1108418
1108418

Kekal kedudukan 10 universiti terbaik

webadmin
29 Jun 2021 06:01pm
A
A
A

Pengiktirafan QS WUR 2022 buktikan MSU berada pada landasan tepat

Management and Science University (MSU) berada dalam kalangan 10 universiti terbaik di Malaysia berdasarkan senarai terkini universiti terbaik dunia Quacquarelli Symonds (QS) World University Rankings (WUR) 2022.

Secara keseluruhannya, 22 institusi pengajian tinggi di Malaysia telah disenaraikan dalam QS WUR 2022.

Pencapaian MSU ini menempatkannya dalam kelompok 47 peratus universiti terbaik daripada kalangan 1,300 universiti di seluruh dunia pada kedudukan antara 601 hingga 650.

Penilaian QS WUR 2022 menggunakan enam indikator termasuklah reputasi akademik (40 peratus), reputasi majikan (10 peratus), nisbah pelajar dan fakulti (20 peratus), sitasi fakulti (20 peratus), nisbah fakulti antarabangsa (5 peratus) serta nisbah pelajar antarabangsa (5 peratus).

MSU mencatat pencapaian yang membanggakan bagi indikator nisbah pelajar dan fakulti, nisbah fakulti antarabangsa dan nisbah pelajar antarabangsa.

Pencapaian ini juga signifikan dengan ekosistem MSU yang menitikberatkan kepada aspek pembelajaran dan pengajaran alaf baru serta kerjasama pintar bersama lebih 1,700 rakan industri daripada pelbagai sektor.

Penarafan terkini QS Stars Rating System 2021 pula menyaksikan MSU telah memperoleh penarafan lima bintang dalam semua kategori indikator iaitu keseluruhan, pengajaran, pembangunan akademik, pembelajaran dalam talian, kebolehpasaran, pengantarabangsaan, tanggungjawab sosial, inklusif serta pengurusan hospitaliti dan riadah.

Sementara itu, kajian pengesanan graduan Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia menyaksikan kadar kebolehpasaran graduan MSU berada pada tahap 98.7 peratus iaitu tertinggi dalam kalangan institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Bagi Index Graduating on Time (iGOT) pula graduan MSU berada pada tahap membanggakan iaitu 92 peratus.

Pengiktirafan terkini QS ini membuktikan MSU berada pada landasan yang tepat seiring dengan matlamat dan visi utamanya iaitu melahirkan graduan dengan personaliti yang seimbang, holistik dan kompeten serta mencapai standard tertentu di peringkat antarabangsa.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok