Hasil bimbing tiga guru hebat ini, pasukan inovasi SK Kampung Idaman menang emas peringkat dunia
Hasil bimbing tiga guru hebat ini, pasukan inovasi SK Kampung Idaman menang emas peringkat dunia

Hasil bimbing tiga guru hebat ini, pasukan inovasi SK Kampung Idaman menang emas peringkat dunia

Roshlawaty Md Raieh
30 Dec 2020 07:51am
A
A
A

Pasukan inovasi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Idaman Pelabuhan Klang, Selangor terkejut kerana dipilih sebagai penerima Anugerah Khas pada Bangkok International Intellectual Property, Invention, Innovation And Technology Exposition (IPITEX 2020), awal Februari lalu menerusi inovasi Idaman Tea.

Dalam masa yang sama, inovasi itu juga turut memperoleh pingat emas pada pertandingan berkenaan.

Ketua pasukan Inovasi, Cikgu Danial Heryanto Zainal Abidin berkata, Idaman Tea ialah serbuk daun pucuk jambu dan daun pudina menggunakan uncang daripada fiber daun nanas (Mint Guava leaf Tea in Pineapple Fibre Sachet).

"Idaman Tea dihasilkan untuk merealisasikan pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) dan Kefahaman Melalui Rekabentuk (KMR) dalam program TS25 berteraskan keperluan pembelajaran murid.

"Idaman Tea merupakan produk inovasi rintis hasil idea bersama guru dan murid sekolah ini," katanya.

Sijil dan Anugerah Khas I-New Gen Award yang dimenangi inovasi di IPITEX 2020.

Inovasi Idaman Tea yang dihasilkan daripada serbuk daun pucuk jambu dan daun pudina menggunakan uncang fiber daun nanas.

Terdahulu, IPITEX 2020 yang berlangsung 2 hingga 6 Februari lalu, bertujuan menghargai alam sekitar dan meningkatkan kualiti penggunaan herba dalam kesihatan manusia.

Objektifnya juga mengenali dan mendekati sumber alam serta memanfaatkan kebaikan yang ada pada alam sekeliling.

Berlangsung di Bangkok International Trade & Exhibition Centre, Thailand (BITEC), IPITEX 2020 disertai beberapa negara dari seluruh dunia antaranya, Malaysia, Poland, Iran, Korea, Jepun, Thailand, Indon dan United Kingdom.

Turut sertai Kanada, Filipina, Arab Saudi, Vietnam, Laos, Hong Kong dan China.

Sementara itu, Cikgu Danial Heryanto berkata, inovasi Idaman Tea dihasilkan menggunakan tumbuh-tumbuhan organik iaitu pucuk daun jambu batu dan daun pudina yang telah dikeringkan secara tradisional di bawah cahaya matahari sebelum dijadikan serbuk.

"Serbuk yang banyak khasiatnya ini, dihidangkan di dalam uncang yang diperbuat daripada serat daun nanas (Ananas Comosus).

"Kemudian, uncang yang boleh dicuci ini, boleh diguna semula beberapa kali untuk sajian minuman yang seterusnya," katanya yang juga Guru Cemerlang bahasa Melayu.

Beliau berkata, penghasilan Idaman Tea itu bukanlah untuk nilai komersil semata-mata.

"Objektif inovasi ini adalah untuk memberi peluang kepada murid melontarkan idea berdasarkan pengetahuan dan kemahiran yang mereka ada.

"Murid turut terdorong untuk melakukan penyiasatan dan juga inkuiri hasil persoalan idea yang timbul. Maka projek ini bukan sahaja dapat dijadikan sebagai produk inovasi sekolah, malah telah membawa kepada pembelajaran terbeza dan terbentuknya elemen merentas kurikulum itu sendiri," ujarnya.

Cikgu Danial Heryanto dan Mohamad Khairy Faris Afandey bersama piala Anugerah Khas yang dimenangi pada IPITEX 2020.

Gabungan tiga murid

Idaman Tea telah dihasilkan oleh tiga murid Tahun Lima sekolah berkenaan. Mereka ialah Mohamad Khairy Faris Afandey, Nidal Eiman Erwin dan Muhammad Aqil Yahya.

Selain Cikgu Danial Heryanto, mereka turut dibimbing oleh dua lagi guru hebat iaitu Cikgu Mohd Norhizal Ramlee dan Cikgu Shahrizal Mohd Azain.

Menurut Cikgu Danial Heryanto, Idaman Tea pernah memperoleh pingat emas dalam pertandingan Indonesia International Young Inventors Award (IYIA) 2019 yang berlangsung di Jakarta, Indonesia, tahun lalu.

Juga mendapat pingat perak di Kuala Lumpur Engineering Science Fair 2019 di Mines International Exhibition & Convention Centre.

"Ketika bertanding di IPITEX 2020, kami telah buat sedikit penambahbaikan dari segi kualiti uncang di mana kami mencampurkan 50 peratus kain kapas dan 50 peratus fiber nanas untuk mendapatkan tekstur yang lebih kuat dan tahan lama.

"Alhamdulillah, dapat anugerah khas dan pingat emas," katanya.

Akhir sekali, pasukan inovasi SK Kampung Idaman berhasrat menghasilkan inovasi penggunaan sumber alam untuk menghasilkan baja.

"Kami masih memikirkan nama yang bersesuaian untuk produk tersebut. Insya-ALLAH, perkataan Idaman akan dikekalkan kerana ia bersempena dengan nama sekolah kami," ujar beliau.

Guru pembimbing dan pasukan inovasi SK Kampung Idaman bersama penasihat inovasi Idaman Tea, Dr Marfiah Ab Wahid (tiga dari kiri) di Makmal Sains Fakulti Kejuruteraan Awam UITM.

Cikgu Danial Heryanto bersama delegasi Malaysia menerima I-New Gen Award IPITEX 2020.

 Guru pembimbing dan pasukan Inovasi SK Kampung Idaman meraikan kejayaan sebaik selamat tiba di Malaysia.

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok