Untitled design
Untitled design

Kenali 3 pelakon suara di sebalik watak Didi, Nana dan Jojo dalam animasi Didi & Friends

Mariatul Qatiah Zakaria
10 Jun 2021 05:02pm
A
A
A

Kemunculan karakter ayam serama yang terdiri daripada tiga rakan sambil menyanyi dan menari lagu-lagu tradisional yang diberi nafas baharu bersesuaian dengan generasi hari ini telah menjadi fenomena baharu dalam dunia animasi tempatan.

Jika sebelum ini anak-anak mengenali Upin, Ipin, Boboiboy, Ejen Ali, dan Mat (animasi Kampung Boy), hari ini koleksi watak animasi mereka bertambah dengan kemunculan Didi, Jojo, Nana, Bingo dan Pak Atan dalam siri animasi Didi & Friends.

Apabila menonton Didi & Friends, pasti ramai tertanya-tanya siapakah suara di sebalik watak-watak utama tersebut.

Ini kerana selain mampu menyanyikan lagu-lagu dengan baik, mood suara yang ditampilkan juga dalam intonasi yang betul.

Siapa sangka, pelakon suara di sebalik watak Didi, Nana dan Jojo merupakan anak-anak yang masih bersekolah.

Jom ikuti pengalaman mereka sebagai pelakon suara latar yang kini semakin mendapat tempat dalam industri animasi tempatan hari ini.

Nur Insyeerah Ahmad Shahir (Didi)

Anak sulung daripada lima beradik ini berasal dari Banting, Selangor. Biarpun masih muda, Nur Insyeerah atau lebih mesra disapa Nurin sebenarnya sudah lapan tahun berada dalam industri lakon suara latar.

“Saya mula menceburi bidang suara latar ini sejak berumur lapan tahun dan pastinya watak animasi Didi adalah watak pertama saya.

“Semuanya (penglibatan) berlaku tanpa dirancang dan segalanya adalah kebetulan dan alhamdulillah percubaan pertama menghadiri uji bakat tanpa persediaan rapi berjaya.

“Sehingga hari ini saya masih lagi membawakan suara latar untuk watak Didi dan saya gembira dengan penerimaan peminat-peminat Didi,” ujarnya ketika dihubungi GPSBestari, baru-baru ini.

Menurut pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Datok, Banting, ini, dia seronok melakonkan wataknya dari dahulu hingga sekarang kerana selain sesuai dengan perwatakan dirinya, seorang yang ceria, Nurin memberitahu, dia gembira kerana dapat mengembalikan nostalgia kanak-kanak melalui lagu-lagu yang dinyanyikannya.

Bercerita pula mengenai wataknya sebagai Didi, Nurin menjelaskan, watak Didi merupakan watak dirinya sendiri yang tidak banyak berubah.

“Didi adalah diri saya di mana untuk melakonkan sesuatu watak kita perlulah menjadi diri sendiri selain menghayati jalan cerita yang ingin ditampilkan untuk episod tersebut.

“Jika bertanya mengenai kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang pelakon suara latar, sejujurnya kita mestilah berperwatakan ceria dan aktif,” katanya lagi.

Tidak pernah menganggap kerjayanya sebagai Didi membebankan dirinya sebagai seorang pelajar, malah Nurin berkata, ia memberi ilmu dan pengalaman yang tidak semua boleh peroleh.

Adilia Myra Ilia Ikhwan (Nana)

Suaranya yang ceria dan cukup bersemangat ketika melakonkan suara Nana pastinya membuat anak-anak gembira.

Tutur Adilia atau lebih mesra dengan panggilan Yaya, bidang seni cukup dekat di hatinya kerana dia juga merupakan seorang pelakon iklan komersial dan juga menjadi suara latar di radio.

Menggilap bakat seawal usia sembilan tahun, anak ketiga daripada empat beradik ini nekad menjadikan bidang seni sebahagian daripada kerjaya sambilannya hari ini.

Mengakui perlu berani di depan kamera, Yaya turut berkongsi, mood juga memainkan peranan penting.

“Selain perlu menghayati watak, mood sewaktu merakamkan suara juga memainkan peranan penting kerana sekiranya mood tidak baik ketika itu, pastinya suara yang ceria menjadi tidak.

“Yang pasti, menjadi salah satu penyumbang suara untuk watak animasi memberikan pengalaman yang sangat berharga yang tidak akan diperoleh di mana-mana,” katanya lagi.

Adam Muqri Khairul Ammar (Jojo)

Berbeza dengan Nurin dan Yaya, Jojo merupakan watak bersuara serak.

Uniknya, Adam yang memiliki kriteria tersebut disebabkan penyakit asma yang dihidapinya.

Begitupun Adam berjaya membawa watak tersebut sehingga hari ini. Melakonkan watak Jojo sejak berusia sembilan tahun, Adam memberitahu, untuk menjadi pelakon suara latar, kemahiran diri sendiri merupakan syarat pertama yang perlu ada dalam diri individu tersebut.

Turut menyatakan boleh menghadiri kelas vokal untuk memperbaiki pertuturan dan juga lontaran suara, pelajar sekolah Maahad Tahfiz al-Quran Al-Islah, Seksyen 7, Shah Alam ini turut berkongsi tip, ‘jadi diri sendiri’ adalah guru terbaik.

“Hari ini banyak kelas vokal menawarkan kursus sama ada untuk nyanyian ataupun lontaran suara dengan betul.

“Jadi kepada mereka yang berminat untuk mendalami bidang lakonan suara latar ini mungkin boleh mengasah bakat di kelas vokal dan juga kelas lakonan yang ada hari ini,” sambungnya lagi.

Begitupun, ketiga-tiga pelajar ini berpendapat setiap bakat yang ada dalam diri kanak-kanak itu boleh menjadi skill atau kemahiran sandaran di kemudian hari.

Artikel berkaitan 

Alumni MRSM jadi Pegawai Wanita TLDM pertama miliki kepakaran dalam bidang peluru dan letupan, mengagumkan!

9 bulan 22 hari Dany Al-Fathoni hafal 30 juzuk al-Quran, hebat didikan mak ayah pelajar MRSM ini

Anak MRSM jadi kebanggaan masyarakat Orang Asli, kongsi rahsia raih keputusan cemerlang dalam akademik


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok