Menarik program keselamatan jalan raya SMK Tun Abang Haji Openg - Lima program, tiga fasa berbeza
Menarik program keselamatan jalan raya SMK Tun Abang Haji Openg - Lima program, tiga fasa berbeza

Menarik program keselamatan jalan raya SMK Tun Abang Haji Openg - Lima program, tiga fasa berbeza

webadmin
31 Dec 2020 01:28am
A
A
A

SETIAP pelajar perlu didedahkan dengan kepelbagaian maklumat berkaitan keselamatan jalan raya kerana mereka merupakan individu yang mudah terdedah dengan risiko kemalangan tanpa diduga.

Menyedari akan kepentingannya, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg, Kuching, Sarawak menganjurkan program keselamatan jalan raya baru-baru ini, khusus kepada semua pelajar sama ada yang menggunakan kenderaan sendiri atau sebaliknya.

Pengetua, Affida Helmi berkata, program keselamatan jalan raya adalah sebahagian daripada Program Sekolah Selamat yang dilaksanakan oleh KPM.

"Selain berkongsi maklumat, ia juga bertujuan mendidik pelajar sebagai pengguna jalan raya yang berhemah yang mematuhi peraturan jalan raya.

"Di sekolah ini pelajar diajar untuk memarkir kereta atau motosikal di tempat yang betul dan menyimpan topi keledar di tempat yang disediakan. Ini secara tidak langsung mendidik pelajar lebih berdisiplin," ujarnya.

Jawatankuasa Keselamatan Sekolah: Keselamatan Pergi Balik, Cikgu Zamli Toti berkata, SMK Tun Abang Haji Openg telah lama memperkenalkan program keselamatan jalan raya di sekolah berkenaan.

"Pengisian dan perancangan program yang lebih teliti dan proaktif hanya baru dilaksanakan sejak tiga tahun yang lalu.  

"Untuk tahun ini, pihak sekolah telah menyediakan lima program untuk warga sekolah sertai. Program berkenaan dibahagikan kepada beberapa fasa dan pendekatan," katanya yang juga Guru Bimbingan dan Kaunseling.

Cikgu Zamli

Tiga fasa

Cikgu Zamli berkata, ada tiga fasa bagi setiap program keselamatan jalan raya yang dilaksanakan itu.

"Fasa pertama, pihak sekolah menekankan kepada aspek pendidikan dan kesedaran dengan mengadakan ceramah dan sesi perkongsian bersama pihak Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (PDRM) dan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

"Fasa kedua, merupakan fasa amaran dan teguran. Pada fasa ini, pihak sekolah dengan kerjasama PDRM akan membuat pemeriksaan mengejut semua kenderaan yang digunakan oleh pelajar (motosikal dan kereta).

"Mereka akan diberi teguran secara langsung sekiranya terdapat kesalahan fizikal pada motosikal seperti tiada cermin sisi, nombor plat yang tidak mengikut peraturan, tiada lampu depan atau belakang dan sebagainya," jelasnya.

Untuk fasa ketiga pula, ia adalah fasa tindakan di mana PDRM menjalankan Operasi Didik dan mengambil tindakan terhadap pelajar yang masih melanggar peraturan dan undang-undang jalan raya. Operasi Didik adalah program khusus dari PDRM dan dilaksanakan di seluruh negara.

Program kolaboratif sekolah bersama PDRM dan ketua-ketua Kampung Seberang Hilir, Kuching.

Dua program

Sehingga Mac, dua program keselamatan jalan raya SMK Tun Abang Haji Openg berjaya dilaksanakan dengan kerjasama PDRM sepenuhnya.

Program tersebut adalah Keselamatan Pergi Balik Sekolah yang diadakan pada 27 Februari) dan Penggunaan Kenderaan dan Motosikal dalam Kalangan Pelajar Sekolah pada 6 Mac lalu.

Kedua-dua program berkenaan berbentuk ceramah dan ia disertai 230 pelajar Tingkatan Empat dan 1,400 pelajar Tingkatan Satu hingga Enam.   

Perasmian program disempurnakan oleh Pegawai Perhubungan Sekolah PDRM, Inspektor Jimmy Tanjong Ak Andrew Mang.

Menurut Cikgu Zamli, terdapat tiga lagi program yang akan dilaksanakan kelak.

"Programnya adalah Pemeriksaan Mengejut Motosikal dan Taklimat Tindakan Undang-Undang Berkaitan; Taklimat dan Amali Warden Trafik Sekolah dan Ops Didik.

"Setiap program mempunyai objektif yang tersendiri. Misalnya bagi Amali Warden Trafik Sekolah, objektifnya untuk melatih warden trafik sekolah agar cekap dan mempunyai pengetahuan asas yang diperlukan mengendalikan lalu lintas.

"Ia juga untuk menaik taraf warden trafik dengan keperluan asas yang mencukupi untuk memudahkan tugas kawal selia lalu lintas," katanya.  

Akhir sekali, besar harapan sekolah agar setiap pengisian program memberi impak yang positif kepada pelajar dan seluruh warga sekolah.

"Saya harap, mereka mendapat pelbagai ilmu dan maklumat penting yang telah diberikan oleh pihak berkaitan. Terima kasih kepada PDRM kerana memberi kerjasama dan sokongan padu dalam menjayakan program ini," katanya.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Ustazah Norazlina Zainal (kiri) menyampaikan cenderamata kepada Jimmy pada Program Keselamatan Pergi Balik Sekolah, Februari lalu.

Jimmy menyampaikan ceramah kepada pelajar berkenaan keselamatan jalan raya.

Dari kiri: Penolong Kanan Kokurikulum, Jamli Bujang; Penolong Kanan Pentadbiran, Nazariah Hassan; Cikgu Affida, Jimmy; Penolong Kanan Tingkatan Enam, Francis Nyaun dan Ustazah Norazlina ketika salah satu program keselamatan jalan raya yang diadakan di sekolah itu.

REAKSI

1) "Program yang sangat menarik kerana menyediakan pelbagai maklumat penting terutama berkaitan keselamatan jalan raya."

- Mohd Asyraf Affendy

Pelajar, Tingkatan 5 Angsana

 

2) "Besar harapan saya agar pihak sekolah dapat menganjurkan program sebegini dengan lebih kerap lagi. Ini sebab, banyak iktibar; pengajaran dan ilmu baharu yang saya serta rakan-rakan peroleh menerusi program hebat ini."

- Abang Iyan Jushua Abang Ahmad Romzie

Pelajar, Tingkatan 4 Sains 2

 

3) "Selain mengikuti kempen keselamatan anjuran sekolah, saya juga mendapat info menerusi laman web PDRM, Facebook rasmi SMK Tun Abang Haji Openg, radio, televisyen dan juga beberapa saluran media sosial yang lain."

- Ahmad Huzaifa Rustam

Pelajar, Tingkatan 4 Sains 2

Artikel menarik:

'Murid prasekolah pun faham' - Hanya bimbing di grup WhatsApp, cikgu ini hasilkan video COVID 19

Cikgu Samuel ketengahkan kemenjadian murid orang asli ke peringkat antarabangsa

'Hanya air mata mengalir...' - Cikgu Hailmi kongsi liku hidup hingga terpilih 50 Utama Guru Global

 

 

 

 

 

Ikuti juga Sinar Bestari di: Facebook | Instagram | Twitter | YouTube | TikTok