WhatsApp Image 2021-07-27 at 1.27.16 PM
WhatsApp Image 2021-07-27 at 1.27.16 PM

Video, kaedah pemantapan PdPR yang berkesan- JPN, Sabah

A
A
A

Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Sabah, telah melaksanakan satu inisiatif pemantapan proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam usaha menjamin kestabilan sistem pendidikan di Malaysia.

Keadaan semasa yang kian kritikal menjadi pembakar semangat buat para guru untuk menjana idea dan tenaga demi memastikan kelangsungan proses PdPR.

Susulan itu, kaedah pembelajaran melalui video sering menjadi pilihan para pendidik bagi membantu murid-murid dalam proses pembelajaran di musim pandemik Covid-19 ini.

Menurut Timbalan Pengarah, Sektor Pembelajaran, JPN, Sabah, Mohd Kassim Tusin, kaedah pembelajaran secara dalam talian perlu dikembangkan dan dimantapkan lagi dengan tindakan proaktif para guru di setiap sekolah.

“Tugas seorang pendidik tidak mudah, namun setidaknya para guru dapat melakukan pelbagai tindakan dan kaedah inovasi untuk meningkatkan kekuatan PdPR,” katanya.

Kaedah pembelajaran melalui penghasilan video adalah salah satu inisiatif terbaik bagi membantu pemahaman murid-murid terhadap input pembelajaran yang ingin disampaikan oleh para guru.

“Saya berharap para guru akan terus berkarya dalam menghasilkan video dan mempraktikkan pelbagai teknik bagi memudahkan para pelajar dan guru-guru lain menjalani proses Pengajaran dan pembelajaran (PdP) sesuai dengan sistem pembelajaran hari ini,” katanya lagi.

Sehubungan itu, menerusi pelbagai bentuk sumbangan kepakaran yang ditonjolkan oleh golongan pendidik ini, secara tidak langsung memberi kemajuan dalam peningkatan kualiti PdPR.

Selain idea kreatif para guru dalam melaksanakan PdPR, mereka juga turut menyediakan pelbagai modul yang sesuai bagi membantu murid-murid yang menghadapi masalah untuk mengikuti proses pembelajaran secara dalam talian.

Mohd Kassim berkata, bagi mengelakkan murid-murid keciciran dalam proses pembelajaran, kreativiti dan inovasi oleh para guru amat digalakkan. Ini kerana, telah menjadi tanggungjawab para guru untuk mengikuti keadaan semasa di mana proses pembelajaran tidak hanya tertumpu kepada pembelajaran silibus, namun seorang guru perlulah berfikir luar kotak di saat mendepani norma baharu pada hari ini.

“Guru mestilah sentiasa meningkatkan potensi diri masing-masing bagi mewujudkan proses PdPR yang menarik mengikut keadaan semasa,” tuturnya mengakhiri bicara.

Sumber: Youtube Sektor Sumber dan Teknologi Pendidikan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok