1147874
1147874

Kemahiran perlu diasah, bakat semula jadi bukan sandaran utama

Mariatul Qatiah Zakaria
02 Aug 2021 04:45pm
A
A
A

“Tidak dinafikan, kemahiran melukis merupakan bakat semula jadi dan bagi mereka yang betul-betul berminat dalam bidang ini sekiranya tidak mempunyai bakat tetapi berlatih setiap hari nescaya satu hari nanti akan menjadi seorang pelukis berjaya.”

Itulah reaksi Hanafi Shafie seorang pelukis komik tempatan sebaik sahaja diajukan persoalan bolehkah mereka yang tidak mempunyai bakat melukis tetapi ingin menjadi pelukis?

Bagi Hanafi atau lebih dikenali dengan panggilan Napie, bakat bukanlah sandaran utama dalam apa juga perkara yang melibatkan kemahiran tetapi ia bergantung kepada kesungguhan dan latihan yang dilakukan.

BACA JUGA: Tak pandai melukis? Jangan putus asa, bakat boleh diasah

Ini kerana menurut anak kedua daripada enam adik beradik itu, kemahiran yang sedia ada perlu diasah supaya ia menjadi semakin baik dari hari ke hari.

Jadi katanya, jangan berhenti melukis.

Napie yang kini banyak menerima tempahan untuk melukis doodle bercerita, perjalanan kisahnya dalam dunia seni bermula sejak di bangku sekolah.

Tidak mewarisi darah seni daripada mana-mana ahli keluarga, di awal pembabitannya, Napie tidak menafikan pernah meniru karya pelukis lain dalam usaha mengasah bakat sedia ada.

Napie melukis di tablet Teknologi hari ini turut membantu mempromosikan karya Napie ke peringkat antarabangsa.

Katanya, tidak salah meniru kerana ia merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran dan lebih dijadikan sebagai rujukan.

“Penglibatan saya di dalam industri ini kerana minat dan selalu membaca kartun-kartun yang ada sebelum ini seperti Ujang, Gila-Gila, Apo? dan banyak lagi.

“Daripada situ ia bukan sahaja membuatkan diri ini berkobar-kobar untuk menjadi seorang pelukis terkenal tetapi ia juga boleh menjadi kerjaya hebat dan boleh memberikan sumber pendapatan.

“Pada awalnya bermacam-macam cara saya usahakan untuk memantapkan lagi kemahiran melukis dan alhamdulillah hari ini ia menjadi kerjaya tetap,” ujarnya yang memiliki ijazah dalam bidang Seni Reka Grafik dari Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Kreatif

Tambahnya, untuk berjaya menjadi seorang pelukis komik, seseorang itu bukan sahaja mesti berkemahiran dalam bidang lukisan tetapi mereka juga perlulah seorang yang kreatif untuk menghasilkan cerita.

Jelasnya, ini kerana lukisan komik sebenarnya adalah gabungan antara lukisan dan juga cerita sekiranya tiada kandungan cerita, lukisan yang dilukis 'kosong'.

Selain itu juga, mereka yang ingin berkecimpung di dalam bidang seni ini dinasihatkan membina jenama dan cipta gaya lukisan tersendiri agar dikenali ramai kerana identiti sendiri.

Maka tidak hairanlah sekiranya kita melihat insan-insan seni yang popular hari ini masing-masing mempunyai nama samaran dan juga gaya lukisan tersendiri dalam usaha membina jenama untuk ke peringkat yang lebih tinggi.

Perkembangan teknologi

Mengakui hari ini masyarakat tidak boleh menolak perkembangan teknologi yang semakin pesat, Napie berkata ia membuka peluang untuk penggiat seni menerokai pelbagai medium baharu untuk mengangkat komik tempatan ke peringkat antarabangsa.

Napie bersama rakan-rakan kartunis sering menyertai pameran yang sering diadakan sebelum Covid-19 melanda. Napie bersama rakan-rakan kartunis sering menyertai pameran yang sering diadakan sebelum Covid-19 melanda.

Ini dibuktikan Napie apabila dia pernah menerima tempahan dari Afrika dan hasil karyanya dijual dalam mata wang dollar Amerika Syarikat.

“Jika dilihat dari segi penghasilan sesebuah lukisan itu, prosesnya masih sama malah saya sendiri akan melukis terlebih dahulu di atas kertas sebelum dipindahkan ke dalam format pengkomputeran.

“Cuma dengan perkembangan teknologi hari ini, orang ramai tidak terkecuali kartunis perlu bijak mencuri peluang dan meneroka bidang baharu bagi membina hubungan perniagaan dengan orang luar selain menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk.

“Tambahan pula saya sendiri merupakan pelukis komik indie, perlu lebih agresif, bergerak sendiri dan pandai mencari peluang untuk terus kekal di dalam industri,” sambungnya lagi.

Memberitahu media sosial banyak membantunya mempromosikan hasil karyanya ke seluruh dunia, anak kelahiran Padang Besar, Perlis, ini masih lagi menerima tempahan dari luar selain masih aktif menghasilkan karya-karya isu semasa (Sembelit) dan Satu Kenangan.

Ikuti GPSBestari di YouTube sekarang!

Katanya lagi, masyarakat perlu mengambil kesempatan daripada perkembangan teknologi dan menggunakan aplikasi media sosial seperti untuk mempromosikan karya sendiri tanpa perlu menunggu pihak lain melakukannya untuk kita.

KARYA-KARYA NAPIE

Aku, Dia dan Bujang: Edisi Terhad Volume Satu

Bujang & Kawan-kawan: Edisi Khas Penang Mai!!

Aku, Dia dan Bujang: Edisi Terhad Volume Dua

Aku, Dia dan Bujang: Repackaged Edisi Terhad Volume Satu

Aku & Dia!

Aku, Dia dan Bujang No. 3

100% Bujang Kartun

Gunung Nasi Lemak (bersama Kopi Soh)

Kucing Aku Jatuh Cinta!!

Lelaki Gula-gula Kapas & Gadis Lolipop

Tangan Kiri

Lem-Pit

Kucing Osem

Kita Kawan

Kita Kawan: Edisi Khas Comic Fiesta

Bujang Kartun No. 4

Kucing Aku Pergi Sekolah

Bujang Kartun No. 5

Komik Kaset 1 hingga 5

Sembelit No. 1

Sembelit No. 2

Aku Napie (Satu Kenangan)

Komik Gelabah No. 1-6

Garaj Komik

Pedal To Metal

Psychotic Art Zine

Bangkit Zine

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok