HomeGen ZMula berniaga dengan modal RM500, pelajar UMK kini raih pendapatan puluhan ribu...

Artikel Berkaitan

Mula berniaga dengan modal RM500, pelajar UMK kini raih pendapatan puluhan ribu ringgit

Bermula dengan minat mendalam terhadap dunia fesyen, pelajar Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) kini mampu menjana pendapatan mencecah puluhan ribu ringgit pada usia muda dan masih melanjutkan pengajian di universiti.

Wan Nurul Aida Nazwa Wan Ahmad, 22, pelajar tahun dua itu bukan sahaja sudah bergelar usahawan tetapi kini menjadi pemilik syarikat Dwans Collection yang menjual pakaian wanita.

Menurut Wan Nurul Aida, mengimbau kembali detik awal tertubuhnya perniagaan ini apabila dia tidak mendapat komisen yang sewajarnya sebagai ejen jualan pakaian.

Katanya, oleh kerana komisen yang diterimanya sebagai ejen tidak berbaloi dengan usaha yang dilakukan, maka bermula daripada situ tercetusnya idea untuk membuka sebuah perniagaan sendiri.

Bermula dengan modal RM500 hasil simpanan sendiri, dia kemudian memulakan perniagaan dengan mengeluarkan satu koleksi pakaian daripada hasil rekaan sendiri yang berjaya menarik minat pelanggan.

Sebagai langkah permulaan, Wan Nurul Aida terlebih dahulu mengambil dan mengumpul pesanan daripada pelanggan secara pra-tempahan (pre-order).

“Dwans Collection mengetengahkan konsep fesyen kontemporari sesuai dengan gaya penampilan wanita masa kini di mana koleksi pakaian eksklusif sebegini dilihat semakin mendapat tempat di hati pelanggan.

“Sasaran jualan adalah dalam kalangan wanita berumur 18 hingga 35 tahun dengan harga yang amat berpatutan dan mampu milik iaitu di bawah RM150,” katanya.

Wan Nurul Aida yang berasal dari Machang, Kelantan, berkata walaupun perniagaannya baru sahaja mencecah setahun tetapi dia pernah memperoleh keuntungan hampir RM10,000 sebulan.

Wan Nurul Aida mengakui penularan pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah menjejaskan banyak perniagaaan dan terdapat pengusaha syarikat mula gulung tikar.

Namun, dia terus melangkah ke hadapan dengan mengaktifkan perniagaannya secara dalam talian menerusi Facebook, Whatsapp dan Instagram menggunakan tagline “Exclusive clothing in your own style”, sebagai strategi promosi.

Selain itu, dia juga mengikuti pelbagai kursus dan bengkel perniagaan untuk mendalami kemahiran dan strategi perniagaan dengan lebih berkesan.

Ujarnya lagi, walaupun masih bergelar pelajar universiti tetapi itu bukanlah satu halangan bagi dirinya untuk menceburi bidang perniagaan.

“Industri perniagaan memang mencabar terutama semasa pelaksanaan PKP 1.0 di mana banyak stok baharu tidak terjual kerana kerajaan mengehadkan urusan pembukaan ‘booth’ secara fizikal.

“Tetapi saya tetap mengekalkan momentum dengan sentiasa berfikiran positif dan belajar menambah baik operasi perniagaan dari semasa ke semasa,” katanya mengimbau cabaran ketika detik awal memulakan perniagaan.

“Walaupun kebanyakan premis dan butik perniagaan sekarang banyak yang tidak beroperasi tetapi melalui inisiatif secara dalam talian, saya berjaya menggerakkan operasi perniagaan dengan memberi fokus sepenuhnya kepada perniagaan konsep baharu ini,” tuturnya.

Selain menitikberatkan kualiti pakaian, Wan Nurul Aida turut mengetengahkan inovasi dalam pemasaran yang sedikit berbeza dengan perniagaan pakaian wanita lain.

“Saya menjaga imej perniagaan dengan menitikberatkan kualiti gambar sebelum memuat naik ke media sosial,” tambahnya lagi.

Kini, Dwans Collection sudah mampu memiliki ruang menyimpan stok pakaian, pejabat dan ruang studio sendiri untuk sesi penggambaran.

Wan Nur Aida juga mengakui bimbingan dan tunjuk ajar daripada mentor iaitu pensyarah UMK untuk mengikuti program-program latihan keusahawanan bagi membantu menjana idea perniagaannya turut menyumbang kepada kejayaannya hari ini.

Berkongsi mengenai perancangan masa hadapan Dwans Collection, Wan Nur Aida bercadang membuka lebih banyak cawangan di seluruh negeri di Malaysia dan menembusi pasaran luar negara seperti Thailand dan Indonesia.

Kongsinya, dalam tempoh lima bulan akan datang, dia mahu jenama Dwans Collection terus dikenali dengan mempelbagaikan produk seterusnya membuka peluang pekerjaan kepada mereka yang berminat untuk menjadi ejen atau dropship.

“Saya mahu memantapkan lagi strategi pemasaran, pembangunan laman web untuk mencapai sasaran RM100,000 pada tahun kedua perniagaan ini,” katanya.

Artikel Terkini