INOVASI-SINARBESTARI-2023
INOVASI-SINARBESTARI-2023

6 aplikasi pendidikan menarik

nadzarul.amir
10 Jan 2023 04:47pm
A
A
A

Asia Pasifik (APAC) merupakan salah satu rantau yang paling pesat berkembang di dunia dalam menawarkan perkhidmatan mudah alih malah menempatkan lebih daripada separuh jumlah pelanggan global.

Bahkan, rantau APAC dijangka menyumbang sebanyak 41 peratus daripada segmen pasaran aplikasi pendidikan dunia.

Menurut laman Technavio, ia disebabkan beberapa faktor termasuk pangkalan pengguna yang besar, peningkatan kesedaran tentang aplikasi pendidikan, perkembangan internet, penggunaan telefon pintar, penekanan terhadap teknologi oleh institusi pendidikan dan inisiatif kerajaan.

Malaysia tidak terkecuali dalam penggunaan aplikasi pendidikan terutama apabila berdepan pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan beberapa tahun lalu, aplikasi pendidikan menjadi salah satu pilihan medium menimba ilmu dalam pelbagai topik berikutan ia mudah diakses oleh pengguna.

Ketersediaan aplikasi pendidikan pada semua platform turut membantu teknologi berkenaan menonjol malah ia membantu pengguna mempelajari sesuatu topik mengikut kadar kemampuan dan waktu yang sesuai untuk mereka.

Penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang diketengahkan dalam aplikasi pendidikan turut membolehkan ia mengesan kadar pembelajaran yang tepat diperlukan seseorang apabila menggunakan aplikasi berkenaan.

Justeru, mereka dapat mempelajari dengan lebih baik melalui aplikasi di hujung jari.

Selain itu, penggunaan visual dalam aplikasi pendidikan memberi daya penarik sekali gus membantu pembelajaran seharian.

Minggu ini Sinar Bestari berkongsi bersama pembaca beberapa aplikasi pendidikan yang dapat membantu pembelajaran dengan mudah dan pantas.

1. Photomath

Merupakan aplikasi pendidikan matematik yang paling banyak digunakan di dunia dengan lebih 300 juta pengguna.

Ia dijana teknologi AI terkini malah aplikasi berkenaan dapat mengimbas serta-merta permasalahan matematik, menyelesaikan masalah secara tepat dan menerangkan kepada pengguna melalui langkah demi langkah agar pengguna lebih memahami jalan penyelesaiannya.

Aplikasi ini mempunyai ahli matematik khusus yang meneliti kaedah pengajaran lebih berkesan, mengembangkan penyelesaian masalah matematik dan banyak lagi.

Photomath boleh digunakan para pelajar, tenaga pengajar dan ibu bapa. Pengasas aplikasi tersebut, Damir Sabol membangunkan Photomath pada 2014 untuk membantu anak-anaknya membuat kerja rumah.

2. Kahoot!

Kahoot! adalah aplikasi pendidikan berasaskan permainan yang disukai golongan pendidik. Aplikasi ini memudahkan para pendidik untuk berkongsi dan bermain permainan pembelajaran atau kuiz trivia sekali gus menggalakkan perbincangan dalam bilik darjah maya.

Melalui Kahoot!, para pendidik berupaya memperkenalkan topik baharu, mengajar secara interaktif, menyemak, memberi ganjaran, mengumpul data dan membuat penilaian dalam bentuk kreatif untuk menarik minat para pelajar.

3. Vocabulary.com

Aplikasi Vocabulary.com membantu individu yang sudah mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengembangkan perbendaharaan kata mereka.

Ia menyediakan ciri-ciri seperti perkataan hari ini, semakan imbasan perkataan dan kuiz membolehkan para pelajar mengembangkan lagi penggunaan perkataan mereka.

4. Popplet

Aplikasi terbaik untuk pelajar mencipta pemetaan grafik dan berkongsi apa yang telah dipelajari melalui sentuhan visual.

Aplikasi tersebut mudah digunakan dan membolehkan pengguna memasukkan imej serta teks. Ia juga boleh dieksport ke foto untuk dikongsi melalui laman sesawang.

Penggunaan Popplet merupakan cara mudah dan inovatif menterjemah pemikiran pelajar melalui pemetaan berbentuk teks, lukisan ataupun imej.

5. MathBoard

Aplikasi Mathboard mampu dikonfigurasi sekali gus amat sesuai untuk para pelajar peringkat tadika dan sekolah rendah.

Ia menggalakkan para pelajar menyelesaikan masalah matematik malah didatangkan antara muka dengan rekaan menarik dan interaktif.

Para pengguna juga boleh menggunakan MathBoard's Problem Solver yang menampilkan langkah-langkah diperlukan untuk menyelesaikan persamaan tambah, tolak, darab dan bahagi.

Artikel berkaitan

Guru hasilkan lima novel berkisarkan dunia pendidikan

7 aplikasi belajar bahasa Arab

Pensyarah bina aplikasi ‘Track Me’ pantau pergerakan kanak-kanak, jaga keselamatan aset


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok