portal-iptfutureimage2
portal-iptfutureimage2

Industri automotif semakin mendapat sambutan, pelbagai program berkaitan ditawarkan IPT

Mariatul Qatiah Zakaria
10 Nov 2021 03:31pm
A
A
A

Industri automotif tempatan menjadi sektor utama dalam mewujudkan peluang pekerjaan kepada tenaga kerja muda di negara ini.

Kursus-kursus yang ditawarkan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) baik awam mahupun swasta adalah bertujuan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat dalam industri automotif global.

Dengan penawaran kursus-kursus ini ia dilihat membantu negara merealisasikan hasrat menjadi hab pekerja kemahiran tinggi.

Tidak dinafikan automotif adalah antara bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang mendapat sambutan memberangsangkan serta melahirkan usahawan berjaya.

Untuk itu, kita perlu memberi tumpuan kepada dua elemen utama iaitu melahirkan tenaga kerja profesional serta berkemahiran.

Dalam apa jua bidang, kemahiran adalah kunci kepada perkembangan kerjaya dan tiada satu pun sektor pekerjaan yang tidak memerlukan kemahiran.

Hari ini bidang kemahiran mampu melahirkan pelajar ke peringkat yang lebih tinggi dalam pendidikan.

Sehubungan itu, ini adalah waktu terbaik untuk pelajar-pelajar merebut peluang mempelajari pelbagai kemahiran baharu sebagai persediaan mendepani perubahan corak pasaran kerja akan datang.

Bagi melahirkan graduan yang kekal relevan, IPT perlu memainkan peranan penting untuk melengkapkan mahasiswa dengan pengetahuan dan kemahiran yang bersesuaian dengan tuntutan pasaran kerja masa hadapan.

Sehubungan itu, kali ini GPSBestari menyenaraikan antara IPT tempatan yang menawarkan kursus-kursus automotif untuk pengetahuan bersama.

Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN)

i.IKTBN Bachok, Kelantan

IKTBN Bachok menawarkan Sijil Lanjutan Teknologi Automotif pengkhususan penyelenggaraan kereta, kenderaan perdagangan, jentera berat dan semburan cat.

  1. IKTBN Temerloh, Pahang

Di sini pelajar-pelajar boleh memohon untuk pengajian di peringkat Diploma dan Sijil Teknologi Kejuruteraan Automotif dengan pengkhususan reka bentuk produk dan pembuatan.

IKTBN Temerloh turut menawarkan kursus di peringkat Sijil Teknologi Automotif dengan pengkhususan penyelenggaraan kereta dan juga Sijil Teknologi Kejuruteraan Automotif (Sembutan Cat).

iii. IKTBN Dusun Tua, Selangor

IKTBN Dusun Tua menawarkan kursus automotif di peringkat Diploma Teknologi Automotif dan juga Sijil Teknologi Automotif dalam pengkhususan penyelenggaraan kereta, jentera berat, kenderaan perdagangan dan semburan cat.

  1. IKTBN Chembong, Negeri Sembilan

Di sini para pelajar boleh memohon untuk mengikuti kursus ataupun pengajian di peringkat diploma. Diploma yang ditawarkan ialah Diploma Lanjutan dan Diploma Teknologi Automotif. Sementara itu kursus-kursus yang ditawarkan ialah Kursus Penyelenggaraan Kereta,  Jentera Berat dan  Kenderaan Perdagangan.

  1. IKBN Kuala Perlis, Perlis

Di Institut Kemahiran Belia Negara Kuala Perlis ini, mereka menawarkan pengajian di peringkat sijil lanjutan dan pelajar-pelajar yang berminat boleh mengikut Sijil Lanjutan Teknologi Automotif pengkhususan dalam penyelenggaraan kereta, semburan cat, penyelenggaraan kenderaan perdagangan dan  jentera berat.

Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian tinggi (KPT) Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif)

di sini direka untuk meliputi disiplin yang luas dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal dengan subjek pengkhususan tambahan dalam bidang Kejuruteraan Automotif. Kursus teras yang ditawarkan termasuk mekanik kejuruteraan, lukisan kejuruteraan, workshop technology, computer aided design, thermodinamik, mekanik bendalir, sains bahan, bengkel kejuruteraan mekanikal 1, teknologi elektrik dan strength of material.

Kursus pengkhususan pula seperti Teknologi Kejuruteraan Automotif, Amalan Bengkel Kejuruteraan Automotif, Automotif Elektrik dan Elektronik, Enjin Pembakaran Dalaman, Vehicle Dynamic, Workshop service Management dan Projek Akhir.

Kursus teras yang termasuk dalam program ini ialah Matematik Kejuruteraan, Sains Kejuruteraan, Kesihatan & Keselamatan Pekerjaan dan Keusahawanan. Kursus-kursus wajib yang ditawarkan termasuk Sains, Teknologi dan Kejuruteraan Dalam Islam, Komunikasi dan Penyiaran Islam, Pengajian Malaysia, Nilai Masyarakat Malaysia, Komunikasi Bahasa Inggeris dan Ko-kurikulum akan memberikan pelajar kemahiran interpersonal dan profesionalisme ke arah kerjaya mereka.

Kursus Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) ini ditawarkan di Politeknik Ungku Omar (Politeknik Premier); Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah; Politeknik Kota Bahru; Politeknik Kuching, Sarawak; Politeknik Port Dickson; Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dan Politeknik Sultan Azlan Shah.

Tempoh pengajian adalah selama enam semester dan untuk Politeknik Premier ia terbuka kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan syarat lulus mata pelajaran Sejarah (SPM 2013 dan ke atas), lulus Bahasa Inggeris, dapat lima kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan satu mata pelajaran Sains / Teknikal / Vokasional.

Institut Kemahiran Mara (IKM)

Di sini ditawarkan kursus Diploma Teknologi Automotif Komersial. Tempoh pengajian sepenuh masa selama 36 bulan. IKM yang terlibat ialah di Jasin, Melaka dan Pekan, Pahang.

Syarat kelayakan adalah lulusan SPM dengan dua kepujian dalam mana-mana satu mata pelajaran Matematik / Kumpulan Sains / Kumpulan Vokasional & Teknologi / Kumpulan Mata Pelajaran Vokasional (MPV) / Kumpulan Mata Pelajaran Aliran Vokasional (MPAV) dan mana-mana satu mata pelajaran lain.

Selain itu syarat kemasukan lain adalah lulusan Institut Latihan Kemahiran Awam dan Swasta (ILKA dan ILKS) dengan lulus Sijil Kejuruteraan / Teknologi Kejuruteraan / Teknologi, dalam bidang berkaitan dengan CGPA ≥ 2.00 atau lulus Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) sekurang-kurangnya Tahap 2 dalam bidang berkaitan yang diiktiraf setara.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok