Jiwa kental Farah Ann
Jiwa kental Farah Ann

Jiwa kental Farah Ann

Norliza Wasilan
07 Nov 2022 03:38pm
A
A
A

FARAH Ann Abdul Hadi. Namanya terpahat sebagai antara atlet gimnastik paling berjaya pernah negara miliki.

Wanita kacukan Melayu-Kanada berusia 28 tahun ini banyak mengharumkan nama negara sehingga peringkat antarabangsa lantaran bakat luar biasanya dalam sukan itu.

Malah, kemunculannya sentiasa dinantikan penggemar sukan itu yang turut sama-sama merasai debaran ketika beliau melakukan persembahan.

Tidak hanya bakat, Farah Ann juga terkenal kerana kejelitaan yang dimiliknya sehingga mencuri tumpuan ramai.

Menyingkap pembabitan awal, Farah Ann yang berkongsi kisahnya bersama Sinar Bestari berkata, semuanya bermula apabila ibu bapanya, Abdul Hadi Ahmad dan Kimberley Ann Gagnon menghantarnya ke kelas gimnastik ketika berusia tiga tahun bersama kakak sulung, Katrina Ann.

Farah Ann bersama ibu dan bapa ketika meraikan kejayaannya. Kredit foto: Instagram Farah Ann.

Tutur anak kedua daripada tiga beradik itu, ketika berusia lapan tahun, bakatnya mula digilap selepas seorang jurulatih gimnastik datang ke sekolahnya untuk mencari gimnas kecil.

“Saya mula menceburi bidang gimnastik pada usia yang sangat muda iaitu tiga tahun.

“Ibu bapa masukkan saya ke kelas gimnastik bersama kakak yang ketika itu (berusia) lima tahun, selepas itu saya terus minat sukan ini dan ingin meneruskannya.

“Masa berumur 13 tahun, saya secara rasminya menyertai skuad kebangsaan dan ketika itu saya bersekolah di Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ),” ujar pemegang Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Sains Sosial (Pengajian Antarabangsa) dari Monash University Malaysia.

Berkongsi pengalaman menjalani latihan sebelum persaraannya pada Mac lalu, Farah Ann memaklumkan, jadualnya cukup padat sebagai persediaan mewakili negara.

Selain itu, beliau turut mengakui bahawa stamina yang tinggi adalah kunci untuk membantunya memberi persembahan terbaik.

Farah Ann (dua dari kanan) bersama keluarganya ketika konvokesyen Monash University Malaysia. Kredit foto: Facebook Farah Ann.

“Saya berlatih empat hingga enam jam sehari, enam hari seminggu (bermula) Isnin sehingga Sabtu dan tiga kali seminggu saya berlatih dua kali sehari.

“Stamina boleh ditingkatkan melalui latihan dan melakukan senaman fizikal, perkara ini penting supaya kami boleh melakukan yang terbaik di pertandingan antarabangsa,” tuturnya.

Fokus

Kejayaan tidak datang dengan mudah dan ini diakui Farah Ann yang menekankan fokus serta sasaran cukup penting bagi atlet.

Sepanjang 25 tahun kariernya, Farah Ann mendedahkan antara pengalaman manisnya ialah meraih emas di Sukan SEA Singapura 2015 dan beraksi di Olimpik Tokyo 2020.

“Banyak pengalaman manis antaranya menang emas di Sukan SEA Singapura yang ketika itu ayah adalah pengurus pasukan, kami semua termasuk rakan dan jurulatih bekerja keras supaya dapat bawa pulang emas.

“Kami cukup gembira apabila dapat membawa pulang pingat emas ke Malaysia selepas kali terakhir dimenangi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2001.

Farah Ann mengharumkan nama negara dalam pelbagai pertandingan yang disertainya. Kredit foto: Instagram Farah Ann.

“Selain itu, saya layak ke Olimpik Tokyo 2020, ini pengalaman sangat manis selepas bekerja keras untuk mencapainya,” tuturnya yang cukup mengagumi bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David.

Setiap kemanisan pasti terselit kepahitan, begitulah lumrah dunia yang ditempuhi Farah Ann.

Pelbagai siri kecederaan terpaksa dilalui seperti retak tulang belakang, ligamen koyak pada bahu dan buku lali, namun semua itu tidak pernah melunturkan semangatnya.

“Banyak kecederaan dilalui, perlu melakukan proses pemulihan dan fisio untuk mengembalikan tahap kecergasan yang tinggi untuk bertanding, pada saya ini amat sukar.

“Saya perlu melalui proses yang agak pahit kerana semua ini memerlukan masa yang panjang dan kenangan ini cukup menyakitkan,” ujarnya.

Setiap kali pertandingan, Farah Ann mengakui tidak terlepas daripada gemuruh, namun ditangani dengan berfikiran positif dan memberi motivasi kepada diri sendiri.

Begitu juga ketika gagal, beliau tidak hanyut dalam kekecewaan dan mengatasinya dengan melihat semula kelemahan untuk diperbaiki.

“Perlu nilai semua persembahan dan belajar perbaiki untuk pertandingan seterusnya, sentiasa positif dan ingatkan diri sendiri bahawa ia adalah satu langkah untuk menimba ilmu,” ujarnya.

Farah Ann menerima Anugerah Olimpian Terbaik 2019 dalam Majlis Anugerah dan Makan Malam Tahunan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) kali ke-26. Kredit foto: Instagram Farah Ann.

Perancangan

Mengulas perancangan selepas bersara, Farah Ann mahu menjadi juri antarabangsa dalam gimnastik dan menganjurkan pertandingan menggunakan namanya.

“Saya tetap mahu berbakti dalam sukan ini, untuk beberapa tahun akan datang saya mengambil kursus menjadi juri antarabangsa sukan gimnastik.

“Saya juga ingin mengadakan pertandingan di bawah nama saya untuk memberikan satu lagi platform kepada gimnas negara bertanding,” ujarnya yang turut menyatakan minatnya untuk menceburi bidang komunikasi.

Farah Ann (kiri sekali) meraikan kejayaan mereka meraih pingat untuk negara. Kredit foto: Facebook Farah Ann.

INFO

Pencapaian terbaik Farah Ann

1) Sukan SEA Singapura 2015 - dua emas

2) Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 - dua emas

3) Sukan SEA Manila 2019 - tiga emas

4) Cipta sejarah menjadi gimnas ketiga negara beraksi di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas Au Li Yen (Olimpik 2000, Sydney) dan Ng Shu Wai (Olimpik 2004, Athens)

Artikel berkaitan 

10 aplikasi menarik sebagai panduan peminat gimnastik

Amir Izwan dinobat Tokoh Siswa UPSI 2021

Maia Ong kini berguru dengan atlet gimrama negara, Durratun Nashihin


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok