Sumbangan Carrom kepada
Sumbangan Carrom kepada

Inisiatif Putra Cakna, bantuan UPM untuk kakitangan yang memerlukan

Roshlawaty Md Raieh
30 Jul 2021 01:05pm
A
A
A

Pandemik Covid-19 yang masih melanda negara hingga ke hari ini sememangnya memberikan cabaran yang besar kepada semua pihak khususnya kakitangan universiti sendiri.

Menyedari permasalahan tersebut, baru-baru ini Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan Inisiatif Putra Cakna bagi membantu menangani masalah kakitangan universiti secara berhemah agar mereka terus komited dan memberikan fokus secara seimbang dalam menguruskan kehidupan profesional serta peribadi masing-masing.

Menurut Naib Canselornya, Prof Dr Mohd Roslan Sulaiman, program tersebut bermatlamat meningkatkan kesejahteraan warga UPM mendepani situasi mencabar pada masa akan datang secara lebih komprehensif dan inklusif.

“Program ini telah dilaksanakan secara kerjasama oleh Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) UPM dan Sahabat Masjid UPM.

“Pada masa yang sama, ia turut meliputi program Cakna Minda dan Cakna Barisan Hadapan. Apa yang diharapkan program seperti ini dapat diperluaskan ke semua Pusat Tanggungjawab (PTJ) barisan hadapan yang memerlukan sokongan dan ‘suntikan’ riadah minda.

“Aspek kesihatan mental juga merupakan satu aspek yang perlu diberikan perhatian dan penting dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

“Kakitangan barisan hadapan UPM memerlukan aktiviti senggang dan liburan sambilan yang sesuai untuk mereka merehatkan diri buat seketika daripada bertugas,” ujarnya selepas sesi penyerahan sumbangan Cakna Barisan Hadapan, baru-baru ini.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat UPM, Prof. Dr. Ir. B.T Hang Tuah Baharudin; Pengarah Pusat Pengurusan WAZAN UPM, Dr Razali Othman; Pengarah PPKKP UPM, Prof Madya Dr Mohd Rafee Baharuddin; Ketua Seksyen Pengurusan Operasi, Bahagian Keselamatan Universiti, ASP Ibrahim Hassan; Ketua Pusat Kesihatan Universiti, Dr Fauziah Adnan dan Pengarah Hospital Pengajar UPM, Prof Madya Dr Muhammad Mohd Isa.

Sementara itu, Pengerusi Sahabat Masjid UPM, Bukryman Sabri berkata, program Cakna Minda bertujuan menyediakan aktiviti permainan yang menceriakan dan merehatkan minda.

Pada masa yang sama, ia dapat mengeratkan hubungan sesama rakan sekerja dalam kalangan staf di Pusat Pengurusan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan (PPKKP) UPM.

Bagi program Cakna Barisan Hadapan pula, ia bertujuan meringankan bebanan kos yang ditanggung oleh petugas barisan hadapan UPM dalam membuat persediaan untuk bertugas semasa PKP.

Pada majlis itu juga, sumbangan sebanyak 397 kotak pelitup muka, set permainan carom dan ‘comfort food’ turut diagihkan.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok