headway-5QgIuuBxKwM-unsplash
headway-5QgIuuBxKwM-unsplash

5 Tip tampil lebih yakin ketika pembentangan di sekolah

Mohd Khairi Mohamad Yusri
19 Jul 2021 11:00pm
A
A
A

Ramai di kalangan pelajar yang mempunyai masalah ketika hendak membuat pembentangan. Walaupun perkara ini bukanlah asing tapi masih ramai lagi yang selalu kekok dan gusar.

Kegusaran ini selalunya disebabkan perasaan takut, malu dan banyak lagi.

Takut nak bercakap depan orang ramai, takut tiada siapa akan faham, takut terlupa isi kandungan, takut akhirnya pembentangan tersebut menjadi perkara yang memalukan dan banyak lagi.

gambar hiasan dari unsplash

Namun sebenarnya anda tidak keseorangan, hampir semua orang merasakan perkara yang serupa. Tidak kira apa yang bakal disampaikan, perasaan risau sebelum membuat pembentangan merupakan perkara yang normal.

Ada banyak cara yang boleh gunakan untuk mengurangkan kegusaran ketika pembentangan sekali gus mampu meningkatkan teknik penyampaian.

GPSBestari menggariskan beberapa teknik yang boleh digunakan untuk membantu anda menjadi seorang penyampai yang lebih baik dan tampil yakin.

1. Peta minda

Membuat peta minda sebenarnya bakal membantu anda memberikan visual tentang apa yang ingin disampaikan ketika di pembentangan.

Kaedah ini bakal meningkatkan keyakinan penyampaian kerana anda boleh mengakses ke maklumat dalam satu aliran yang mudah dan menarik.

gambar hiasan

Jika tidak tahu cara-cara membuat peta minda yang menarik, jangan risau, kerana anda boleh dapati pelbagai aplikasi-aplikasi di internet untuk membantu.

Malah, sebuah kajian pada tahun 2002 mendapati dengan membuat peta minda, ia dapat meningkatkan ingatan jangka panjang sebanyak 10%. Jadi dengan membuat peta minda, ia pasti dapat menghilangkan kebimbangan anda jika terlupa sesuatu fakta.

2) Hasilkan bahan bantu visual yang menarik

Kadangkala anda pasti risau jika perbentangan akan mengambil masa yang lama, dan akan membuatkan semua yang mendengar menjadi bosan.

Jadi salah satu cara untuk mengelakannya adalah dengan menghasilkan bahan visual yang menarik.

Dengan menghasilkan poster-poster infografik, carta dan video yang menarik, rakan-rakan kelas pasti setia untuk mendengar sehingga selesai.

Selain itu, alat bantu visual juga dapat berfungsi sebagai petunjuk.

3) Masukan isi yang penting sahaja

Ramai pelajar membuat kesilapan dengan memberikan terlalu banyak isi ketika pembentangan.

gambar hiasan

Perkara ini sebenarnya bakal membuatkan slaid dipenuhi dengan banyak isi dan akibatnya pembentangan tersebut menjadi terbelit-belit dan panjang lebar. Perkara ini bakal membuatkan pendengar hilang fokus.

Tapis kandungan hanya memasukan isi-isi yang betul-betul penting serta yang menyokong topik anda.

Sesuatu yang ringkas itu sebenarnya lebih menarik di dalam dunia pembentangan kerana semua orang mahukan sesuatu yang mudah untuk difahami

Oleh itu, biarkan visual lebih banyak mengambil daripada teks.

4) Bercakap ikut keselesaan

Selain terlalu banyak isi, bercakap terlalu pantas juga boleh dianggap sebagai kesalahan yang sering dilakukan oleh pelajar.

Ini kerana perbuatan tersebut boleh menyukarkan anda bertenang dalam memikirkan apa isi seterusnya yang hendak disampaikan.

Salah satu yang boleh dibuat untuk mengatasi perkara ini adalah dengan melatih corak pernafasan untuk membuat anda kekal tenang.

Bercakap terlalu pantas juga boleh menyebabkan isi penerangan anda tidak sampai kepada pendengar lalu memberikan mereka pemahaman yang tidak betul.

Anda juga boleh menggunakan teknik jeda ketika penyampaian untuk memberi kesan tenang dalam penyampaian anda.

5) Banyakan berlatih sebelum pembentangan yang sebenar

Mengetahui apa yang ingin disampaikan tidak cukup! Anda mesti juga tahu bagaimanakah intonasi ketika mengucapkan perkara tersebut.

gambar hiasan

Cara yang terbaik adalah dengan meluangkan masa untuk membuat banyak latihan sebelum pembentangan yang sebenar.

Anda boleh meminta rakan-rakan anda menjadi audien dalam pembentangan olok-olok tersebut, kemudian selesai pembentangan minta maklum balas daripada mereka.

 

Sumber : ethos3.com

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok