mikael-kristenson-3aVlWP-7bg8-unsplash (1)
mikael-kristenson-3aVlWP-7bg8-unsplash (1)

Ingin menjadi seorang usahawan-pelajar? Ini rupa-rupanya cara yang boleh dilakukan

Mohd Khairi Mohamad Yusri
27 Oct 2021 12:21pm
A
A
A

Jika disebut tentang keusahawanan, mungkin ada yang berfikir ia hanya membabitkan aktiviti jualan sahaja, namun hakikat sebenarnya adalah lebih dari itu kerana turut melibatkan perancangan strategi, pengurusan jualan, dan sebagainya.

Di universiti, ramai pelajar yang berminat untuk memulakan perniagaan sendiri tetapi tidak mempunyai sebarang pengalaman mahupun pengetahuan yang berkaitan sekali gus membuatkan mereka takut untuk mencuba.

Oleh itu, kali ini GPSBestari menyenaraikan beberapa tip yang boleh digunakan bagi membantu menjadi usahawan ketika masih lagi bergelar pelajar.

gambar hiasan | kredit unsplash



1. Sentiasa berikan tumpuan semasa belajar
Sentiasa berikan perhatian ketika di dalam kelas serta manfaatkan masa bersama para pensyarah dengan sebaiknya. Tidak dinafikan pihak universiti mempunyai kewajipan dalam melahirkan pelajar berjiwa usahawan, tetapi pelajar juga perlu memainkan peranan untuk mendapat yang terbaik sepanjang pengajian.

Tuntutlah ilmu sebanyak mungkin kerana sebaik menamatkan pengajian, semua pakar-pakar yang berada di luar kampus akan mengenakan bayaran untuk maklumat yang sama.

2. Menganalisis kekuatan dan kelemahan diri
Jangan hanya bergantung pada kelas keusahawanan yang diikuti, buat juga penilaian sendiri mengenai kemahiran, pengetahuan dan matlamat yang ingin dicapai.

Ikuti juga program-program keusahawanan yang mampu memberi pengaruh kepada komuniti keusahawanan tempatan, seperti melakukan latihan industri, mengikuti bengkel dan juga ceramah. Melalui program-program ini, anda akan mengetahui tentang kekuatan dan kelemahan diri.

3. Cari idea perniagaan yang sesuai
Selidik pasaran dengan teliti untuk mendapatkan idea perniagaan yang paling sesuai dengan anda. Idea tersebut tidak semestinya terlalu besar atau memerlukan modal permulaan yang banyak.

gambar hiasan | kredit unsplash


4. Uji idea tersebut
Semasa masih lagi di universiti, pastinya ramai yang boleh memberikan maklum balas mengenai perniagaan anda. Oleh itu, jika kos idea perniagaan yang ingin diceburi tidak terlalu tinggi, anda boleh membuat percubaan perniagaan untuk mengujinya. Sebagai contoh, buat beberapa poster iklan jualan dan lihat siapakah yang berminat dengan iklan tersebut. Dari situ anda boleh meminta maklum balas daripada mereka.

5. Buat analisis terhadap pesaing
Dengan mempunyai pengetahuan terhadap pesaing, anda boleh menambah ciri pada produk atau perkhidmatan anda. Pastikan ciri-ciri tambahan itu tidak dimiliki oleh produk pesaing supaya boleh tampil berbeza dalam pasaran.

Dengan cara ini anda akan mendapat lebih banyak manfaat untuk produk atau perkhidmatan yang anda tawarkan.

6. Cari mentor yang sesuai
Salah satu aset yang paling penting dan berharga yang boleh dimiliki oleh seorang usahawan ialah mentor perniagaan.

Mentor perniagaan ialah orang yang mempunyai pengetahuan dalam bidang ini, bersedia untuk menawarkan nasihat, bimbingan dan sokongannya untuk anda menjalankan perniagaan dan membantu mempercepatkan kejayaan anda.


Sumber: startuptalky.com

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok