no image

Kebersihan SMKA Miri tular, pengetua kongsi konsep Maqasid Syar'iyah didik disiplin pelajar

webadmin
31 Dec 2020 01:30am
A
A
A

MIRI - Amalan kebersihan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Miri yang tular hingga menerima ucapan tahniah di twitter Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik rupa-rupanya  bukan model yang diambil dari Jepun.

Pengetuanya, Ahmad Fauzi Yaakob berkata, beliau menggunakan konsep Maqasid Syar'iyah sebagaimana tuntutan Islam untuk mendidik disiplin dan kebersihan pelajar.

"Sebenarnya guru yang memulakan langkah menjaga kebersihan sekolah dan kemudian tindakan itu dicontohi pelajar.

"Kami mendidik pelajar untuk sama-sama melakukan dan menjaga kebersihan persekitaran sekolah," katanya.

Menurut beliau pada mulanya pihak sekolah mengusahakan projek longkang bersih, walaupun pelbagai kata-kata negatif yang dilontarkan oleh banyak pihak namun guru tetap meneruskan juga dan kini ikan karp mampu hidup riang di dalam longkang itu.

"Sejak Ogos lalu, kami mula melepaskan ikan karp ke dalam longkang di blok pentadbiran. 

"Projek ini diuruskan pelajar jawatankuasa 3K (Kebersihan, Keceriaan dan Keselamatan).. setiap hari ada giliran pelajar yang memberi makan ikan tersebut," katanya.

Kata Ahmad Fauzi, pelajar dididik dari awal mengenai adab dan kebersihan.

"Saya turut menerapkan konsep 3S, iaitu Sapa Salam Senyum bagi merapatkan hubungan warga sekolah," katanya.

Tiada vandalisme, sifar tong sampah

Kata beliau, sejak model kebersihan ini praktikkan tiga tahun lalu, prestasi pelajar SMKA Miri makin cemerlang dan tidak pernah berlaku vandalisme di sekolah.

Ini terbukti apabila Taman Kelulut yang diusahakan pihak sekolah yang telah beroperasi selama tiga tahun, tidak pernah berlaku gangguan, malah pelajar turut sama membantu projek yang diusahakan.

"Taman Kelulut itu terletak di tepi blok makmal sekolah.. ia dijaga sepenuhnya oleh pelajar tingkatan enam kami.

"Tujuan adakan taman tersebut adalah untuk memberi pendidikan dan pengetahuan kepada pelajar mengenai penjagaan kelulut selain salah satu cara mendapat dana," jelasnya.

Katanya lagi, hasil jualan kelulut digunakan untuk menjalankan aktiviti tambahan kerohanian di sekolah serta sedikit penambahbaikan surau sekolah.

"Sejak kami menerapkan nilai akhlak, adab dan disiplin ini tahap akademik pelajar kami turut meningkat.

"Tentunya apabila melakukan benda yang baik segala aura kebaikan akan datang dan jika kita dapat menjaga adab dan akhlak kejayaan akan datang dengan sendirinya," katanya.

Menurut Ahmad Fauzi, beliau akan menyampaikan nasihat dan pengajaran berkenaan adab dan disiplin dalam sesi tazkirah yang diadakan setiap Jumaat.

Katanya, sekolah telah mengamalkan budaya sifar tong sampah dalam kelas sejak tiga tahun lalu.

"Pada peringkat awal setiap kelas ada tong sampah kecil dan di setiap penjuru blok kelas ada tong sampah besar (beroda dua), apabila tiada tong sampah, ada pelajar yang selit dalam meja dan letak di penjuru kelas sebelum dibuang.

"Setelah setiap kali diterangkan konsep sifar tong sampah, lama kelamaan pelajar dapat terima walaupun kami mesti dipantau sentiasa.. alhamdulillah sekarang semua dapat terima, sampah yang kecil mereka masukkan dalam poket," katanya.

Kata Ahmad Fauzi, tong sampah hanya ada di kantin dan dan di sudut khas laluan balik ke asrama.

"Setiap hujung minggu, ibu bapa akan datang ke asrama berjumpa anak-anak serta makan bersama dan selepas itu ibu bapa membawa balik sisa makanan tersebut.

"Semua ini dibina bukan setahun dua, tetapi bertahun-tahun.. setiap pihak ada peranannya, baik guru, ibu bapa dan pelajar," ujarnya.

 

Menang pertandingan tandas

SMKA Miri juga membangunkan projek menaik taraf tandas, bermula dari tandas surau, tandas guru, tandas pelajar dan tandas di dewan besar.

"Penjagaan umum tandas itu oleh kontraktor pembersihan, penjagaan khusus oleh jawatan kuasa 3K.

"Selaras konsep tandas bermaklumat, ia mempunyai info berkenaan air dan kebersihan," katanya.

Ahmad Fauzi turut berkata, pada 2016 sekolahnya mendapat pingat perak sempena Hari Tandas Sedunia anjuran Kementerian Kerajaan Perumahan dan Kerajaan Tempatan Kategori Tandas Pejabat Kerajaan dan Swasta.

"Tahun ini kami sertai lagi untuk tandas pelajar.. keputusan akan diketahui hujung tahun nanti, saya juga pernah dijemput untuk pembentangan mengenai penjagaan tandas di  Kemboja, April lalu.

Katanya, kos baik pulih adalah sumbangan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta alumni sekolah.

"Landskap dalaman pula dibuat secara gotong-royong oleh pelajar dan kakitangan sokongan sekolah," katanya.

 

Sudut Radio Ikim tempat pelajar bersantai sambil mendengar hebahan dari stesen radio Ikim yang dipasang dari jam 6 pagi hingga 10 malam.

Tandas yang bersih memberi keselesaan kepada pelajar.



Guru Pusat Sumber di bawah PPD Miri berpeluang menikmati madu kelulut asli ketika mengadakan lawatan ke SMKA Miri.

Ciapan Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik mengenai SMKA Miri.

 

Projek Taman Kelulut SMKA Miri yang diuruskan pelajar tingkatan enam sejak tiga tahun lalu.

 

Ahmad Fauzi akan mengadakan tazkirah berkenaan disiplin dan kebersihan setiap Jumaat.

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok