0af8b69d-e742-420f-925c-9113b9818bb1
0af8b69d-e742-420f-925c-9113b9818bb1

Kritikan Sastera bantu pelajar dalami konsep sastera dalam karya

A
A
A

Sastera Melayu merujuk kepada sebuah karya yang mengandungi keindahan unsur bahasa.

Keunikan dan keistimewaan sastera terletak kepada unsur tersurat dan tersirat bagi penyampaian sesuatu makna melalui sesebuah gaya penulisan yang digunakan.

Paling menarik, masyarakat mempunyai kebebasan meluahkan rasa dan emosi mereka dalam bentuk penulisan.

Sastera terbahagi kepada dua cabang iaitu sastera klasik dan moden. Keluasan cabang ini telah membuka peluang kepada masyarakat untuk meluahkan bakat yang terpendam melalui pertuturan mahupun penulisan.

Susulan itu, bagi mengekalkan kesusasteraan Melayu dalam kalangan generasi muda, satu mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif telah ditawarkan kepada pelajar-pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima sebagai persediaan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Bagi meningkatkan penguasaan dalam subjek ini, satu pendekatan yang disebut sebagai kritikan sastera telah diperkenalkan kepada para pelajar untuk meluahkan pendapat dan idea dalam sesebuah karya.

Disebabkan proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) yang terpaksa dilakukan akibat pandemik Covid-19 ini, kaedah kritikan sastera sangat sesuai digunakan bagi membantu mereka memahami konsep sastera dalam sesebuah karya yang dipelajari.

Kaedah ini, salah satu usaha untuk membantu pelajar memahami konsep sesebuah karya melalui kritikan yang dilakukan.

Melalui kritikan ini minda pelajar akan lebih terbuka dengan isu-isu yang timbul. Secara tidak langsung proses pemahaman dan penguasaan terhadap mata pelajaran ini akan meningkat dari semasa ke semasa.

Melalui peluang yang diberikan ini, para pelajar juga mampu meningkatkan ilmu pengetahuan dalam diri sekali gus menjadikan mereka seorang individu yang mahir dalam bidang kesusasteraan.

Menurut guru mata pelajaran Kesusasteraan Melayu Komunikatif, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sangklang, Perlis, Cikgu Mohd Hizam Abdullah, para pelajar diberi hak untuk menilai karya-karya yang dibaca secara jujur beserta alasan yang munasabah.

Ini kerana, asas kritikan tidak memerlukan teori sastera di mana kritikan sastera ini hanya perlu dibuat berteraskan tiga cara iaitu memberi pandangan, sanjungan, dan saranan terhadap isu atau kekurangan yang timbul dalam sesebuah karya.

Sehubungan itu, para pelajar diberikan had dalam mengutarakan kritikan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

Bagaimanapun, kaedah ini bukan sahaja melatih pelajar menguasai ilmu sastera, namun pengkarya mampu melihat aspek yang perlu ditambahbaik dan diperbaiki melalui kritikan yang diterima.

Seperti yang sedia maklum, sastera merupakan karya bebas yang dihasilkan melalui pemikiran kreatif dan kritis seseorang individu.

Oleh itu, melalui konsep ini, para pelajar juga perlu mengawal kritikan yang dibuat agar idea dan pandangan yang diberikan dapat dipertimbangkan dengan baik sekali gus mampu membantu mereka mendapat skor yang terbaik dalam subjek yang dipelajari ini.

Sumber: DidikTV KPM

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok