Juru X-ray: Kerjaya diperlukan, Kolej Vision tawar program Diploma Pengimejan Perubatan
Kerjaya sebagai juru X-ray atau pun radiographer mungkin agak asing berbanding profesion kesihatan yang lain.
Juru X-ray bertanggungjawab menjalankan pemeriksaan berasaskan radiasi dalam bidang perubatan untuk membantu proses diagnosis, rawatan dan pengurusan kesihatan pesakit.
Ia merupakan sebahagian daripada pasukan petugas barisan hadapan yang turut sama memerangi penularan wabak Covid-19 di seluruh dunia.
Tugas mereka membantu untuk mengesahkan diagnosis dan tahap kesihatan pesakit melalui pemeriksaan tertentu seperti radiografi am dan imbasan CT.
Menyebut tentang radiasi, apa yang terbayang dalam fikiran tentunya tentang bahaya dan mudarat.
Ini kerana radiasi wujud dalam keadaan yang tidak dapat dilihat atau dirasa oleh pancaindera.
Namun, ramai yang tidak tahu cara mengawal tahap radiasi secara optimum untuk memastikan keselamatan orang yang terlibat secara langsung atau tidak langsung semasa pemeriksaan dijalankan.
Inilah salah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh juru X-ray. Mereka perlu menimba ilmu dan pengalaman secukupnya termasuk etika pengendalian pesakit dan peralatan serta mutu penghasilan imej.
Keutamaan selaku juru X-ray adalah untuk menghasilkan imej berkualiti diagnostik pada tahap dos radiasi seminima yang mungkin buat para pesakit.
Di Malaysia, kelayakan sebagai juru X-ray bertauliah memerlukan seseorang itu memiliki diploma atau ijazah sarjana muda dalam bidang radiografi atau pengimejan perubatan.
Antara institusi pengajian tinggi yang menawarkan program ini di peringkat diploma ialah Kolej Vision yang terletak di Kelana Jaya, Selangor.
Tempoh pengajian ditawarkan selama tiga tahun dan mendapat perakuan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Melalui program Diploma Pengimejan Perubatan, pelajar disediakan dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dari segi teori dan amali klinikal.
Ia merangkumi pengetahuan asas anatomi dan fisiologi, prosedur pemposisian pesakit, etika pengendalian pesakit dan peralatan, kawalan dan perlindungan radiasi, kaedah penghasilan imej dan sebagainya.
Bahagian amali klinikal ditempatkan di institusi kesihatan yang sesuai agar mereka dapat pendedahan klinikal yang secukupnya sebelum melangkah ke alam kerjaya.
Lepasan Diploma Pengimejan Perubatan berpeluang berkhidmat sebagai juru X-ray di pelbagai institusi kesihatan sama ada klinik, hospital atau pusat perubatan.
Juru X-ray yang berkhidmat dalam sektor awam atau swasta perlu mendaftar dengan pihak Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB) bagi membolehkan mereka mendapat lesen untuk menjalankan pemeriksaan dan mengendalikan peralatan berasaskan radiasi.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan program, boleh hubungi Kolej Vision di talian 012-6072700 atau layari laman sesawang www.vision.edu.my.
Pemeriksaan melalui x-ray:
- Radiografi am (General radiography) seperti pemeriksaan X-ray dada
- Imbasan tomografi berkomputer (CT scan)
- Pengimejan resonans magnet (MRI)
- Mammografi
- Fluoroskopi
- Angiografi
- Pengimejan radionuklid (Radionuclide imaging)
- Pengimejan pergigian (Dental imaging)
Oleh NUR AISYAH SALEHUDDIN
Penyelaras Program Diploma Pengimejan Perubatan, Kolej Vision.