HomeGen ZInovasiTeknologi dan perisian komputer untuk pelukis grafiti

Teknologi dan perisian komputer untuk pelukis grafiti

Umum sedia maklum, kini perisian komputer merupakan satu keperluan penting dalam penghasilan idea bagi sesebuah rekaan.

Ia mampu membantu sesiapa sahaja menghasilkan karya seni dalam masa singkat dan dalam jumlah yang banyak.

Menurut Pensyarah Jabatan Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak, Mohd Nafis Saad, 42, kemahiran dalam perisian komputer juga dapat memberikan nilai tambah kepada mahasiswa untuk mempersiapkan diri di alam pekerjaan.

“Dengan kefahaman tentang elemen dan prinsip rekaan yang baik, sumber rujukan sesuai, selain mempunyai kemahiran penggunaan perisian komputer yang bagus, penuntut bukan sahaja dapat menghasilkan lukisan grafiti menarik, malah mampu menghasilkan produk- produk seni lain sebagai sumber pendapatan sampingan mereka,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Tambah Mohd Nafis, bagi penuntut seni, keperluan penggunaan perisian sangat penting terutama melibatkan versi terkini yang berkaitan dengan seni dan rekaan.

“Perisian yang diajar adalah lebih kepada menyokong subjek-subjek visual utama seperti dua dimensi (2D) dan tiga dimensi (3D); seni catan, seni cetak, seni arca dan lukisan,” ujarnya yang mengatakan perisian ini akan sentiasa diaplikasikan pelajar sepanjang tempoh pengajian mereka.

Untuk itu, Mohd Nafis turut menyenaraikan beberapa teknologi dan juga perisian yang sering digunakan dalam lukisan grafiti.

**

4 perisian grafiti

Adobe Illustrator (Ai)

AI merupakan antara perisian berasaskan vektor yang popular digunakan oleh pereka bagi menghasilkan rekaan seperti logo, ikon, tipografi dan ilustrasi 2D. Pelukis grafiti dapat menghasilkan lakaran idea-idea awal seperti konsep dalam rekaan garisan, rupa, bentuk dan warna dengan menggunakan ‘tools’ yang telah tersedia.

Adobe Photoshop (Ps)

PS merupakan antara perisian terbaik yang biasa digunakan dalam proses suntingan gambar. Melalui perisian ini juga, pelukis mampu menghasilkan lukisan seni halus secara digital dan rekaan grafik dengan lebih berkualiti serta mudah, berbanding lakaran lukisan secara manual. Sebelum lukisan sebenar dihasilkan pada dinding, Ps mampu membantu pelukis dapatkan kesan grafiti.

Adobe Animate (An)

KINI penghasilan grafiti tidak lagi terhad dengan kaedah secara konvensional seperti stensil dan penyembur. Seni visual ini mula dijelmakan secara digital pada permukaan dinding dengan bantuan perisian dan peralatan berteknologi.
An adalah antara perisian membolehkan imej yang terhasil digerakkan mengikut tempoh masa ditentukan, jadi pelukis grafiti dapat mencipta kelainan dalam penghasilan karya grafiti mereka.

3D Blender (Blender)

IA merupakan perisian yang dapat menghasilkan objek dalam bentuk 3D secara digital. Antara kebaikan penggunaan Blender ialah perisian ini boleh diperoleh secara percuma, mudah digunakan dan mempunyai banyak sumber rujukan pembelajaran di internet. Bagi pelukis grafiti, ia merupakan medium yang bagus untuk dicuba dalam mewujudkan kepelbagaian bentuk grafiti dari 2D ke 3D secara digital. Pelukis hanya perlu memasukkan imej grafiti 2D ke dalam skrin perisian dan menyunting ke bentuk 3D dengan menggunakan ‘tools’ yang telah tersedia.

Aplikasi peranti pintar, Procreate dan SketchBook

PROCREATE dan SketchBook antara beberapa perisian yang sering digunakan dalam membuat lakaran lukisan di dalam tablet. Ia boleh menjadi alternatif kepada Adobe Illustrator dan Adobe Photoshop yang telah diringkaskan. Antara ciri menarik dalam aplikasi ini adalah kepelbagaian kesan ‘brush’ yang sangat membantu memudahkan pelukis grafiti memilih garisan yang sesuai sebelum membuat lakaran.

Teknologi projektor laser dan dron

SELAIN itu, antara peralatan teknologi lain adalah seperti projektor laser yang mampu memancarkan lukisan grafiti secara digital pada waktu malam ataupun menggunakan teknologi drone. Walaupun teknologi ini boleh dianggap melibatkan kos yang tinggi tetapi tidak mustahil ia akan diterima oleh masyarakat dan tidak lagi disalah anggap sebagai lukisan-lukisan vandalisme pada dinding.

Artikel berkaitan

Teknologi pelengkap guru kalis masa hadapan 

Sentuhan karya grafiti guru ini cukup luar biasa 

Cekap kawal tin cat semburan, skil wajib diperlukan untuk menjadi seorang pelukis grafiti yang berjaya


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok