0001-7724490397_20210913_020601_0000 (1)
0001-7724490397_20210913_020601_0000 (1)

1,500 pelajar menyertai Pertandingan Phostering Antarabangsa SMK Convent Pulau Tikus

Mohd Khairi Mohamad Yusri
22 Sep 2021 01:34pm
A
A
A

PULAU PINANG - Sempena dengan Hari Alam Sekitar Sedunia dan Hari Ozon Sedunia, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Pulau Tikus telah mengadakan Majlis Pertandingan Phostering Peringkat Antarabangsa dan Kebangsaan, baru-baru ini.

SMK Convent Pulau Tikus dalam satu kenyataan, berkata pihaknya berharap dapat melibatkan lebih banyak sekolah secara aktif untuk mengambil bahagian dalam program yang berkaitan dengan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD).

“Kerjasama dengan penganjur bersama iaitu WWF-Malaysia juga diharap dapat memberi maklumat dan pendedahan kepada komuniti mengenai pemulihan ekosistem sekali gus mencapai objektif yang disasarkan.

“Objektif utama pertandingan ini adalah untuk memberi inspirasi, mendidik dan memberi maklumat kepada para pelajar mengenai pentingnya memulihkan ekosistem, menyediakan platform dan peluang untuk berkongsi idea, meningkatkan keyakinan diri, mencungkil bakat masing-masing dan mengembangkan kemahiran pelajar secara holistik mengikut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan Sekolah Transformasi 2025,” katanya.

Pertandingan yang bertemakan ‘Pemulihan Alam dan Ekosistem’ ini berjaya menarik lebih daripada 1,500 peserta dari seluruh dunia seperti Malaysia, Bangladesh, India, Indonesia dan Filipina.

Pelajar SMK Sultan Ibrahim 1, Kelantan, Wan Nur Najla Qistina Mohd Wahidi dipilih sebagai pemenang tempat pertama peringkat kebangsaan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan e-sijil pencapaian.

Tempat kedua pula menjadi milik Aishwariyaa A / P Ramesh dari SMK Seri Nibong, Pulau Pinang yang membawa pulang wang tunai RM300 dan e-sijil pencapaian manakala pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Perempuan Cina, Pulau Pinang, Ooi Qi Xin dipilih sebagai pemenang tempat ketiga yang memenangi hadiah wang tunai RM200 dan e-sijil pencapaian.

Pemenang Anugerah Khas Peringkat Kebangsaan pula menjadi milik Olivia Ng Yu Xuan dari SMJK Perempuan Cina, Pulau Pinang dan Bee Chern Liang dari SMJK Chung Ling, Pulau Pinang. Masing-masing menerima hadiah wang tunai RM100 dan e-sijil.

Wan Nur Najla Qistina dan Aishwariyaa terus menunjukkan pencapaian cemerlang apabila turut mengungguli kategori antarabangsa selepas masing-masing dinobatkan sebagai juara dan naib juara sekali gus membawa pulang wang tunai RM800 dan RM500 manakala tempat ketiga menjadi milik Yusop A Ladjaalam dari Jabatan Menengah Universiti Negeri Mindanao Barat, Filipina yang mendapat wang tunai RM300.

Qi Xin turut unggul apabila berjaya dipilih sebagai pemenang Anugerah Khas Peringkat Antarabangsa bersama-sama dengan Thana Tabassum K dari Sekolah Menengah Kanan Pusat Fathima, Tamil Nadu, India. Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM200 dan e-sijil pencapaian.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok