Ts. Dr. Mohd Izham hasilkan aplikasi Track Me dengan penetapan geofence bagi memantau pergerakan anak-anak
Ts. Dr. Mohd Izham hasilkan aplikasi Track Me dengan penetapan geofence bagi memantau pergerakan anak-anak

Pensyarah bina aplikasi ‘Track Me’ pantau pergerakan kanak-kanak, jaga keselamatan aset

Rasyidah Zulkifi
10 Jul 2022 09:07am
A
A
A

Kes kehilangan dan penculikan kanak-kanak bukanlah suatu perkara yang baharu berlaku dalam kalangan masyarakat di Malaysia mahupun di seluruh dunia.

Malah, ia semakin berleluasa hari demi hari sehingga berakhir dengan tragedi penderaan yang serius atau pembunuhan.

Bagaimanapun, isu ini dapat diatasi dengan manfaat teknologi yang ada pada zaman sekarang.

Pensyarah Fakulti Komputeran, Universiti Malaysia Pahang (UMP), Ts Dr Mohd Izham Mohd Jaya, 39, telah menghasilkan aplikasi ‘Track Me’ dengan ciri ‘geofence’ yang akan membantu ibu bapa bagi memantau pergerakan anak-anak mahupun aset logistik mereka. 

“‘Track Me’ mempunyai dua komponen utama iaitu aplikasi telefon pintar yang akan memaparkan laluan yang telah diikuti oleh pembawa peranti dan rangkaian Global Systems for Mobile (GSM) atau General Packet Radio Service (GPRS) untuk menjejak lokasi pengguna secara ‘realtime’.

Mudahnya pemantauan dilakukan melalui aplikasi 'Track Me'.

“Selain itu, aplikasi itu juga mempunyai fungsi ‘geofence’ yang membenarkan pengguna untuk menetapkan waktu dan koordinat lokasi seperti rumah, sekolah dan taska kanak-kanak. 

“Ia akan memberi amaran dan memberikan makluman sekiranya pembawa peranti keluar dari kawasan geofence pada waktu yang tidak sepatutnya,” katanya.

Tambahnya, selain memantau pergerakan kanak-kanak, ‘Track Me’ juga dapat membantu organisasi menjejak pergerakan aset kenderaan dan warga emas yang mempunyai masalah ingatan.

Mohd Izham berkata, apabila menggunakan aplikasi ini, pengguna perlu memasang kad sim dari mana-mana operator telekomunikasi kepada unit peranti penjejak. 

“Peranti penjejak perlu dibawa oleh pengguna untuk memastikan koordinat terkini sentiasa dihantar kepada sistem ‘Track Me’. 

“Pada masa kini, peranti yang mempunyai aplikasi ini boleh dimuatkan ke dalam beg sekolah, saku atau dipasang pada kenderaan yang ingin dijejak. 

“Koordinat pembawa kemudiannya dihantar menggunakan ‘cloud computing’ dan akan dipaparkan melalui aplikasi di telefon pintar untuk pemantauan jarak jauh,” ujarnya. 

Ulasnya lagi,  bagi menetapkan maklumat ‘geofence’, pengguna perlu membuat carian lokasi menggunakan alamat di aplikasi ‘Track Me’ dan seterusnya menentukan waktu pembawa perlu berada di suatu tempat. 

“Banyak lokasi boleh ditetapkan dalam aplikasi ini dan pengguna juga dapat melihat sejarah laluan yang telah diikuti oleh pembawa mengikut masa yang ditetapkan melalui pilihan menu khusus.

“Bagi memastikan keberkesanan produk ini, pengguna akan mendapat pemberitahuan sekiranya pembawa unit penjejak meninggalkan, memasuki atau gagal hadir ke lokasi ‘geofence’ pada waktu yang telah ditetapkan,” jelasnya yang memenangi pingat emas bagi produk ini dalam Pertandingan Reka Cipta, Kreatif dan Inovasi (CITREX) 2022.

Artikel berkaitan 

Cara bina teknologi Augmented Reality di bilik darjah, tarik keseronokan murid ketika PdP

Penyelidik UMS bangunkan aplikasi tempahan makanan kantin sekolah

Projek pelajar bina sangkar kitar semula untuk manfaat komuniti

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok