no image

'Kejayaan ahli pengakap harungi ekspedisi jalan kaki 42 km satu kebanggaan SMK Mutiara' - Pengetua

Azliyana Sulaiman
31 Dec 2020 01:26am
A
A
A

LABUAN - Seramai tujuh orang ahli pengakap SMK Mutiara berjaya mencipta rekod mengharungi ekspedisi berjalan kami sejauh 42 kilometer mengelilingi Pulau Labuan dalam tempoh 24 jam yang berakhir kelmarin.

Ketua pengakap sekolah itu Angela Joseph berkata ekspedisi itu yang dimulakan pada jam 7.40 pagi Sabtu merupakan sebahagian ujian lencana tertinggi pengakap remaja bagi kelayakan memperolehi ‘Rambu Kuning’ seterusnya  mendapatkan pengiktirafan sebagai ‘Pengakap Raja’.

Aktiviti yang dilaksanakan termasuk berjalan kaki pada waktu siang dan malam, merekodkan tempat dan bangunan ikon di Labuan, menjalankan aktiviti khidmat masyarakat dengan mengutip sampah di sekitar kawasan yang dilalui.

Semasa hentian rehat di Pantai Damai, semua peserta memasak untuk makan malam secara ‘backwoods living skills’,” katanya.

Ekspedisi bermula di selatan Pulau Labuan iaitu tapak sejarah War Memorial sehinggalah ke tapak warisan diiktiraf dunia ‘Chimney’ dan seterusnya melalui beberapa titik periksa - Kompleks Sukan Laut Antarabangsa, Dataran Labuan, Tugu United Nation Beach, Taman Damai Layang-Layangan, Kem TUDM Ganggarak dan berakhir di Chimney Trail.

"Sebagai langkah keselamatan, peserta ekspedisi diwajibkan melaporkan diri di setiap balai polis yang dilalui,” tambahnya.

Ahli-ahli pengakap itu adalah Darryl Karllen, Megawati Sulaiman, Latipa Basik, Norikmah Karim, Rosanne Hazel Anak Robert, Nurfathirah Suriana dan  Melvin Chew Seng Feng.

Ketua patrol ekspedisi, Darryl ketika ditemui berkata beliau dan rakan-rakan tetap tabah dan bersemangat walaupun cuaca tidak menentu ketika ekspedisi dan bersyukur kerana pasukannya berjaya menamatkan perjalanan tanpa sebarang musibah.

Pengetua SMK Mutiara, Mohd Nizam Yasim selepas meraikan para peserta di titik periksa Kg. Patau-Patau memberitahu Bernama, kejayaan ahli-ahli pengakap sekolah itu adalah satu kebanggaan SMK Mutiara.

Pasukan ekspedisi ini turut diiringi oleh enam orang guru serta dua sukarelawan dari Pengakap Kelana bagi memastikan peserta ekspedisi selamat sampai ke destinasi akhir iaitu di bahagian utara Pulau Labuan di Chimney. - Bernama

Artikel Menarik:

Jangan tekan anak keterlaluan dalam pelajaran - Permaisuri

'Banyak kelebihan jika kita tahu lebih bahasa ini' - Pengetua SMK Tunku Abdul Aziz

Tip beli baju sekolah anak... khas untuk ibu bapa anak sulung tahun satu 2020

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok