campaign-creators-gMsnXqILjp4-unsplash
campaign-creators-gMsnXqILjp4-unsplash

Mahu sediakan slaid pembentangan yang efektif? Cikgu Muhammad Sabiq ada caranya

Mohd Khairi Mohamad Yusri
24 Aug 2021 09:00am
A
A
A

Menyediakan kertas pembentangan adalah satu perkara yang sangat penting lebih-lebih lagi jika hendak membuat ringkasan laporan untuk dibentangkan kepada umum.

Slaid pembentangan juga memainkan peranan yang penting bagi memastikan semua pihak dapat memahami maklumat yang ingin disampaikan dengan mudah dan tepat.

Apabila maklumat yang disampaikan dapat difahami dengan tepat, barulah tiada salah faham akan berlaku.

Baru-baru ini, Cikgu Muhammad Sabiq dari Sekolah Kebangsaan Senibong, Johor ada berkongsi tentang cara-cara membuat slaid pembentangan secara efektif. Mari kita ikuti perkongsian beliau di bawah.

Ikuti juga kami di:

Instagram: https://www.instagram.com/gpsbestari/

Twitter: https://twitter.com/GPSBestari

Youtube: https://www.youtube.com/c/GPSBestariOfficial/

***

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada rakan-rakan.

Sebagaimana yang kita tahu, slaid pembentangan memainkan peranan penting dalam menyampaikan maklumat berdasarkan pada dokumen pelaporan yang ditulis. Melalui pembentangan ini, para juri dapat menilai sejauh mana penguasaan kita terhadap topik yang dibentang selain menilai komunikasi kita. Jika rakan-rakan berminat hendak menyertai pembentangan kertas kajian, di sini terdapat beberapa tip efektif untuk menyediakan slaid pembentangan.

1. Pastikan Keperluan Pembentangan

Kebiasaannya pihak penganjur akan menyediakan garis panduan tentang perkara-perkara yang diperlukan dalam pembentangan melalui halaman rasmi program. Tetapi jika tiada, rakan-rakan boleh meletakkan maklumat seperti pengenalan, fokus kajian, objektif kajian, kumpulan sasaran, tindakan intervensi, analisis data dan cadangan kajian lanjutan dalam slaid pembentangan. MS cadangkan rakan-rakan buka semula dokumen kertas kajian untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan kerana pihak juri/panel akan membaca dokumen kita terlebih dahulu sebelum mendengar pembentangan kita.

©unsplash

2. Tentukan Penggunaan Aplikasi Pembentangan.

Dalam era digital hari ini, terdapat pelbagai bentuk atau aplikasi untuk melaksanakan pembentangan. Slaid pembentangan boleh dibuat secara offline atau secara online menggunakan aplikasi-aplikasi sedia ada. Contoh aplikasi secara offline ialah Microsoft Power Point dan aplikasi online seperti Prezi. Kedua-dua aplikasi ini mempunyai kelebihan masing-masing. Walau bagaimanapun, MS lebih gemar membentang menggunakan aplikasi Microsoft Power Point berbanding aplikasi atas talian kerana MS khuatir akan mengganggu kelancaran pembentangan jika ada masalah talian internet berlaku.

Baca juga:9 tip mudah cara Cikgu Herryan Syah. Guru hebat pun pernah guna langkah ini, menjadi!

Baca juga:“Jangan malukan anak-anak,” – antara 7 tip komunikasi Dr Norzila kongsi untuk ibu bapa

3. Gunakan Kata Kunci

Kita sering melihat slaid yang disediakan mempunyai bilangan perkataan yang banyak dengan mengambil petikan dalam dokumen pelaporan. Tidak kurang juga yang menyediakan dalam bentuk senarai. Itu merupakan kreativiti dalam menyampaikan maklumat oleh para peserta. Walau bagaimanapun, MS lebih gemar menggunakan kata kunci bagi setiap maklumat yang disaring. Kata kunci adalah perkataan yang menjadi perkara utama/tunjang dalam pelaporan yang disediakan. Di samping itu, ia membolehkan kita menghurai dengan lebih terbuka dan tidak terikat pada maklumat yang disediakan semata-mata.

4. Gunakan Infografik

Infografik merupakan grafik bermaklumat yang digunakan dalam pembentangan pada masa kini. Penggunaannya menjadikan slaid lebih menarik, ringkas dan padat. Walau bagaimanapun, bilangan bentuk yang pelbagai dan banyak menyebabkan paparan slaid menjadi penuh dan berterabur yang menyukarkan penonton untuk memahami pembentangan yang dibuat. Oleh yang demikian, jika rakan-rakan hendak menggunakan infografik, MS cadangkan rakan-rakan menentukan kedudukan dan reka bentuk yang sesuai serta memaparkan kata kunci yang telah disaring. Untuk membuat infografik, rakan-rakan boleh merujuk kepada halaman Youtube atau mendapatkannya secara percuma.

5. Minimumkan Slaid Pembentangan

Merujuk kepada perkara yang pertama, terdapat tujuh perkara yang perlu disediakan dalam slaid pembentangan. Penyediaan slaid yang banyak akan mempengaruhi kita untuk mengambil masa yang lebih lama ketika membentang. Oleh yang demikian, dengan mengintegrasikan infografik dan kata kunci, rakan-rakan boleh meminimumkan jumlah slaid yang digunakan dalam pembentangan rakan-rakan. Sebagai contoh, rakan-rakan boleh gabungkan maklumat metodologi dalam satu slaid sahaja. Dengan menggabungkan beberapa perkara, kita dapat mengurangkan bilangan slaid di samping mengurangkan masa untuk menyediakan slaid.

Dengan sedikit tip ini, semoga rakan-rakan dapat gunakan dalam menyediakan slaid pembentangan untuk program-program pembentangan yang akan disertai kelak. Semoga bermanfaat kepada semua. Sekian, terima kasih.

Sumber: Cikgu Muhammad Sabiq Mohd Noor, SK Senibong

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok