lynn-peiffer-3lkqa9YmiEY-unsplash (1)
lynn-peiffer-3lkqa9YmiEY-unsplash (1)

Jenis-jenis baja dalam pertanian, pelajar Tingkatan 4 perlu hafal

webadmin
06 Oct 2021 02:14pm
A
A
A

Pertanian moden pada hari ini banyak bergantung kepada penggunaan baja terutamanya baja yang berunsur nitrogen sebagai bahan untuk meningkatkan pengeluaran hasil tanaman.

Baja merupakan satu bahan yang ditambah pada tanah untuk membekalkan nutrien kepada tanaman dengan tujuan meningkatkan hasil dan kualiti tanaman.

Keperluan pembajaan bergantung kepada jenis tanaman dan tahap kesuburan tanah. Penggunaan baja organik atau baja kimia memberi kesan sampingan kepada kesuburan tanah dan kualiti tanaman.

Oleh itu, Sinar Bestari akan menyenaraikan jenis baja yang sering digunakan di dalam pertanian masa kini.

Secara umumnya, baja dikelaskan kepada dua iaitu baja organik yang mengandungi elemen semula jadi dan baja kimia yang mengandungi elemen kimia.

1. Baja organik

Baja organik merupakan baja yang terhasil daripada proses pereputan sisa haiwan dan tumbuhan. Baja organik merupakan baja yang mesra alam kerana dihasilkan tanpa menggunakan bahan kimia.

a. Tinja haiwan yang diproses

Tinja ternakan boleh dijadikan baja sama ada digunakan secara terus atau setelah diproses. Selalunya, tinja tersebut diasingkan daripada rumput dan sampah. Tinja disimpan selama 40 hari sehingga mengalami penguraian bakteria bagi menghasilkan baja kompos. Baja dalam bentuk kering sering digunakan kerana keadaannya yang lebih mudah ditangani dan tidak berbau.

b. Sisa kilang pertanian

Sisa kilang pertanian seperti kilang memproses minyak kelapa sawit menghasilkan bahan buangan sampingan seperti tandan kelapa sawit dan hampas isi rong. Kilang memproses padi pula menghasilkan sekam padi. Kesemua hasil sisa kilang pertanian ini boleh dihancurkan dan diproses menjadikan baja organik.

c. Sisa ladang

Sisa ladang terdiri daripada sisa tanaman dan sisa ternakan. Contoh sisa tanaman seperti batang jagung, sayuran yang rosak dan rumput yang dipotong. Sisa ternakan pula merujuk kepada baja haiwan ternakan.

2. Baja Kimia

Baja kimia ialah baja yang terhasil daripada bahan tidak organik yang diproses secara sintetik bagi memasukkan satu nutrien utama atau lebih.

Baja terbahagi kepada empat jenis, iaitu baja tunggal, baja sebatian, baja campuran, dan baja lengkap.

a. Baja tunggal

Baja tunggal ialah baja yang mengandungi satu nutrien utama yang diperlukan oleh tanaman. Baja tunggal terdiri daripada Nitrogen atau Fosforus atau Kalium.

b. Baja sebatian

Baja sebatian merupakan baja yang mengandungi dua atau lebih unsur nutrien utama tanaman yang disebatikan secara kimia. Kandungan nutriennya disediakan dalam pelbagai nisbah.

c. Baja campuran

Baja campuran adalah baja yang dihasilkan daripada campuran dua atau lebih baja tunggal yang berbeza saiz, bentuk dan ketumpatan. Campuran dilakukan secara fizikal tanpa melibatkan tindak balas kimia.

d. Baja lengkap

Baja lengkap mengandungi kombinasi semua nutrien utama yang diperlukan iaitu nitrogen, fosforus dan kalium. Baja lengkap juga mengandungi nutrien mikro, campuran enzim dan pengawal tumbuhan semula jadi.

Diharapkan perkongsian ini dapat membantu menambah pengetahuan dalam bidang pertanian.

Sumber: Buku teks pertanian Tingkatan 4

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok