Untitled design (3)
Untitled design (3)

Sentuhan karya grafiti guru ini cukup luar biasa

Norliza Wasilan
12 Sep 2022 11:15am
A
A
A

Sanggup bersengkang mata walaupun terpaksa bermula seawal jam 3 pagi.

Meskipun bergelar seorang pendidik, ia tidak pernah menghalang Iqbal Hareez Osman, 38, dalam menghasilkan karya grafiti yang cukup mengagumkan.

Buktinya apabila bakat guru ini pernah mendapat perhatian Petronas untuk projek Tanah Airku pada 2015.

Pemilihan itu menjadikannya satu-satunya guru di Johor terpilih menjayakan projek grafiti pada dinding bangunan lapan tingkat dan berjaya menyiapkannya dalam tempoh lima hari.

salah satu daripada karya grafiti Cikgu Iqbal Hareez. Foto/Iqbal Hareez.

Guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Pulai Perdana, Kulai, Johor ini juga mempunyai pencapaian membanggakan apabila terpilih menyertai Meeting of Style International yang diadakan di Malaysia, selama empat tahun berturut-turut sejak 2017.

Meeting of Style International adalah sebuah jaringan antarabangsa bagi artis grafiti yang menaja dan menyokong kerja grafiti mural membabitkan negara di Asia, Rusia, Eropah dan Amerika Syarikat.

Pengorbanan

Beliau yang lebih dikenali dengan nama seninya Ebal Arez turut berkongsi pengalamannya menyertai projek Petronas dan menganggap peluang yang diberikan adalah penghormatan terhadap bakatnya.

Malah, beliau mengakui sanggup bersengkang mata memulakan hasil seninya seawal pukul 3 pagi bagi mengimbangi tuntutannya sebagai guru.

“Memang terkejut apabila dipilih menyertai projek itu kerana senarai nama artis datangnya daripada Petronas sendiri yang mahukan anak Johor untuk Tanah Airku.

“Pada saya, Tanah Airku adalah antara projek paling bermakna kerana perlu siapkan karya di dinding bangunan setinggi lapan tingkat dalam masa lima hari.

“Ketika itu, saya memang berperang dengan masa kerana perlu seimbangkan antara sesi persekolahan dan juga menyiapkan grafiti,” ujarnya.

Hasil grafiti karya Iqbal Hareez untuk Petronas bertemakan Tanah Airku. Foto/Iqbal Hareez.

Namun, jelasnya, disebabkan minat dan komited dengan kerja yang diamanahkan, beliau cuba membahagikan masa sebaiknya supaya tidak menganggu waktu mengajar.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Seni Visual, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu turut berkongsi pengalamannya menghasilkan grafiti sempena Pameran Cerita Rakyat: Kisah Leluhur Johor di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar, Yayasan Warisan Johor (YWJ), Johor, pada 2018.

Sebanyak 12 kisah rakyat yang sinonim dengan masyarakat Johor diilustrasikan menerusi grafiti antaranya Kisah Si Bongkok Tanjung Puteri, Si Badang, Puteri Gunung Banang dan Puteri Bunian Kampung Bumbun.

“Pada saya, untuk menjayakan pameran solo ini, memang amat mencabar dan rumit kerana karya yang dihasilkan pada dinding perlu seiring dengan jalan ceritanya,” ujarnya lagi.

Cikgu Iqbal Hareez juga memaklumkan selain grafiti, beliau juga pernah menghasilkan mural antara tahun 1999 hingga 2008.

Ujarnya, kedua-dua seni itu berbeza dari aspek penggunaan bahan dan teknik kerana grafiti menggunakan cat semburan, manakala mural lebih kepada penggunaan cat dan berus.

“Bagaimanapun, setakat ini saya belum pernah gabungkan (mural dan grafiti dalam satu karya) sebab grafiti lebih memudahkan proses kerja, hanya semburan cat sahaja.

“Berbanding dengan mural banyak benda yang perlu dilakukan seperti bancuhan cat dan guna banyak peralatan,” ujarnya.

Beliau turut aktif berkongsi ilmu mengenai grafiti kepada pelajar. Foto/Iqbal Hareez.

Mengimbas minatnya dalam bidang seni itu, beliau memberitahu, ia bermula ketika mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Zon R1 Wangsa Maju di Kuala Lumpur pada 2009.

Ketika itu, beliau menyewa rumah bersama sekumpulan lima artis grafiti termasuklah Abdul Hafiz Abdul Rahman yang cukup terkenal sebagai Katun.

“Saya selalu tengok grafiti yang dihasilkan, ketika itu saya melihat mereka ini bekerja cukup cekap juga pantas dan daripada situlah saya terfikir untuk serius tetapi pada masa sama tetap menjadi guru,” ujarnya yang turut memaklumkan beliau sebenarnya mula berjinak dengan grafiti pada 2002 .

“Sebenarnya saya mula buat grafiti pada 2002, tetapi selepas serumah dengan mereka minat untuk serius dalam bidang ini pun timbul,” ujarnya mengakhiri bicara.

Artikel berkenaan

Kempen hijau SMK Darul Ehsan, kumpul 10,000 botol plastik untuk hasilkan mural

Cikgu Azmi tidak betah duduk diam, sanggup lukis mural di dinding STEMZA hingga cecah puluhan karya

Tetap disayangi ramai walau berperangai pelik. Itulah istimewanya Cikgu Zul!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok