HomeGen ZMartabatkan peribahasa demi keindahan Bahasa Melayu

Martabatkan peribahasa demi keindahan Bahasa Melayu

Dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu, ia bukan sahaja meliputi aspek penggunaan tatabahasa yang betul malah turut melibatkan kefahaman tentang peribahasa dan maksudnya.

Ini kerana masih terdapat beberapa pihak yang tidak memahami maksud sebenar peribahasa hinggakan memberi penjelasan tidak betul kepada orang ramai.

Perkara ini boleh mengundang salah faham dan ia menunjukkan tahap penguasaan bahasa kebangsaan itu sangat rendah terutamanya sebagai rakyat negara ini.

Cikgu Ahmad.

Guru Bahasa Melayu, Sekolah Rendah (SK) Kenering, Perak, Cikgu Ahmad Safarman Dollah memberitahu, penguasaan peribahasa sangat penting walaupun kini ia jarang diberi pendedahan di dalam bililk darjah.

Katanya, ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masih ada, soalan melibatkan peribahasa adalah wajib untuk diletakkan.

Namun, sejak UPSR dimansuhkan serta wujudnya beberapa format baharu menyebabkan pendedahan tentang peribahasa ini semakin berkurangan.

“Walaupun begitu, guru-guru di sekolah tetap menitikberatkan penggunaan peribahasa kepada pelajar-pelajarnya terutama dalam penulisan karangan Bahasa Melayu.

“Pelajar yang menggunakan peribahasa betul mengikut idea penulisan masing-masing akan diberi markah yang tinggi.

“Ini menunjukkan walaupun silibus pengajaran peribahasa di dalam bilik darjah seakan berkurang tetapi ada sesetengah guru yang masih memberi pendedahan kepada pelajar memandangkan ia terdapat dalam silibus pembelajaran,” ujarnya kepada Sinar Bestari baru-baru ini.

Tambah Cikgu Ahmad lagi, pentingnya pendedahan tentang peribahasa hendaklah bermula dari sekolah rendah.

Ini untuk membuktikan keindahan Bahasa Melayu selain menyerlahkan lagi identiti sebagai rakyat Malaysia yang cintakan bahasa rasmi negara itu.

Cikgu Ahmad yang sudah 14 tahun berkhidmat sebagai pendidik turut menyatakan beberapa inisiatif yang boleh diambil oleh golongan guru sepertinya untuk mengajar tentang peribahasa.

Ujarnya, penggunaan media sosial seperti TikTok dan Facebook sangat membantu penerapan tentang ilmu baharu selain hanya terikat dalam bilik darjah.

Warga pendidik boleh menceburi media baharu ini dengan menghasilkan video tentang peribahasa dan maksudnya untuk tontonan umum terutama kepada pelajar.

Inisiatif berkenaan dilihat lebih menarik dan mampu memikat lebih ramai pelajar untuk mendalami tentang keindahan sebenar dalam peribahasa.

Artikel berkaitan 

Pelajar sukar bina karangan panjang dan seragam, mungkin teknik cabang ini dapat membantu!

Teknik mudah menulis karangan cara Cikgu Ayu, murid pasti boleh buat

Guru ini kongsi 5 tip menarik bantu pelajar hasilkan karangan. Menjadi!


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok