malaysia-digital-economy-corporation-mdec-vector-logo_1799130_20210723173921
malaysia-digital-economy-corporation-mdec-vector-logo_1799130_20210723173921

MDEC anjur #MyDigitalMaker 2021, sediakan kemudahan pembelajaran berfokuskan teknologi

Mohd Khairi Mohamad Yusri
01 Nov 2021 01:03pm
A
A
A

CYBERJAYA - Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara, mengumumkan siri keempat Karnival #MyDigitalMaker 2021 dengan kandungan direka khas untuk pelajar dan pendidik di wilayah Tengah dan Selatan tanah air.

Bertemakan “Raising Digital Heroes”, peserta yang mengikuti karnival ini akan menikmati pelbagai program berasaskan teknologi dan kreativiti dengan topik merangkumi animasi, Internet of Thing (IoT), etika siber, pengekodan, pembangunan laman sesawang serta dron dan robotik.

Karnival ini akan memfokuskan kepada kandungan menarik dan berinformasi yang disediakan kepada peserta menerusi platform maya dengan kerjasama rakan penganjur MDEC, iaitu iTrain Kids Sdn Bhd, institusi pendidikan berfokuskan teknologi.

Ketua Pegawai Kemahiran Digital dan Kerjaya MDEC, Dr Sumitra Nair, menegaskan penggunaan teknologi digital adalah amat penting untuk generasi masa depan.

“Sebagai agensi peneraju ekonomi digital negara, kita perlu mewujudkan platform kepada generasi muda untuk mengukuhkan kemahiran dan bakat digital mereka.

“Bakat dan kemahiran digital akan membuka lebih banyak peluang dan kanak-kanak yang memiliki kemahiran ini memperoleh kelebihan untuk bersaing dalam masyarakat berasaskan pengetahuan, yang merupakan salah satu matlamat penting dalam Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL)," katanya.

Sempena program itu, lebih 100 kandungan menarik dan berinformasi akan disediakan kepada peserta merangkumi pengalaman digital secara langsung daripada pakar industri seperti PlayStation Studios Malaysia, IBM Malaysia, TM, Digi Telecommunications dan banyak lagi.

Siri wilayah Tengah dan Selatan ini ialah kesinambungan daripada segmen karnival sebelum ini yang telah berjaya menarik lebih 5,000 pengunjung dan dijangka melibatkan lebih 16,000 peserta untuk keseluruhan siri karnival berkenaan.

Secara keseluruhannya, Karnival #MyDigitalMaker 2021 juga akan menampilkan kandungan eksklusif daripada pelbagai pemain teknologi dan komunikasi seperti TikTok Malaysia, IBM Malaysia, PlayStation Studios Malaysia, Digi Telecommunications dan Maxis, serta organisasi bukan berasaskan keuntungan dari dalam dan luar negara seperti UNICEF Malaysia dan Code.org.

Sejak dilancarkan pada 2017, acara utama Gerakan #mydigitalmaker telah membawa kesedaran inovasi dan kreativiti digital kepada lebih 82,000 peserta.

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok