JOANNE-SKIL-SINARBESTARI-2022 (4)
JOANNE-SKIL-SINARBESTARI-2022 (4)

Joanne Tan kongsi 5 asas sukan piring terbang

nadzarul.amirnadzarul.amir
21 Nov 2022 11:18am

Sukan piring terbang (ultimate frisbee) boleh dianggap masih baharu dalam kalangan peminat sukan di negara ini.

Hakikatnya, sukan yang tidak membenarkan sentuhan fizikal berkenaan sudah lama bertapak di pentas antarabangsa.

Menariknya ultimate frisbee telah mendapat pengiktirafan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) yang diumumkan di Kuala Lumpur pada 2015.

Menurut atlet ultimate frisbee, Joanne Tan Shi Hui, atlet merupakan pengadil dalam setiap perlawanan menjadikan sukan itu agak unik dan menarik.

Joanne Tan menunjukkan cara tangkapan satu tangan (one handed catch).

Wanita berusia 28 tahun itu menambah, ultimate frisbee boleh dibahagikan kepada tiga kategori iaitu campuran, lelaki dan perempuan.

Katanya lagi, piring terbang (disc) boleh dibaling ke mana-mana arah rakan pasukan untuk melengkapkan balingan dalam permainan.

Dalam pada itu, dia memberitahu, mereka yang berminat menceburi sukan berkenaan tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak malah hanya perlu memiliki kasut sesuai, piring terbang (disc) dan tempat sesuai.

“Mereka yang memiliki latarbelakang pernah bersukan lebih mudah memahirkan diri dalam sukan ultimate frisbee. Perkara asas utama adalah boleh melempar, menangkap, berlari mencari ruang dan mengetahui peraturan-peraturan ultimate frisbee.

“Bagaimanapun, saya mendapati kebanyakan yang baharu ingin mencuba sukan ini berdepan masalah ketika hendak melempar piring terbang (disc). Latihan berterusan akan membuatkan ia sempurna,” katanya.

Untuk itu, minggu ini Joanne Tan berkongsi bersama pembaca Sinar Bestari lima perkara asas dalam menceburi sukan ultimate frisbee.

Teknik tangkapan menggunakan dua tangan paling asas dalam sukan ultimate frisbee merupakan tangkapan pankek.

Lemparan forehand

Lemparan forehand atau lebih dikenali sebagai flick merupakan antara balingan asas digunakan dalam ultimate frisbee. Anda perlu flick pergelangan tangan ke hadapan sambil mengekalkan kedudukan frisbee selari dengan tanah semasa ia bergerak ke arah sasaran.

Lemparan backhand

Mereka yang pernah bermain sukan tenis atau badminton, lemparan backhand mungkin tidak begitu asing bagi anda. Pada mulanya, ia mungkin kelihatan agak sukar tetapi lemparan ini boleh digunakan untuk hantaran jarak dekat, sederhana dan jauh dalam sukan ultimate frisbee.

Lemparan hammer

Bagi yang sudah memahirkan diri dalam lemparan forehand dan backhand boleh mencuba lemparan hammer. Ia lebih sukar terutama apabila angin bertiup kencang. Bagaimanapun, lemparan hammer memerlukan latihan kerana piring terbang perlu dilemparkan dari atas.

Tangkapan pankek

(pancake catch) Teknik tangkapan menggunakan dua tangan paling asas dalam sukan ultimate frisbee merupakan tangkapan pankek. Ia memudahkan anda menangkap piring terbang kerana menggunakan tapak tangan menghadap satu sama lain seperti pankek. Apabila menggunakan teknik tersebut, letakkan tangan di hadapan dan pada jarak dekat badan dengan sudut tepat untuk menangkap piring terbang.

Tangkapan satu tangan (one handed catch)

Ia sangat berguna apabila menerima lemparan sekitar buku lali, jauh di atas kepala atau jarak yang memerlukan anda meregangkan kedudukan untuk menangkap piring terbang.

Artikel berkaitan

Kerana populariti sukan frisbee, kumpulan pelajar UKM sepakat anjur UFUC 2022

Hadif harumkan nama negara dalam Muay Thai, impi jadi peninju profesional

Kejohanan Olahraga Tahunan lahir murid pintar dan berbakat dalam sukan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok | WhatsApp