Untitled (6)
Untitled (6)

LOI UniMAP-UCMM bakal penuhi keperluan PdP kedua-dua institusi

Nor Azma  Muhamat Laila
11 Oct 2021 03:50pm
A
A
A

PAUH PUTRA – Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan UCMM Konsortium Sdn Bhd (UCMM) bagi menjalinkan kerjasama dalam memenuhi keperluan maklumat pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta penyelidikan kedua-dua institusi.

UniMAP diwakili Naib Canselornya, Prof Dr Zaliman Sauli manakala UCMM diwakili Ketua Umum yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UCMM Konsortium Sdn Bhd dan Lembaga Pengarah Universiti Muhammadiyah Malaysia (UCMM), Prof Dr Haedar Nashir.

Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kolej Islam Perlis (KUIPs), Datuk Prof Emeritus Dr Kamarudin Hussin; Ahli Lembaga Pengarah UCMM, Datuk Prof Dr Mohd Noh Dalimin; Pengerusi Lembaga Pengelola UCMM, Prof Dr Bambang Setiaji dan Rektor Universiti Muhammadiyah Malaysia, Prof Madya Dr Waluyo Adi Siswanto.

Prof Dr Zaliman berkata, kerjasama antara UniMAP menerusi Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (FTSFP) itu akan memberi fokus kepada penawaran sumber maklumat ilmiah berkualiti bagi aktiviti PdP dan penyelidikan.

Menurut beliau, selaras dengan PdP dalam talian, PTSFP menawarkan akses kepada jutaan teks penuh bahan ilmiah digital.

“Malahan, enjin carian Worldcat Discovery berkeupayaan meneroka 79,000 perpustakaan seluruh dunia yang berupaya mengesan sumber maklumat ilmiah dalam pelbagai bidang yang dihasilkan para ilmuan dan penyelidik seluruh dunia,” katanya.

Tambah beliau, sistem Repositori Digital di PTSFP juga memuatkan teks penuh tesis dan disertai UniMAP, kertas artikel dan penyelidikan yang dihasilkan oleh penyelidik universiti berkenaan.

“Perkara ini dapat memudahkan pensyarah UniMAP mahupun UCMM untuk mendapatkan bahan bagi aktiviti PdP di kedua-dua institusi dengan lebih mudah dan dicapai dari serata lokasi,” ujarnya lagi.

UCMM adalah syarikat yang menubuhkan Universiti Muhammadiyah Malaysia dan diluluskan penubuhannya oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada Ogos 2021.

Untuk rekod, universiti swasta itu mula ditubuhkan pada 1 Mac 1981 di Yogyakarta, Indonesia.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok