berjaya cipta peluang pekerjaan dalam bidang pertanian
berjaya cipta peluang pekerjaan dalam bidang pertanian

Lulusan kejuruteraan raih RM50 ribu sebulan, berjaya cipta peluang pekerjaan dalam bidang pertanian

Rasyidah ZulkifiRasyidah Zulkifi
30 Sep 2022 05:56pm
A
A
A

Bidang pertanian merupakan aktiviti tanaman yang bukan sahaja menjamin keperluan makanan asas, malah ia juga boleh membawa keuntungan kepada usahawan.

Jika ia dilakukan bersungguh-sungguh, maka pulangan yang diterima juga lumayan dan benarlah kata pepatah, berbakti kepada tanah, tanah tidak tipu.

Samalah seperti kisah alumni Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Melaka, Muhammad Hilmi Mahadi, 34, biarpun berkelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, dia merupakan seorang usahawan tani berjaya sejak lapan tahun lalu.

Bermula dengan 15 ribu polibeg tanaman sayur di tapak pertama seluas lapan ekar, kini Muhammad Hilmi mampu menanam 55 ribu polibeg di tapak kedua berkeluasan 30 ekar dengan keuntungan bersih sebanyak RM50 ribu tiap-tiap bulan.

“Saya merancang bagi mengusahakan tapak ketiga pula yang dijangka akan beroperasi pada pertengahan tahun 2023.

“Saya berharap apabila ketiga-tiga tapak ini beroperasi dengan kapasiti 79,200 polibeg, kebun saya mampu mengeluarkan hasil kira-kira 20,000 hingga 24 000 kilogram sayur dalam masa sebulan secara berterusan,” katanya yang ingin membuktikan kejayaan dalam bidang pertanian kepada bapanya, Ir Mahdi Muda dan ibunya, Profesor Madya Ir Dr Hayati Abdullah.

Berbicara dengan lebih lanjut ketika di tahun ketiga pengajian, bapanya menamatkan perkhidmatan di sektor korporat untuk mula berjinak-jinak di sektor pertanian.

Muhammad Hilmi menguruskan tanaman yang diusahakannya.

“Manakala, pada tahun akhir pengajian, minat saya dalam bidang keusahawanan tani semakin mendalam setelah melihat usaha-usaha awal ayah menguruskan aktiviti pertaniannya.

“Tamat pengajian di UTHM, saya akhirnya mengambil keputusan untuk terlibat secara serius dalam bidang pertanian bersama ayah dengan menyewa tapak pertanian di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Lebu di Bentong, Pahang.

“Bidang kejuruteraan awam yang telah dipelajari di UTHM mengajar saya menjadi seorang usahawan tani moden yang mampu mengaplikasikan pengetahuan kejuruteraan dalam pertanian,” jelasnya.

Walaupun tiada silibus dalam pengajian kejuruteraan awam mengenai pertanian, namun secara keseluruhannya universiti ini membantu caranya berfikir, merancang dan menyelesaikan masalah dengan berkesan dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan.

Muhammad Hilmi kini telah menanam beberapa jenis sayur iaitu cili merah dan hijau, terung serta bendi dengan menggunakan sistem pengairan berasaskan Internet of Things (IoT) atau ‘irrigation system’ di ladang yang didaftarkan dengan nama Lada Besa Enterprise (LADABESA).

Katanya lagi, pengalaman dan latihan kejuruteraan awam yang diperoleh di UTHM dahulu sangat membantunya membangunkan sendiri sistem pengairan tanaman secara automatik dengan menggunakan IoT yang boleh dikawal menggunakan telefon pintar.

Tambahnya, sistem pengairan ini mampu menjimatkan kos dan tenaga kerja sekali gus menjamin kadar pengairan yang lebih tepat mengikut tumbesaran tanaman.

Muhammad Hilmi yang dibantu oleh lima pekerja sepenuh masa dan 15 pekerja separuh masa masih berusaha meneroka lebih banyak lagi sistem dan teknologi yang boleh dibangunkan untuk mengoptimumkan operasi di ladangnya.

“LadaBESA akan terus diperluaskan kegiatan pertaniannya dengan menyasarkan penanaman sehingga 250 000 polibeg dalam tempoh tiga tahun mendatang.

“Jatuh bangun, untung rugi dalam pertanian sudah menjadi lumrah kepada saya sepanjang lapan tahun berkecimpung dalam bidang ini, namun saya beruntung kerana ayah dan ibu sentiasa ada dan menyokong dari belakang.

“Saya anggap segala cabaran dan halangan yang telah saya lalui sebelum ini menjadi guru terbaik dalam membentuk siapa saya hari ini,” ujarnya yang menitipkan pesanan kepada bakal graduan agar tidak terlalu memilih pekerjaan setelah tamat pengajian tinggi kelak, sebaliknya mencipta peluang pekerjaan dengan menjadikan minat sebagai satu punca pendapatan.

Artikel berkaitan 

TVET cungkil potensi kemahiran pelajar, penuhi kehendak industri pekerjaan negara

Tip membeli kereta mengikut kemampuan gaji bagi yang baru mendapat pekerjaan

Lapan puluh peratus graduan Politeknik mendapat pekerjaan


Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook Instagram | Twitter | YouTube | TikTok

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok