Tular 3 jam jalan kaki ke sekolah warganet hadiahkan basikal untuk pelajar pedalaman Sabah
Tular 3 jam jalan kaki ke sekolah warganet hadiahkan basikal untuk pelajar pedalaman Sabah

Tular 3 jam jalan kaki ke sekolah, warganet hadiahkan basikal untuk pelajar pedalaman Sabah

Rasyidah Zulkifi
11 Apr 2022 06:23pm
A
A
A

Ayon Manson merupakan pelajar Tingkatan Satu yang tular di media sosial kerana kegigihannya berjalan kaki seorang diri sambil membawa buku teks yang berat selama tiga jam untuk pergi ke sekolah.

Pelajar lelaki itu merupakan anak keempat daripada tujuh beradik dan tinggal di pedalaman Kampung Terian, Penampang, Sabah.

Baca juga

Guru berjalan dalam lumpur 18 jam, berjuang elak keciciran murid pedalaman

JPN Sabah guna pelbagai kaedah bantu pelajar pedalaman teruskan pembelajaran

Kisahnya mendapat perhatian pengguna Facebook, Adrian Edy yang menghadiahkan sebuah basikal.

Menurut Edy, ibu Ayon tidak bekerja dan ayahnya pula baru memulakan pekerjaan sebagai pengawal keselamatan di sebuah sekolah rendah.

“Ayon mahu beli basikal, tapi memang ayah dan ibu tidak mampu belikan lagi.

“Edy terus bawa dia ke kedai basikal selepas selesai beli barang sekolah.

“Gembira dan tersenyum dia bila Edy suruh pilih mana satu basikal yang dia mahu,” katanya menerusi hantaran di Facebook, baru-baru ini.

Difahamkan, kehidupan Ayon serba kekurangan kerana sebelum ini bapanya bekerja sebagai petani.

“Tadi Edy bawa adik Ayon pergi beli barangan keperluan dia untuk masuk ke asrama.

“Baju sekolah, seluar sekolah, baju sukan, kasut sekolah, buku latihan dan barangan keperluan lain,” katanya.

Sepanjang perkenalan ringkas itu, Edy menyifatkan Ayon sebagai seorang yang berbudi pekerti tinggi, mempunyai peribadi yang baik dan bersopan santun.

“Saya suruh dia pilih apa sahaja yang dia mahu, tapi dia cakap tidak apa lah abang, banyak sangat ini.

“Ayon ambil apa yang perlu saja abang, ini pun Ayon sudah sangat bersyukur.

“Mengalir air mata bila dengar dia cakap macam itu,” ujarnya.

Edy sempat bertanyakan cita-cita Ayon apabila dewasa kelak, pelajar itu memberitahu menyimpan impian untuk menjadi seorang pegawai bomba.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Menerusi hantarannya itu, Edy turut memberitahu bahawa Ayon disifatkan oleh guru-guru sekolah sebagai seorang yang rajin dan pandai dalam akademik.

Semoga Ayon lebih bersemangat pergi ke sekolah dengan berbasikal baru.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok