jorge-franganillo-uTBMw32LIOI-unsplash (1)
jorge-franganillo-uTBMw32LIOI-unsplash (1)

E-sukan sebagai kerjaya, tidak semudah yang disangka

Adlan Farhan Azwan
23 Nov 2021 04:47pm
A
A
A

Secara lazimnya, bermain permainan video adalah bertujuan untuk menghilangkan stres setelah penat menjalani kehidupan seharian.

Bermain permainan video membolehkan pemain tersebut untuk “lari” dari alam realiti sebentar. Kini, permainan video bukan sahaja dimainkan secara kasual tetapi juga secara kompetetif.

Permainan video yang boleh dimainkan secara kompetitif dipanggil e-sukan. Huruf ‘e’ merujuk kepada perkataan elektronik. Khusus di Malaysia, telah banyak pertandingan dan acara yang ianjurkan oleh pelbagai pihak dalam misi mencari pemain berbakat.

Pada tahun 2019, Sukan Asia Tenggara (juga dikenali sebagai Sukan SEA) telah mempertandingkan sukan baharu iaitu e-sukan. Antara judul permainan video yang dipertandingkan adalah Mobile Legends: Bang Bang, Arena of Valor, Dota 2, Starcraft II, Tekken 7 dan Hearthstone.

Kesemua permainan video dimain oleh pemain terbaik negara masing-masing dalam usaha untuk merebut pingat emas yang ditawarkan.

Malaysia telah menghantar pemain terbaik bagi setiap judul permainan video selepas melaksanakan pertandingan kelayakan untuk memilih atlet negara sekali gus membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa.

Konsep menjadikan permainan video sebagai salah satu kerjaya sememangnya tidak masuk akal sewaktu dahulu. Akan tetapi dengan kewujudan e-sukan, ia telah menjadi realiti.

Kita boleh lihat ramai anak muda yang telah menceburi bidang e-sukan. Walau bagaimanapun, ia tidak semudah yang disangka.

Ramai beranggapan bahawa e-sukan adalah perkara yang mudah lebih-lebih lagi apabila ia adalah bermain permainan video yang selalu disinonimkan dengan perkara yang lalai dan membuang masa.

Tambahan pula kos untuk menceburi e-sukan bukanlah sikit dan kadangkala ia memakan sehingga ribuan ringgit bagi mendapatkan peralatan serta peranti yang terkini untuk bermain permainan video.

Setiap Kejayaan Tidak Datang Bergolek

Bermain permainan video untuk menyara kehidupan adalah impian ramai penggemar e-sukan. Namun, tidak semestinya menyeronokkan. Untuk mendapat tempat bagi bertanding dalam sesebuah pertandingan antarabangsa amat sukar. Atlet e-sukan profesional harus menjalani latihan seperti mana atlet-atlet sukan tradisional seperti bola sepak, badminton dan ragbi.

Setiap latihan amat penting supaya pemain dapat meningkatkan tahap prestasi permainan lebih-lebih lagi menjelang hari pertandingan. Dengan latihan juga, atlet e-sukan dapat mengatur dan mencuba strategi baharu untuk mengalahkan pihak lawan. Tanpa latihan yang cukup, kebiasaannya atlet e-sukan tidak dapat menampilkan permainan yang baik seterusnya tewas.

Pasukan e-sukan dari Amerika Syarikat, Team Liquid dikatakan berlatih minimum 50 jam dalam seminggu dan lebih banyak lagi jam diperuntukkan menjelang hari pertandingan. Tidak mudah untuk menjadi yang terbaik di dunia. Pengorbanan masa, tenaga dan wang tunai perlu dilakukan bagi memastikan kejayaan.

BACA JUGA: Ingin menjadi seorang pemain e-sukan profesional? Ini 8 perkara yang boleh anda lakukan

BACA JUGA: UiTM tubuh CMTHub, sasar hantar wakil ke Sukan Olimpik

Bukan untuk masa jangka yang lama

Kekayaan dan kemasyhuran yang datang selepas bergelar atlet e-sukan tidak lagi boleh disangkal. Rata-rata atlet e-sukan yang bertanding di peringkat dunia telah memenangi hadiah bernilai jutaan ringgit.

Contohnya pertandingan permainan video bagi judul Dota 2. The International (TI) merupakan nama acara yang berprestij itu. Apa yang menarik tentang acara itu adalah hadiah tempat pertama bernilai USD 34.33 juta. Ia merupakan hadiah terkumpul tertinggi dalam sejarah e-sukan.

Dengan purata hayat kerjaya e-sukan secara profesional adalah sekitar empat sehingga lima tahun, amatlah penting untuk pemain mencari cara baharu untuk melangsungkan kehidupan. Hal ini kerana hadiah wang tunai yang diterima kebiasaannya tidak akan akan kekal lama jika tiada kesedaran tentang pengurusan kewangan yang betul.

Apa yang mereka boleh lakukan adalah dengan menceburi bidang baharu seperti perniagaan. Ramai bekas atlet e-sukan telah menceburi bidang ini dengan menggunakan hasil titik peluh bertanding sebagai modal untuk memulakan perniagaan dengan harapan perniagaan tersebut terus maju dan akan kekal relevan buat masa yang lama.

Bekas atlet e-sukan juga perlu mempelajari kemahiran yang membolehkan mereka berada di industri permainan video untuk tempoh yang panjang. Kebanyakannya telah beralih kepada penciptaan kandungan atau “content creation” di platform sedia ada seperti Youtube, Facebook dan Twitch.

Kesihatan Mental dan Fizikal

Memang tidak dinafikan bermain permainan video amat menyeronokkan tetapi jika ia dilakukan dengan kadar yang sangat banyak, lambat laun mental serta fizikal pemain akan terkesan.

Di sinilah kesihatan mental dan fizikal para pemain menjadi kepentingan untuk setiap hari latihan dan hari pertandingan. Mereka perlu mengekalkan fokus yang tinggi sambil menghadap skrin komputer untuk jangka masa yang panjang. Mereka juga mempunyai latihan supaya mata serta telinga dijaga dengan baik setelah lapan hingga 10 jam bermain permainan video.

Minuman tenaga yang popular di kalangan para penggemar e-sukan

Rata-rata atlet e-sukan ditaja oleh syarikat minuman tenaga. Realitinya, seperti yang kita sedia maklum, minuman “tenaga” yang dikeluarkan oleh syarikat sebegini mempunyai kandungan gula yang amat tinggi. Risiko untuk para pemain mendapat penyakit amatlah tinggi. Kesedaran tentang kesihatan perlu dititikberatkan supaya tidak menghidap sebarang penyakit yang kronik.

Akhir kata, e-sukan sememangnya kerjaya yang menarik bagi para penggemar permainan video. Pemain juga mampu mengharumkan nama negara di pentas dunia.

Kesemua perkara yang dibincangkan bukanlah sebab untuk anda berputus asa dalam usaha menjadi atlet e-sukan terbaik di dunia sebaliknya membantu pemain bersedia untuk menghadapi beberapa situasi sukar sepanjang kerjaya bergelar atlet e-sukan serta merancang lebih awal dengan baik dan teliti untuk masa akan datang.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok