles, Amerika Syarikat, pada 2004.

“Saya mula berjinak-jinak dengan sukan skateboard ini ketika berumur 14 tahun.  Sejak itu, saya tidak menoleh ke belakang.

“Tidak pernah sesaat pun saya berhenti bermain walaupun satu ketika pernah kecewa dengan arah tuju sukan ini.

"Bagaimanapun, saya bersyukur kerana mendapat galakan dan sokongan penuh keluarga.

“Hari ini walaupun sudah  mempunyai tujuh orang cahaya mata, saya tetap meneruskannya,” ujarnya kepada GPSBestari baru-baru ini.

Anak kelahiran Pulau Pinang ini turut menggunakan kemahiran yang ada dengan menerima tempahan membina  gelanggang sukan ekstrem, selain turut berkecimpung di dalam perniagaan menjual papan selaju.

Hobi dan kemahiran yang dimiliki Pa’din mampu menjana pendapatan lumayan.

Kini Pa'din turut mengusahakan perniagaan mengubah suai dan membina motosikal custom.

Sukan papan selaju

Bercerita mengenai sukan papan selaju,  selain kemahiran, perkara-perkara asas yang perlu dikuasai ialah keberanian, fahami ‘lenggok’ skateboard dan keseimbangan.

Skateboard merupakan satu sukan yang mencabar dan  menyeronokan.

“Bermain skateboard bukan sahaja memerlukan seseorang itu untuk pandai mengawal pergerakan dan keseimbangan diri tetapi mereka juga perlu memberi perhatian kepada keadaan sekeliling untuk mengetahui tahap kelajuan serta segala halangan yang ada.

“Sukan ini turut memerlukan individu itu melakukan pelbagai pergerakan mencabar seperti melompat, berputar, meluncur, melakukan ramp trick, menjunam dan sebagainya. Untuk itu, pastinya keberanian diperlukan.  Jangan takut sekiranya terjatuh atau mengalami luka ringan,” tuturnya yang pernah patah pergelangan tangan.

Mengulas lanjut mengenai pembabitannya , Pa’din memberitahu, dia tidak pernah mendapat didikan dan bimbingan profesional.

Segala kemahiran yang diperolehinya adalah melihat sendiri pemain-pemain skateboard lain bermain selain mencuba sendiri.

Menyifatkan anak-anak muda hari ini bertuah kerana segala kelengkapan mudah dibeli, jelas Pa’din, sukan papan selaju boleh pergi jauh apatah lagi sudah

dipertandingkan pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Negara kita juga tidak ketinggalan mempunyai anak muda yang cukup berpotensi untuk diketengahkan.

“Begitu juga kemudahan yang turut disediakan, segala-galanya lengkap dari segi pembangunan sukan,” tambahnya.

Akhir sekali, Pa’din turut menasihati anak-anak muda hari ini yang mahu berjaya agar tidak mudah berputus asa kerana segala kesenangan tidak datang bergolek dan sahut setiap cabaran yang datang serta jangan mudah mengalah.

Pa'din Musa

PENCAPAIAN

Memenangi dua pingat emas pada Kejohanan Asian X Games 2000 di Phuket dan 2004 di Kuala Lumpur bagi kategori street skateboarding

Satu-satunya peserta negara yang bersaing di Summer X Games di Los Angeles, Amerika Syarikat pada 2004 dan menduduki tempat ke-10

Mewakili negara di pertandingan X Games Asia, Shanghai, China, pada 2010

Mempunyai kasut signature colorway professional, Vans untuk papan selaju keluaran Amerika Syarikat.

RAHSIA KEKAL AKTIF

Sentiasa bangun awal pagi

Berjoging setiap pagi

Tidak minum air bergula cuma minum air kosong (kecuali ketika bersukan)

Ambil suplemen dan juga vitamin

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok